Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Isnin, 12 Februari 2024

Soalan:

amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari guru?


Jawapan:


Belajar melalui youtube atau alat-alat perhubungan moden telah diakui para ulamak hari (secara ijmak sukuti) sebagai cara pengajian yang sah. Para ulamak muktabar apabila mereka tidak melarang rakaman kuliah mereka disebarkan kepada orang ramai, itu menunjukkan keizinan mereka untuk ilmu mereka dalam rakaman itu diterima dan diamalkan. Itu merupakan ijazah dari mereka secara ijazah ammah (umum/awam). Maksud ijazah ialah keizinan dari guru untuk kita membaca kitab mereka atau mengambil/mengamalkan ilmu dari mereka. Namun jika kita dapat bertemu mereka dan mengambil ijazah (keizinan) secara khusus itulah paling afdhal dan mudah-mudahan paling barakah.

Kesimpulannya, mengambil ilmu melalui rakaman video/youtube (atau seumpamanya) adalah cara yang bermanfaat hari ini, namun tidak mencukupi dalam proses pengajian ilmu. Setiap muslim perlu keluar mencari ilmu, mengadap guru dan bersimpuh di hadapan guru dengan rasa tawaduk/rendah diri, di samping menambah ilmu melalui pembacaan dan kuliah-kuliah di media sosial.


Wallahu a’lam.


SOALAN; 

Bagaimana hendak menghapuskan dosa2 sesama ihsan samada yg dikenali atau tidak spt kita pernah mengumpat berprasangka tidak baik terhadap mrk dan berkemungkinan jugak ada terhutang atau terambil brg mrk dan lupa utk memulangkan terutamanya masa zmn2 sekolah.Umum tahu ,kita aqil baligh sejak zaman sekolah dan sejak zaman sekolah hingga kini banyak dosa umpat dan lain2 dosa kita lakukan. Malangnya insan2 ni kita mgkin tlh lupa nama atau tidak tahu dimana mrk kini tetapi dosa kpd mrk tidak akan hilang melainkan memohon maaf dr mrk. Apakah cara yg perlu kita lakukan untuk menghapuskan dosa2 spt ini. 

 JAWAPAN;

1. Dosa dengan Allah memadai dengan kita berhenti dari dosa terbabit, menyesalinya dan memohon ampun kepada Allah. Jika dosa kerana meninggalkan kewajipan Syarak, hendaklah kita kembali mengerjakan kewajipan tersebut termasuk mengqadhakan ibadah yang kita tinggalkan/abaikan.

2. Adapun dosa dengan makhluk (sesama manusia), tidak memadai dengan memohon ampun kepada Allah, akan tetapi perlu diselesaikan dengan insan yang terbabit. Antara yang perlu dilakukan ialah;

a) Jika membabitkan hak atau harta, wajib dipulangkan kepada tuannya atau meminta halal darinya.

b) Jika dia telah meninggal, dipulangkan kepada waris-warisnya. Jika waris-warisnya tiada atau tidak diketahui hendaklah diberikan kepada maslahah kaum muslimin atau fakir miskin dengan niat bersedekah bagi pihaknya.

c) Orang-orang yang pernah kita sakiti, hendaklah kita berjumpanya dan memohon maaf kepadanya. Jika kita memburukkan namanya, perlulah kita membersihkan kembali namanya.

d) Orang yang pernah kita umpati, jika umpatan itu telah sampai ke telinganya, hendaklah kita bertemunya dan memohon maaf darinya. Jika umpatan itu tidak sampai ke telinganya, menurut sebahagian ulamak; memadai dengan kita memohon ampun dari Allah dan mendoakan kebaikan untuknya, tidak perlu kita berjumpanya untuk memaklumkan umpatan kita tentangnya kerana mungkin akan merosakkan hubungan kita dengannya.

e) Jika orang yang kita sakiti telah meninggalkan dunia, banyak-banyaklah berdoa kepada Allah agar memberi kebaikan dan hasanaat untuknya, mudah-mudahan hasanaat yang kita pohonkan untuknya dapat menggantikan kejahatan-kejahatan kita kepadanya kerana Allah berfirman;
 

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ


“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat” (surah Hud, ayat 114).

f) Banyakkanlah berdoa kepada sekelian orang beriman kerana Nabi SAW bersabda;
 

مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً


“Sesiapa memohon ampun untuk semua kaum beriman lelaki dan perempuan, Allah akan menulis untuknya bagi setiap orang beriman lelaki dan orang beriman perempuan satu kebajikan” (Musnad as-Syamiyyiin, at-Tabrani; 2155. Dari ‘Ubadah bin as-Somit RA. Menurut al-Haithami; isnadnya jayyid. Majma’ az-Zawaid; 17598).

g) Menyedari banyaknya kejahatan-kejahatan silam kita, perlulah kita membanyakkan amalan-amalan hasanat dalam saki baki umur kita yang masih ada supaya amalan-amalan hasanat itu menghapuskan kejahatan-kejahatan kita yang lalu -berdalilkan ayat 114 tadi- dan mudah-mudahan ia melampaui tuntutan-tuntutan manusia ke atas kita di akhirat nanti.


Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. https://ar.islamway.net/fatwa/42405/

Khamis, 29 Oktober 2015

Soalan;

Assalam ustaz...ape pandangan ustaz terhadap org yg suka berangan...ade kene mngena ke dengan syaitan?

Jawapan;

Bismillah. Berangan tentang perkara-perkara yang baik seperti berangan untuk masuk syurga, berangan untuk berjaya dalam hidup (dalam perniagaan, pelajaran dan sebagainya), berangan berkahwin dengan lelaki/wanita yang soleh/solehah, berangan untuk jadi orang kaya beriman dan sebagainya semua itu adalah angan-angan yang baik dan diredhai Syariat. Tidak ada kejayaan melainkan bermula dari angan-angan.

Adapun berangan tentang perkara-perkara yang jahat atau maksiat seperti berangan untuk hidup bebas tanpa terikat dengan batasan Syarak, untuk berzina, minum arak, angan-angan berupa hasad dan sebagainya dari amalan-amalan yang ditegah Syariat, maka berangan seperti itu adalah bisikan dari Syaitan dan jika tidak ditahan akan menjerumuskan diri ke dalam maksiat. Kerana itu Allah berfirman (yang bermaksud);

"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" (surah Fussilat, ayat 36).

Wallahu a'lam.