Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Khamis, 5 Julai 2018

Dalam senarai larangan Nabi SAW, ada direkodkan sabda baginda; "Janganlah kamu mencela/mencerca syaitan. Berlindunglah dengan Allah dari kejahatannya" (Mukhtasar Soheh al-Jami' as-Saghier (Imam as-Suyuti); 5290. Hadis hasan).

Syaitan yang begitu jahat dilarang kita mencelanya, maka apakah ada manusia yang lebih jahat dari syaitan untuk boleh kita mencelanya?

Pertanyaan itu membawa kita kepada satu lagi sabda baginda SAW; "Seorang mukmin tidak suka melaknat dan mencela, malah berkata-kata kesat" (Musnad Ahmad; 3839. Hadis soheh).

Patutlah di dalam al-Quran -dalam berdepan kutukan dan cercaan Musyrikin yang bertubi-tubi-, Allah tetap menyuruh NabiNya memaafkan mereka dan terus mengajak (berdakwah) tanpa menghirau reaksi dari kejahilan mereka.

"Maafkanlah (mereka), suruhlah (mereka) kepada makruf dan jangan dihirau (reaksi dari) orang-orang jahil itu" (surah al-A'raf, ayat 199).

Dari kita membazirkan perkataan-perkataan kita untuk mencerca, lebih baik kita gunakan untuk mengajak, menerang, menjelaskan dan memahamkan. Itu rasanya lebih memberi manfaat untuk kita, agama kita dan umat kita.

Rabu, 4 Julai 2018

Ada orang menghabiskan masanya untuk memperjuangkan "hak istimewa", bagi bangsanya atau bagi umatnya. Dia menganggap bangsa/umatnya adalah bangsa/umat pilihan, lantas perlu diberi hak istimewa.

Dulu orang Yahudi dan Nasrani menganggap mereka bangsa istimewa, lalu menganggap syurga adalah mutlak untuk mereka walau apa saja perlakuan mereka. Lantas Allah menjawab: "Itu hanyalah angan-angan mereka" (surah al-Baqarah, ayat 112-113).

Al-Quran mengajar kita bahawa tidak ada bangsa istimewa. Semua dilayan sama oleh Allah, diberi sunnah hidup yang sama dan peluang kejayaan yang sama. Itulah keadilan Allah.

Di celah ribuan ayat al-Quran (6000 ayat lebih) terselit banyak rahsia sunnatulllah untuk individu/bangsa/umat berjaya, antaranya;

"Sesiapa berbuat kebaikan -sama ada dia lelaki atau wanita- di samping dia beriman, Kami (Allah) akan beri kehidupan yang baik untuknya, serta Kami balasi mereka dengan pahala terbaik bagi amal mereka" (surah an-Nahl, ayat 97).

"Allah tidak mengubah suatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri" (ar-Ra'du, ayat 11).

"Allah sentiasa mengangkat orang-orang beriman dan orang yang diberi ilmu dengan darjat-darjat ketinggian" (surah al-Mujadiah, ayat 11)

"Kesudahan yang baik adalah milik orang-orang bertakwa" (surah al-A'raf, ayat 128).

"Kesudahan buruk adalah milik orang-orang yang berbuat kerosakan" (al-A'raf, ayat 103).

"Sesiapa tunduk kepada Allah dan berbuat kebajikan, maka untuknya ganjaran di sisi Allah, tiada kebimbangan menimpa mereka dan tidak mereka berdukacita" (surah al-Baqarah, ayat 112).

Marilah kita berusaha untuk kejayaan bangsa dan umat kita, bukan menuntutnya sahaja.

Setiap kali hari raya, kita akan pulang. Pulang ke daerah asal kita atau pulang ke pangkuan keluarga yang melahirkan kita. Namun jangan kita lupa kepulangan terakhir kita, iaitu pulang bertemu Pencipta kita (Allah).

Benarkah kita akan pulang bertemu Allah? Dalam hati seorang muslim, soalan ini tidak timbul lagi, kerana al-Quran yang diyakininya berulang kali menyebutkan bahawa manusia setelah mati nanti akan dihidupkan kembali dan akan di bawa mengadap Allah;

"Bagaimana kamu tergamak untuk engkar kepada Allah, sedangkan kamu dulunya mati (tiada), lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kembali kamu, akhirnya kepadaNya kamu dikembalikan" (surah al-Baqarah, ayat 28).

Al-Quran menjelaskan juga; saat manusia menghadap Allah nanti, hanya orang-orang yang pulang dengan hati yang bersih sahaja akan disambut kepulangannya oleh Allah;

"Hari kebangkitan nanti tidak berguna segala harta benda dan anak pihak, melainkan orang yang pulang ke hadirat Allah dengan hati yang bersih" (surah as-Syu'ara, ayat 88-89).

Maka, cabaran kita untuk bertemu Allah bukanlah tubuh dan harta, akan tetapi hati. Untuk kesejahteraan dunia kita, jagalah tubuh dan carilah harta (kerana tanpa tubuh yang sihat dan harta/wang yang cukup, sukar untuk kita bahagia di dunia). Namun untuk akhirat kita, jagalah hati.

Alangkah bahagianya kita di akhirat tatkala Allah berkata kepada kita;

"Wahai jiwa yang tenang (suci), pulanglah kamu kepada TuhanMu redha dan diredhai. Maka masuklah kamu ke dalam kalangan hamba-hambaKu dan masuklah kamu ke dalam syurgaKu" (surah al-Fajt, ayat 27-30).


"Orang beradab harus pandai menghormati kepercayaan orang lain, walaupun kepercayaan itu tidak sesuai dengan kepercayaannya" (HAMKA)

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sesama mereka adalah wali (penolong)
antara satu sama lain. Mereka menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munkar, mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat, serta mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan dirahmati oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana" (Surah at-Taubah, ayat 71-72).

Ayat di atas menyebutkan tentang walak (kata akar bagi perkataan 'wali' atau 'auliya' dalam ayat itu). Walaupun dari terjemahan tersebut, walak seolah memberi makna 'saling tolong-menolong', namun sebenarnya perkataan walak boleh diterjemahkan lebih luas dari itu. Mungkin terjemahan paling menyeluruh ialah 'kesetiaan', yakni sesama orang beriman hendaklah mempunyai kesetiaan di antara satu sama lain, iaitu satu ikatan janji setia yang mengikat antara mereka satu sama lain.

Namun kesetiaan itu bukanlah kesetiaan kosong, sebaliknya perlu diisi dengan tanggungjawab yang mesti dipikul secara bersama antara satu sama lain dengan penuh kesungguhan;

1. Tanggungjawab menyeru manusia kepada makruf (yakni segala kebaikan dan kelurusan yang perlu disemai dalam masyarakat)

2. Tanggungjawab  mencegah munkar (yakni menentang segala bentuk kejahatan dan penyelewengan dalam masyarakat)

3. Setia mendirikan solat; sebagai tanda hubungan kerohanian yang erat dengan Tuhan Pencipta

4. Setia menunaikan zakat; sebagai tanda kepedulian kepada golongan marhean (yakni memberi sumbangan walau kadar minima untuk membela nasib golongan lemah yang perlu dibela)

5. Setia mentaati Allah dan Rasul; tanda komitmen kepada suruhan al-Quran dan as-Sunnah

Walak (kesetiaan) tanpa fungsi-fungsi di atas, itulah yang dinamakan walak kosong. Walak kosong tidak akan berjaya meraih janji Allah di hujung ayat tersebut iaitu "rahmat Allah" (kasih sayang dari Allah), kerana janji Allah tersebut diikat dengan fungsi-fungsi sebelumnya.

Lebih buruk lagi jika kesetiaan terbina di atas dasar al-dzulm (kezaliman), iaitu berjanji setia untuk membolot hak untuk diri sendiri dengan menafikan hak orang lain yang berhak atau menindas mereka. Janji setia sebegitu tidak ada di dalam Islam sekalipun bersama dalam keimanan. Ia seumpama walak (kesetiaan) bangsa Yahudi untuk menindas bangsa-bangsa yang lain atas dasar mereka adalah bangsa pilihan Allah. Walak sedemikian dipanggil oleh Nabi SAW dengan 'asobiyah dan baginda menafikannya dari ajaran baginda;

"Bukan dari kami orang yang yang menyeru kepada 'asobiyah. Bukan dari kami orang yang memperjuangkan asobiyah dan bukan dari kami orang yang mati atas asobiyah". Bila ditanya kepada baginda; apa itu asobiyah? baginda menjawab; "Kamu membantu kaummu di atas kezaliman" (Sunan Abu Daud; 5121, 5119).

Allah berfirman; 

"Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrail (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal agama) yang mereka berselisihan padanya. Dan sesungguhnya al-Quran itu menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan di antara mereka dengan hukumNya dan Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui" (surah an-Naml, ayat 76-78).

Merenung ayat-ayat ini kita mendapati ada tiga faedah yang bakal diperolehi oleh orang yang mentadabbur al-Quran;
1. Dapat mengetahui apa yang benar dari perkara yang diperselisihkan manusia hari ini,
2. Mendapat hidayah/petunjuk dari Allah
3. Memperolehi rahmat (kasih sayang) Allah
4. Mendapat keselamatan di akhirat ketika manusia diadili Allah.

 Hari ini kita melihat ada yang menang dan ada yang tewas, ada yang naik dan ada yang jatuh, ada yang bernasib baik dan ada yang kurang bernasib baik. Yang menang dan bernasib baik, bersorak gembira kerana merasa diri beruntung. Yang jatuh dan kurang bernasib baik pula bermuram durja kerana menganggap diri ditimpa malang. Namun al-Quran memperingatkan kita bahawa apa yang berlaku hari ini semuanya adalah ujian Allah belaka, terutamannya bagi orang yang menerima habuan. Hari ini bukanlah penentuan. Penentuan adalah hari esok. Sedang menunggu kita; sama ada SIKSAAN TUHAN atau KEAMPUNANNYA.

"Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (surah al-An'am, ayat 165).

Siapa kalangan yang bakal disiksa? Siapa pula yang bakal diampuni? Semua rahsia tersurat dan tersirat dalam baris-baris al-Quran. Tinggal lagi kita sudi merenungnya atau tidak.

1. Puasa berkualiti apabila kita berjaya mencapai tujuan puasa yang dinyatakan Allah dalam al-Quran iaitu takwa.
"Wahai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya (dengan puasa itu) kamu dapat bertakwa kepada Allah" (surah al-Baqarah, 183). 

Darjat takwa amat tinggi di sisi Allah. Allah berfirman; "Sesungguhnya orang termulia di kalangan kamu adalah orang yang paling bertakwa" (surah al-Hujuraat, ayat 13).

Kerana itu, syurga tidak diciptakan melainkan untuk orang bertakwa. "Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang bertakwa" (surah Ali Imran, ayat 133).

2. Puasa berkualiti apabila kita menghadapi puasa dengan persediaan jiwa dan jasmani. Kerana itu kita disurah oleh Nabi SAW untuk berniat puasa pada malamnya (sebagai persediaan jiwa) dan bersahur (sebagai persediaan jasmani). Sabda Nabi SAW; 

"Sesiapa tidak berniat puasa pada malam hati sebelum terbit fajar, tidak ada puasa baginya (yakni tidak sah puasanya)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah, dari Hafsah RA). 

Baginda bersabda juga; "Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan" (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Anas RA).

3. Puasa berkualiti jika kita berjaya mengubah diri melalui penghayatan puasa, iaitu kita muncul sebagai insan yang lebih baik setelah berpuasa. Ini kerana setiap ibadah jika dilakukan dengan betul, akan mendekatkan kita dengan Allah dan apabila semakin dekat dengan Allah akhlak dan keperibadian kita menjadi semakin baik dan cemerlang. Kerana itu Nabi SAW bersabda;

"Seorang yang ketika sedang berpuasa masih  bercakap yang batil dan melakukan perbuatan yang batil, Allah tidak perlu kepada puasanya" (HR al-Bukhari dan Abu Daud, dari Abu Hurairah RA).

4. Puasa berkualiti jika kita berjaya membendung nafsu; nafsu makan, ketamakan kepada dunia, nafsu marah, dengki/iri hati, suka mengumpat, memandang rendah orang lain dan sebagainya. Dengan puasa kita dilatih membendung nafsu makan dan nafsu seks, maka kenapa kita tidak perluaskan kepada nafsu-nafsu yang lain untuk mengawalnya. Orang yang berupaya mengawal nafsu, dia akan berjaya mengharungi kehidupan untuk menuju kepada matlamatnya. Seorang yang dikuasai nafsu, nafsu akan meruntunnya dan akhirnya dia tenggelam dalam lautan nafsu dan tidak berjaya sampai kepada matlamatnya. Allah berfirman;

"Adapun orang yang takut saat dia akan berdiri mengadap Tuhannya nanti (di akhirat) dan dia menahan diri dari menurut hawa nafsunya, maka syurgalah tempat kediamannya" (surah an-Nazi'at, ayat 40-41).

5. Puasa berkualiti jika kita terdidik -melalui puasa- untuk mendahulukan orang lain dari diri sendiri, kerana mementingkan diri termasuk nafsu yang dicela agama. Malah semua ibadat tanda keberkesanannya nampak pada sejauhmana keperihatinan kita terhadap nasib orang lain di sekeliling kita. Dalam al-Quran, Allah pernah menyebutkan tentang orang yang bersolat, namun masih binasa, iaitu orang yang solat sambil lewa, menunjuk-nunjuk dengan solatnya dan tidak terdorong untuk membantu orang susah. 

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli solat, iaitu mereka yang lalai dari solat mereka, yang bersikap riyak (dalam ibadat atau bawaan mereka), serta mereka enggan memberi pertolongan (kepada orang susah)" (surah al-Ma'un, ayat 4-7).

Kerana itu -sebagai tanda keperihatinan kita kepada orang lain di bulan puasa- kita digalakkan memberi makan orang berpuasa (terutamanya mereka yang miskin). Sabda Nabi SAW;

"Sesiapa memberi makan berbuka kepada kepada orang berpuasa, untuknya pahala orang berpuasa itu tanpa kurang sedikitpun" (HR at-Tirmizi, dari Zaid bin Khalid RA, hadis hasan sahih).

Begitulah sebahagian rahsia puasa. Jika kita rajin merenung ibadat-ibadat yang disyariatkan Allah, kita akan mendapati banyak rahsia di sebalik ibadat yang diperintahkan Allah agar kita melakukannya. Kita akan menjadi insan yang hebat hasil dari didikan ibadat-ibadat itu, lantas kita berterima kasih kepada Allah kerana mewajibkan kita melakukannya. Dengan penuh kerelaan kita melakukannya tanpa ada rasa terpaksa, kerana kita tahu ibadat-ibadat itu faedahnya adalah untuk kita walapun niat kita ketika melakukannya adalah kerana Allah.