Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Soalan; orang yang pengsan atau komaberhari-hari, adakah dia wajib mengqadha solat dan puasa yang dia tinggalkansemasa sedang koma/pengsan itu?

Jawapan;

1. Orang yang sedang dalam koma/pengsan gugur kewajipan ibadat darinya (termasuk solat dan puasa). Adapun tentang qadha, maka bagi ibadat puasa, telah ijmak sekelian ulamak bahawa koma/pengsan tidak menggugurkan kewajipan mengqadha puasa. Maka orang yang tertinggal puasanya kerana koma/pengsan dia wajibmengqadha semua puasa yang ditinggalnya semasa sedang koma/pengsan itu apabila ia sembuh dari sakitnya (yakni tersedar dari koma/pengsannya). 

Jika komanya berterusan hingga saat kematiannya, hendaklah digantikan puasanya dengan fidyah sebagaimana sabda Nabi SAW; "Jika seseorang itu sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak ada qadha atasnya" (Sunan Abu Daud; 2401, dari Ibnu 'Abbas RA).

2. Adapunsolat, maka para fuqahak berbeza pandangan seperti berikut;

a)  Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki danSyafiie)[1];orang yang koma atau pengsan tidak dituntut mengqadha solat yang luput darinyasepanjang tempoh koma/pengsannya, kecuali jika ia tersedar pada suatu waktusolat ketika waktu masih ada (maka wajiblah dia menunaikan solat tersebut). Saidatina‘Aisyah RA menceritakan; ‘Dia bertanya Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang pengsan,lalu menyebabkan dia meninggalkan solat (adakah wajib dia mengqadha solatnya?’.Maka baginda menjawab; “Tidak dituntut dia mengqadha solatnya, kecuali diapengsan dan tersedar ketika waktu solat masih ada, maka wajiblah diamengerjakan solat tersebut” (Sunan ad-Daruqutni; 1860. As-Sunan al-Kubra,al-Baihaqi; 1820).

b) MenurutImam Abu Hanifah; jika jumlah solat yang tertinggal semasa koma/pengsan itu kurangdari lima solat, wajiblah dia mengqadhanya. Namun jika lebih dari 5 solat(iaitu 6 dan ke atas), tidaklah dituntut lagi dia mengqadha solat-solatnya.

c) Menurutmazhab Hanbali; orang koma/pengsan wajib mengqadha ke semua solat yang diatinggalkan semasa sedang koma/pengsan sama ada bilangan banyak atau sedikit,berdalilkan amalan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Ammar RA yang pengsan selama tigahari. Apabila ia sedar dari pengsannya, dia mengqadha ke semua solat yangditinggalnya dalam tiga hari itu. Pandangan yang sama turut di riwayatkan darisahabat Nabi bernama Samurah bin Jundab RA.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.   Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/267-268.
2.   Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 3/7 (kitab as-Solah) dan 6/872 (kitab as-Shaum).




[1] Imaman-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’; “Sesiapa hilang akalnya dengansebab yang tidak diharamkan (Syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsanatau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluanatau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidakwajib solat atasnya dan bila ia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnyasama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadimazhab kami (mazhab Syafiie)…. Namun jika hilang akal itu dengan sebab suatu yang diharamkanseperti dia meminum arak dengan sengaja, dengan tahu dan dengan pilihan sendiri(tanpa paksaan) atau meminum suatu ubat -yang diketahuinya boleh memabukkan- tanpaada keperluan hingga menyebabkan akalnya hilang, tidak sah solatnya ketika itudan bila akalnya kembali (yakni dia tersedar), wajib dia mengqadha solatnya  (al-Majmu’, 3/6).

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya menjalani rawatan dialisis (buah pinggang). Tempoh dialisis memakan masa empat (4) jam. Adakalanya saya akan terlepas waktu magrib. Adakah wajib saya mengqadhakan solat magrib?

Jawapan;

Ya, solat fardhu yang terluput wajib diqadha. Namun dalam kes di atas, saudara boleh menjamakkan solat dengan bertaklid kepada para ulamak yang membenarkan kita menjamakkan solat kerana sakit atau kepayahan, antara mereka;

1. Imam Ahmad, Qadhi Husain (bermazhab Syafi’ie), al-Mutawalli (bermazhab Syafi’ie), ar-Ruyani (bermazhab Syafi’ie), al-Khattabi dan Imam an-Nawawi; mereka berpandangan; “Diharuskan menjamak solat kerana uzur sakit atau kerana keuzuran-keuzuran lain yang seumpamanya”.

2. Imam Ibnu Sirin, Asyhab (bermazhab Malik), Ibnu al-Munzir, al-Qaffal (bermazhab Syafi’ie), asy-Syasyi al-Kabir (bermazhab Syafi’ie) dan Ibnu Syabramah, mereka berpendapat; “Harus menjamakkan solat ketika dalam negeri (yakni tanpa bermusafir) jika ada suatu desakan atau keperluan asalkan tidak dijadikan kebiasaan”.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu ‘Abbas yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah menunaikan solat Zohor dan Asar dengan menjamakkan (kedua-duanya) di Madinah, tanpa sebab ketakutan dan juga tanpa sebab musafir” Dalam riwayat lain; “…tanpa sebab ketakutan dan tanpa sebab hujan”. Ibnu ‘Abbas ditanya; “Kenapakah baginda melakukan demikian?”. Beliau menjawab; “Baginda tidak mahu memberatkan umatnya” (Soheh Muslim; 705/83).

Maka, (memakai pandangan ini) apabila saudara memulakan dialisis selepas asar, bila saja masuk waktu maghrib dan dialisis saudara belum selesai (dijangka selesai bila masuk isyak), saudara boleh berniat dalam hati untuk menganjakkan solat maghrib ke dalam waktu Isyak. Bila dialisis saudara selesai, lakukan kedua-dua solat (maghrib dan isyak) di dalam waktu isyak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 5/221.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/176.
2. Dalail al-Ahkam, juz. 1, hlm. 419-420.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 141-142.