Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Isnin, 12 Februari 2024

Soalan: apakah cara sebenar bertawassul?


JAWAPAN; Tawassul bermaksud mengambil/melalui wasilah (jalan untuk mendekatkan diri) kepada Allah. Makna ini merujuk kepada firman Allah;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱبۡتَغُوٓاْ إِلَيۡهِ ٱلۡوَسِيلَةَ وَجَٰهِدُواْ فِي سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan yang mendekatkan diri) kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat kejayaan” (surah al-Maidah, ayat 35).

Menurut Imam al-Suyuti; wasilah itu ialah ketaatan kepada Allah (Tafsir al-Jalalain). Menurut Imam al-Raghib al-Asbahani; hakikat wasilah ialah jalan yang mendekatkan kita kepada Allah melalui ilmu, ibadah dan menjaga akhlak mulia (al-Mufradaat, hlm. 871).

Selain itu, tawassul juga dimaksudkan mencari suatu wasilah (jalan) agar doa segera dimustajabkan Allah. Bertawassul dalam pengertian ini merangkumi;

a) Bertawassul dengan nama-nama Allah

b) Bertawassul dengan amal-amal soleh

c) Bertawassul dengan doa orang-orang soleh dan doa sesama muslim

Amalan-amalan agama (termasuk dalam hal wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah atau memustajabkan doa) mesti dipelajari dari sumber agama yang soheh/benar iaitu ulamak-ulamak muktabar atau kitab-kitab muktabar. Imam Ibnu Sirin menasihatkan; “Ilmu (agama) adalah agama itu sendiri, maka selidikilah dari siapa kamu mengambil agama kamu” (Mukadimah Soheh Muslim).

Wallahu a'lam.

Soalan; as salam ustaz, saya ingin bertanyakan soalan; jika anak saya no 2 sudah berumur 3 tahun perempuan belum buat aqiqah lagi dan anak no 3 saya lelaki berumur 9 bulan juga belum saya buat aqiqah juga, boleh kah saya lakukan aqiqah mereka bersama, manakala yang lelaki boleh kah saya buat kan sebahagian dahulu untuknya. terima kasih ustaz.

Jawapan;

1. Aqiqah menjadi tanggungjawab penjaga (yakni orang yang wajib menanggung nafkah bayi; yakni bapa, ibu, datuk dan sebagainya) selama bayi belum mencapai usia baligh. Apabila bayi telah baligh dan belum diaqiqahkan, tidak dituntut lagi ke atas penjaganya untuk melakukan aqiqah. Menurut mazhab Syafiie; digalakkan ke atas individu yang mengetahui dirinya belum diaqiqahkan ketika kecilnya untuk melakukan sendiri aqiqah bagi dirinya.

Anas RA menceritakan; "Sesungguhnya Nabi SAW melakukan aqiqah untuk dirinya selepas baginda diutuskan menjadi Nabi" (Musnad al-Bazzar; 7281. al-Mu'jam al-Awsat, at-Tabrani; 994).

2. Aqiqah sebaiknya dilakukan ketika bayi berusia 7 hari dari hari lahirnya. 'Aisyah RA menceritakan; "Nabi SAW melakukan aqiqah untuk cucunya Hasan dan Husain pada hari ketujuh. Pada hari itu juga baginda memberi nama mereka dan menyuruh dicukur kepala mereka" (Soheh Ibnu Hibban; 5311. Isnadnya hasan).

Jika terlepas hari ke 7, bolehlah dibuat bila-bila masa selagi anak belum baligh. Oleh kerana anak puan yang ke 2 dan ke 3 itu telah melepasi hari ke 7 masing-masing, maka tidak ada halangan untuk dibuat aqiqah serentak untuk mereka, tetapi dengan syarat untuk setiap anak seekor kambing sekurang-kurangnya

3. Untuk anak lelaki disunatkan dua (2) ekor kambing, namun kalau dibuat seekor sahaja pun memadai. Nabi SAW walaupun baginda mensunatkan dua ekor kambing untuk anak lelaki, namun baginda hanya buat seekor sahaja untuk cucu baginda Hasan dan Husain; seekor untuk Hasan dan seekor untuk Husain. Boleh juga dibuat berperingkat; dibuat seekor dulu, kemudian seekor lagi bila mampu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh Menyambut Kelahiran Bayi & Fiqh Aqiqah, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

Soalan; ustaz, mencium mushaf al-Quran, adakah bid'ah?

Jawapan;

Biasanya seorang muslim mencium mushaf adalah kerana membesarkannya, maka tujuan tersebut menepati sifat hati orang beriman yang disebut dalam firmanNya;

"Sesiapa mengagungkan syiar-syiar (tanda-tanda agama) Allah, maka ia adalah dari ketakwaan hatinya" (surah al-Hajj, ayat 32).

Ada riwayat menceritakan; Saidina 'Umar RA pernah mencium mushaf, lalu berkata 'Ini adalah perjanjian Tuhanku'. Perbuatan yang sama turut diriwayatkan dari Saidina 'Usman RA.

Diceritakan juga; Ikrimah meletakkan mushaf di mukanya sambil berkata; 'Kitab Tuhanku, Kitab Tuhanku' (at-Tibyan, Imam an-Nawawi).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Dar al-Iftak Jordan, mufti; Syeikh Nuh Salman (https://www.aliftaa.jo/), no. fatwa; 2645.
2. at-Tibyan Fi Adabi Hamalatil Quran (Imam an-Nawawi), hlm. 191 (Maktabah al-Muayyad).


Apa hukum orang bukanIslam memasuki masjid? Adakah dilarang sepenuhnya? Atau diharuskan dengansyarat-syarat tertentu?

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie –sebagaimanayang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin-; Diharuskankepada orang-orang kafir untuk memasuki mana-mana masjid selain Masjidil Haramdan masjid-masjid dalam Tanah Haram, dengan syarat mendapat keizinan dariorang-orang Islam. Tidak harus mereka memasuki Tanah Haram dalam apa jua keadaansekalipun. Adapun masjid-masjid selain Masjidil Haram, harus mereka memasukinyadengan keizinan kaum muslimin. Tidak harus tanpa keizinan kaum muslimin mengikutqaul soheh (dalam mazhab Syafiie) (Rujukan; Raudhatu at-Talibin (Imaman-Nawawi), 1/301).

Larangan orang kafir memasukiMasjidil Haram adalah berdalilkan firman Allah;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَالْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Wahai orang-orang yangberiman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu adalah kotor.Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini….” (surah at-Taubah, ayat 28).

Adapun keharusan merekamemasuki masjid-masjid yang lain, adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

1.      Pernah seorang tawanan yang masihkafir (iaitu Tsumamah bin Utsal) diikat oleh Nabi SAW di dalam masjid, iaitu disalah satu tiang dalam masjid (lihat; Soheh al-Bukhari; 462. Soheh Muslim; 1764/59.dari Abu Hurairah RA).

2.      Nabi SAW pernah menerimakedatangan rombongan Nasrani (Kristian) Najran dan menempatkan mereka di dalammasjidnya. Imam al-Khatib as-Syirbini menjelaskan dalam kitabnya Mughnial-Muhtaj; “Telah tsabit bahawa Nabi SAW pernah membenarkan orang-orang kafirmemasuki masjidnya. Perkara itu berlaku setelah turunnya surah at-Taubah (yangmelarang orang kafir memasuki Masjidil Haram tadi). Surah at-Taubah diturunkanpada tahun ke 9 hijrah, sedang para rombongan kaum tiba kepada baginda padatahun ke 10 hijrah. Antara romobongan yang datang ialah rombongan Nasrani (Kristian)Najran. Nabi SAW menempatkan mereka di dalam masjidnya dan berdiskusi denganmereka tentang isu al-Masih (Nabi Isa AS) dan isu-isu lainnya” (Mughnial-Muhtaj, 4/311).  

Kesimpulannya, berdasarkanpandangan mazhab Syafiie; orang kafir dibolehkan memasuki masjid dengansyarat-syarat berikut;
1.      Bukan Masjidil Haram danmasjid-masjid dalam Tanah Haram.
2.      Mendapat keizinan dari kaummuslimin, termasuk ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka.

Wallahu a’lam.

Tambahan (pandanganmazhab-mazhab lain);

1. Menurut Imam Malik; orang kafir tidak harus memasukimasjid melainkan jika ada suatu keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah;  hanya orang kafir kitabi sahaja diharuskanmemasuki masjid. Adapun kafir musyrik tidak harus memasukinya berdalilkanhadis;

لَايَدْخُلُ مَسْجِدَنَا هَذَا مُشْرِكٌ بَعْدَ عَامِنَا هَذَا، غَيْرَ أَهْلِالْكِتَابِ وَخَدَمِهِمْ
“Tidak boleh memasuki masjid kita (bermula) tahun ini orangmusyrik kecuali ahli kitab dan juga khadam mereka” (Musnad Ahmad; 14649)

Rujukan;Syarh as-Sunnah (Imam al-Baghawi), 11/82. Ibanat al-Ahkam syarh Bulughul Maram,1/268. 

Soalan; ustaz, saya hendak tanya pasal orang perempuan ada 9 nafsu dan 1 akal, terbalik dengan lelaki (9 akal, 1 nafsu). Betul ke hal tu? Daripada hadis ke apa sumbernya?

Jawapan;

Dalam Soheh al-Bukhari, ditemui hadis menyebutkan; "Wanita kurang akal dan agamanya (berbanding lelaki). Kurang akal di mana kesaksian seorang wanita separuh kesaksian lelaki (*yakni dalam kesaksian, 4 saksi wanita menyamai 2 saksi lelaki). Kurang agama di mana wanita ketika haid tidak boleh lagi solat dan berpuasa (*lelaki pula boleh solat dan puasa sepanjang masa)" (Soheh al-Bukhari; 304. Dari Abu Sa'id al-Khudri RA).

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha; maksud hadis itu ialah melihat secara umum (umum kaum wanita berbanding kaum lelaki). Adapun secara khusus (individu), terdapat ramai wanita lebih berakal dari ramai orang lelaki.(1) 

Sebahagian ulamak berkata; maksud kurang akal dalam hadis di atas ialah dinisbah kepada hati, yakni; wanita dijadikan Allah dengan memiliki perasaan hati yang lebih kuat berbanding dengan penilaian akal/logiknya, berbeza dengan lelaki yang memiliki penilaian akal lebih kuat dari perasaan hatinya. Hal itu kerana tugas-tugas asasi wanita (mengandungkan anak, kemudian menyusuinya, menjaga dan mengasuhnya, melayani suami dan anak-anak dan sebagainya) memerlukan sifat kasih dan simpati yang berterusan dan sifat-sifat itu hanya lahir dari perasaan hati yang kuat dan tabah. Berkata Syeikh Sya'rawi; "Manusia memerlukan kasih sayang dan belaian seorang ibu dan kebijaksaan seorang bapa".(2)

Kurang agama pula bermaksud; kaum wanita diberi keringanan yang lebih dalam agama berbanding lelaki. Tuntutan agama ke atas mereka lebih ringan dari kaum lelaki, kerana itu digugurkan kewajipan solat dan puasa dari mereka sepanjang masa haid dan nifas, mereka tidak diwajibkan keluar berjihad, solat berjamaah dan solat jumaat.(3)

Adapun kenyataan "wanita memiliki 9 nafsu dan 1 akal", belum ditemui sumber hadisnya.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Ta'liq 'ala Soheh al-Bukhari.
(2) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).
(3) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).

Soalan; ustaz, apakah Diterima hukum karma di dalam islam. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan;

"Hukum Karma" adalah konsep aqidah dari agama Hindu dan Budha. Pada luarannya ia adalah hukum sebab dan akibat (Baik mengakibatkan keelokan, jahat mengakibatkan keburukan). Hukum sebab dan akibat diakui oleh Islam, namun ia tidak berjalan sendiri, sebaliknya ia sebahagian dari sunnatullah. Menurut Islam, tidak ada yang berlaku di alam tanpa tertakluk kepada ketentuan Allah atau takdirNya.

Itu dilihat pada luaran hukum karma. Jika dibaca lebih lanjut tentang hukum karma, hakikat hukum karma terlalu jauh menyimpang dari aqidah Islam.

Di antara yang ditulis dalam Wikipedia versi Indonesia tentang hukum karma; "Sang Buddha menguraikan tentang Hukum Karma : 'Takdir adalah karma dari kumpulan perbuatan masa lalu. Karma masa lalu menjadi takdir pada kehidupan yang sekarang. Karma saat ini adalah pembentuk kehidupan selanjutnya" (https://id.wikipedia.org/wiki/Kitab_Hukum_Karma).

Dalam aqidah Islam, kehidupan kita hari ini tiada kaitan dengan karma masa lalu. Setiap bayi yang lahir, lahir di atas fitrah. Kelahirannya bukan dari karma dari yang silam, tetapi lahir dari takdir Allah, dengan kelahiran yang fitrah (bersih dari dosa dan tanggungan). Kerana itu para Fuqahak menegaskan; al-Asl baraatu az-zimmah (Asal setiap manusia adalah bebas tanggungan).

Disebutkan juga dalam sumber yang sama (contoh karma); "Kenapa di kehidupan ini anda hidup sebatang kara (anak yatim), Sebab di kehidupan yang lalu anda sering menembak burung".

Dalam akidah Islam, kehidupan kita yang lalu ialah kehidupan dalam perut ibu. Pada ketika itu, kita belum dianggap hidup, apatahlagi hendak dianggap mukallaf. Maka bagaimana orang yang belum hidup dan tidak mukallaf hendak dipertanggungjawabkan, kemudian dibalas dalam kehidupan hari ini bagi perkara yang dia tidak pernah lakukan.

Menurut aqidah Islam, manusia hanya akan dipertanggungjawabkan bermula dari saat dia akil baligh (mula dewasa dan berakal) dalam kehidupan di dunia ini. Dari saat itu perbuatan-perbuatannya dikira dan tertakluk dengan hukum-hakam Syariat Allah di dunia dan pembalasanNya di akhirat.

Wallahu a'lam.

Soalan; Apa hukum patung atau tugu yang dibuat bukan untukdisembah?

Jawapan;

Membuatdan menyimpan patung (termasuk tugu) yang berupa makhluk bernyawa dilarang didalam Islam. Nabi SAW bersabda;

لَاتَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلَا تَمَاثِيلُ
“Para malaikat tidak akanmasuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan patung-patung” (SohehMuslim; 2106/87. Dari Abi Talhah al-Ansari RA).

Abu Hayyajal-Asadi menceritakan; Saidina ‘Ali RA berkata kepadaku; ‘Ketahuilah bahawa akumengutusmu untuk melaksanakan tugas sebagaimana aku dulu diutuskan oleh NabiSAW untuk melakukannya, iaitu; “Jangan engkau biarkan satu patungpun melainkanhendaklah engkau musnahkan, dan jangan biarkan satu kuburpun yang tinggi dariyang lain (yakni dibuat binaan di atasnya) melainkan hendaklah kamu ratakan”(Soheh Muslim; 969/93).

Abu Hurairah RAmenceritakan; Rasulullah SAW telah menceritakan; Jibril AS telah datangkepadaku, lalu berkata; ‘Sebenarnya kelmarin aku telah datang kepadamu, namunaku terhalang memasuki rumah kamu kerana di pintu rumah terdapat patung lelaki-lelaki,di dalam rumah pula terdapat tirai yang terdapat gambar-gambar patung padanya,begitu juga terdapat anjing di dalam rumah. Hendaklah kamu menyuruh supayadikerat/dipotong kepala patung yang terdapat di pintu rumah hingga ia menjadiseperti rupa pokok (yakni tidak berupa haiwan lagi), dipotong kain tirai dandijadikan dua kain lapik yang dihampar untuk dipijak (atau diduduki). Anjingpula suruhlah agar diusir keluar. Lantas Nabi SAW melakukan sebagaimana yangdisuruh oleh JIbril RA (Sunan at-Tirmizi; 6806. Hadis hasan).

Hadis ini menolakpandangan yang menganggap patung yang dilarang hanyalah yang dijadikan sembahanatau dibimbangi dijadikan sembahan, kerana tidak tergambar oleh sesiapapunbahawa patung yang ada dalam rumah Nabi SAW adalah untuk sembahan.[1]

MenurutSyeikh ‘Atiyah Saqar;[2]“Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa haram menyimpan patung (yangberupa makhluk bernyawa) jika tujuannya adalah untuk penyembahan dan pemujaan,kerana ia adalah rijs (kotoran) yang disebut Allah dalam firmanNya;

فَاجْتَنِبُواالرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
“Jauhilah rijs (kotoran) iaitu berhala-berhala, dan jauhilahperkataan dusta” (Surah al-Haj, ayat 30).

Jikatujuan menyimpannya bukan untuk sembahan atau pemujaan, ia turut diharamkanjika mempunyai ciri-ciri berikut;
1. Patung itu sempurna anggota-anggotanya.
2.  Tidak ada keperluan untuk membuat atau menyimpannya.
3.   Dibuat dengan bahan yang boleh kekal dalam tempoh yang lama sepertikayu, logam atau batu.

Merujukkepada ciri-ciri di atas, dikecualikan dari hukum haram tadi patung-patungberikut;

1.Patung yang tidak sempurna, iaitu patung yang berbentuk separuh badan, atauyang kurang anggotanya sekira-kira jika diandaikan patung itu makhluk hidup, iatidak akan dapat hidup tanpa anggota itu (seperti patung yang tidak berkepaladan sebagainya). Patung jenis ini tidak haram, namun makruh. Menurut mazhab Maliki;diharuskan patung yang berlubang yang menghalang hidup (jika diandaikan iahidup) sekalipun lubang itu kecil. Mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkanlubang itu besar.

2.Dibolehkan patung yang dibuat untuk suatu maslahah seperti sebagai permainan kanak-kanakperempuan (untuk pendidikan mereka) atau sebagai alat bantuan dalam pembelajaran,kerana Nabi SAW tidak melarang ‘Aisyah RA ketika melihat dia bermain denganpatung kanak-kanak perempuan bersama rakan-rakan perempuannya (*ketika mulatinggal dengan Nabi SAW, ‘Aisyah RA baru berusia 9 tahun), sebagaimana yangdiceritakan oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim.[3]Para ulamak menjelas illah (sebab)nya, iaitu; patung permainan itudibolehkan sebagai latihan atau bimbingan bagi kanak-kanak perempuan untuk masadepannya.
3.Sekiranya patung dibuat dari bahan yang tidak kekal lama seperti dibuat darimanisan atau tepung, sebahagian ulamak mazhab Maliki mengharuskannya, antaranyaIbnu al-Faraj al-Maliki dan Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (Tafsir al-Qurtubi;surah Saba’, ayat 13)” (Tamat fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar).

Kesimpulan; pada dasarnya, patung yang berupa makhluk bernyawa (yakni manusia atau haiwan) -jika memenuhi ciri-ciri di atas- adalah dilarang oleh Syariat Islam sekalipun tidak dijadikan sembahan kerana hadis-hadis Nabi SAW yang melarangnya bersifat umum.

Wallahua’lam.




[1]Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no. 7458.
[2] Himpunan Fatwa Dar al-Iftak al-Misriyyah, 10/96.
[3]Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Aku bermain dengan patung kanak-kanakperempuan ketika telah tinggal bersama Nabi SAW. Aku juga mempunyainkawan-kawan perempuan yang turut bermain denganku” (Soheh al-Bukhari; 6130.Soheh Muslim; 2440/81).

Khamis, 29 Oktober 2015

Soalan; ustaz ape beza antara zat dan sifat Allah?

Jawapan;

Bismillah. Zat bermaksud hakikat sesuatu yang membezakannya dari yang lain. Ada ulamak memberi makna zat dengan nafs (diri), zat sesuatu = diri sesuatu. Sifat pula ialah nama/sebutan yang menunjuk kepada keadaan-keadaan zat atau tanda yang bersifat lazim pada zat yang dengannya ia dikenali. Allah tidak serupa dengan makhluk, maka zatNya dan juga sifatNya berbeza dari mana-mana makhlukNya.

Wallahu a'lam. 

Rujukan;
1. at-Ta'rifaat, 'Ali bin Muhammad al-Jurjani.

Ahad, 6 Julai 2014

Soalan; Assalamualaikum ustaz! Di sini saya ingin bertanya, betul ke, saya dengar seseorang yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan akan terlepas daripada soal kubur sehingga hari kiamat...pohon penjelasan ustaz.

Jawapan;

Bismillah. Orang yang mendakwanya perlu membawa dalil syarak (al-quran atau hadis). Setakat ini dalam pencarian saya belum menemui hadis yang menyebutnya. Ada hadis menyebutkan; "Sesiapa yg berpuasa kerana Allah, lalu dia mati ketika sedang berpuasa, akan masuk syurga" (Musnad Ahmad: 23324, soheh). Hadis ini menyebutkan kelebihan mati ketika puasa. Jika seorang itu mati dalam bulan Ramadhan ketika sedang berpuasa dia masuk dalam hadis ini. Adapun kelebihan mati dalam bulan Ramadhan sahaja (tanpa kaitan dengan puasa), belum menemui hadis tentangnya. Wallahu a'lam.

Isnin, 16 September 2013

Soalan; As salamu'alaikum..ustaz..saya nakbertanya  satu soalan & berharap ustaz memberi pandanganustaz..Mengenai watak kartun minion yg bermata satu dlm kartun dispicable me.saya telah membeli ank patung(soft toy) yg bermata satu tersebut untuk anak saya.Adakah perbuatan itu salah? Adakah ia akn terpesongkan akidah kita?? adakah akanmengkafirkan & mengjahilkan sifat seseorg tu? Sedangkan kita sebagai ibubapa tak terlintas & tidak ada niat lansung tentang anak patung ygmenyerupai dajal..Sehingga ada segelintir hamba allah juga myatakan logo disneyjuga menyerupai mata satu dan disarankan supaya tidak membeli barang ygberjenama disney kerana logonya seakan akan bermata satu..adakah perbuatan saaysalah, berdosa,&memesongkan akidah saya ustaz? harap ustaz dpt penjelasanyg lebih terperinci? terima kasih..

Jawapan

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

1. Di antara tanda iman ialah kita menyintai orang yang dicintai Allah danmembenci orang yang dibenci Allah. Maksud menyintai itu termasuklah kepadasifat-sifat dan keperibadiannya. Dajjal adalah di antara makhluk yang dibenciAllah kerana ia menyesatkan manusia. Segala imej yang menyerupai orang yangdibenci Allah atau menggambarkan apa-apa sifatnya hendaklah dijauhi darianak-anak sekalipun hanya berupa mainan.

2. Dari segi gambaran Dajjal bermata satu, gambaran itu tidaklah tepat. Apayang disebut dalam hadis ialah; buta sebelah matanya, bukan bermata satu. SabdaNabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnyatentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu dajjal). Ketahuilahbahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Ditengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’” (Soheh al-Bukhari; 7408. SohehMuslim; 2933, dari Anas bin Malik RA). Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjalitu mata kirinya buta, rambutnya lebat/kusut, serta mempunyai syurga danneraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka” (Soheh Muslim,2934, dari Huzaifah RA).

3. Dari segi dosa, tidaklah dikira dosa perkara yang kita lakukan keranatersalah atau jahil. Kita hanya berdosa jika tidak membetulkan kesalahan dankejahilan itu setelah mengetahui apa yang benar tentangnya.

Wallahu a'lam.

Isnin, 10 September 2012

Soalan; Assalamualaikum w.b.t Salam Ustaz Aznan. Sejak akhir-akhir ini, banyak isu tentang ayat mutasyabihat yang didebatkan/dibentangkan di Internet. Orang awam seperti saya banyak melihat isu-isu perselisihan ini di You Tube. Saya sebagai orang awam kadang-kala terkeliru kerana ada ustaz yg menghuraikan begini dan ada ustaz lain pula yg menghuraikan sebaliknya. Salah satu kekeliruan saya ialah tentang Ayat 5 Surah Toha. Ada ustaz yg mengatakan ayat itu dihuraikan mengikut makna asal sahaja. Sedangkan apa yang diajar oleh ustaz disekolah dan guru-guru kita ialah Allah itu wujud tanpa bertempat.  Adakah ini satu khilaf dikalangan ulamak yg dibenarkan? Ataupun inilah satu cara orientalis untuk memecahbelahkan kita umat Islam? Mohon pencerahan daripada Ustaz. Terima kasih.

Jawapan;

Ayat yang ditanya itu menyentuh tentang ‘Arasyh Allah dan beristiwanya Allah di atas ‘Arasyh.

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Allah) Ar-Rahman beristiwa di atas Arasy” (Surah Thaha, ayat 5).

Di dalam al-Quran, ayat yang serupa terdapat dalam tujuh surah; al-A’raf (ayat 54), Yunus (ayat 3), ar-Ra’du (ayat 2), Thaha (ayat 5), al-Furqan (ayat 59), as-Sajdah (ayat 4) dan al-Hadid (ayat 4).

Ayat tersebut termasuk dalam ayat-ayat mutasyabihat iaitu ayat-ayat yang lafaz zahirnya seolah-olah menggambarkan penyamaan Allah dengan makhluknya iaitu ayat-ayat yang menyebutkan wajah Allah, tangan Allah, mata Allah, Allah berada di langit dan sebagainya. Kerana itu, para ulamak Khalaf (al-Asya’irah dan Maturidiyyah) mentakwilkannya (yakni mentafsirkan ayat-ayat tersebut dengan makna majaznya iaitu makna yang tersirat baginya untuk mengelak dari menyerupakan Allah dengan makhluk), ulamak-ulamak Salaf pula enggan mentakwilkannya, namun mereka berkata; makna zahir ayat tidak dimaksudkan (kerana ia menggambarkan penyerupaan Allah dengan makhluk), namun apa makna sebenarnya terserahlah kepada Allah (tidak perlu kita menyebukkan diri untuk mengorek rahsianya, yakni memadai dengan kita beriman sahaja dengan ayat-ayat tersebut). 

Imam Ibnu Taimiyah, Ibnul-Qayyim dan beberapa ulamak lagi (yang menjadi ikutan golongan Salafiyah hari ini); ayat tersebut dipakai dengan makna zahirnya, tidak perlu ditakwilkan dan tidak perlu dianggap maknanya terserah kepada Allah kerana dengan makna zahir ayat kita sudah dapat memahami ayat itu mengikut kehendak Allah. Kita menerima zahir ayat, namun jangan kita menyamakan sifat yang disebut dalam ayat mutasyabihat itu dengan sifat manusia atau makhluk lain. Nama atau sebutan kebetulannnya sama, namun kaifiatnya berbeza antara Allah dan makhluk. Maka apabila al-Quran menyebutkan “Tangan Allah”, menurut pandangan ketiga ini; Allah sememangnya bertangan (kerana Allah menyebutnya), namun jangan kita gambarkan tangan Allah itu seperti tangan makhluk. Tangan Allah itu adalah sifatNya, bukan anggotaNya sebagimana tangan makhluk.

Mazhab Khalaf dinamakan sebagai mazhab Isbat wa Takwil (yakni menerima ayat-ayat mutasyabihat itu dengan mentakwil (mentafsirkan) maknanya), mazhab Salaf dinamakan mazhab Isbat wa Tafwidh (yakni menerima ayat-ayat mutasyabihat itu tetapi menyerahkan maknanya kepada Allah) dan mazhab Ibnu Taimiyah (Salafiyah) dinamakan; Isbat wa Tanzih (menerima ayat-ayat mutasyabihat tadi dengan makna zahirnya tetapi dengan mentanzihkan Allah (yakni menyucikanNya) dari penyerupaan dengan makhluk).

Secara dasarnya, ketiga-tiga mazhab ini ada titik pertemuanya, iaitu semua mereka mengisbatkan (yakni menerima) ayat-ayat mutasyabihat. Begitu juga, semua mereka sepakat menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk. Perbezaan mereka ialah dalam memahami kehendak ayat-ayat mutasyabihat tersebut dan menentukan mana yang paling tepat dengan kehendak Allah dari ayatNya antara mentakwilkanya, menyerahkannya kepada Allah atau memakai makna zahirnya tetapi berserta penyucian dari persamaan.

Merujuk secara khusus kepada makna Istiwa Allah di atas ‘Arasyh, pandangan ketiga-tiga mazhab ini adalah seperti berikut;

1. Mazhab Khalaf; makna zahir istiwa ialah istaqarra dan ‘ala (iaitu menetap di atas sesuatu atau meniggi di atas sesuatu). Makna ini menurut Khalaf menyamakan Allah dengan makhluk, iaitu seolah-olah Allah itu bertempat dan berarah seperti makhluk. Kerana itu, hendaklah dipakai makna majaznya (yakni makna yang tersirat darinya) iaitu istaula atau malika yang bermaksud; menguasai atau memiliki, yakni “(Allah) ar-Rahman memiliki (atau menguasai) ‘ArasyhNya”.

2. Mazhab Salaf; istiwa Allah diyakini sebagaimana yang disebut oleh Allah tanpa perlu ditafsirkan apa maknanya. Sebarang makna bagi ayat tersebut yang menunjukkan seolah-olah Allah sama seperti makhluknya  makna itu tidak dikehendaki (yakni perlu dinafikan), namun apa makna sebenarnya bagi istiwa itu hanya Allahlah yang mengetahuinya. Tidak perlu kita menyebukkan diri mencari-carinya atau membahasnya kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi dan para sahabat. Imam Malik apabila ditanya tentang makna ayat tersebut, ia menjawab; “Tentang istiwanya Allah itu sedia diketahui (kerana Allah sendiri menceritakanya. Namun kaifiyat istiwa itu (yakni bagaimana pengertiannya Allah beristiwa itu) adalah majhul (yakni tidak diketahui (kerana Allah tidak menceritakannya). Sesiapa bertanya tentangnya (yakni menyebukkan diri untuk menyelidikinya) dia melakukan bid’ah (kerana Nabi dan para sahabat tidak melakukanya)”. Jawapan Imam Malik ini memberi gambaran kepada kita bagaimana pandangan Salaf tentang masalah ini. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya; “Mazhab Salaf ialah menerima ayat sebagaimana datangnya (yakni membacanya sahaja) tanpa takyif (menggambarkan bagaimana caranya Allah beristiwa itu), tanpa tamsil (menyerupakan Allah dengan makhluk) dan tanpa ta’til (menolak ayat atau menolak sifat Allah yang dinyatakan dalam ayatNya). Namun makna zahir ayat sebagaimana yang ada dalam kepala golongan musyabbihin (iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk) hendaklah dinafikan makna itu dari Allah kerana tidak ada mana-mana makhluk yang menyerupai Allah” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-A’raf, ayat 54).

3. Mazhab Salafiyah; mereka memakai makna zahir dari istawa iaitu istaqarra (menetap) dan ‘ala (meninggi), jadi makna Allah beristiwa di atas ‘Arasyhnya ialah Allah menetap dan meninggi di atas ‘ArasyNya. Ia selari dengan firman Allah yang menegaskan bahawa Allah di langit, kerana ‘AryashNya berada di langit. Namun jangan digambarkan menetap dan meninggiNya Allah  itu sama seperti menetap dan meningginya kita di atas sesuatu (katil, kerusi, bangunan tingkat atas dan sebagainya) kerana sifat Allah tidak sama dengan sifat makhluk walaupun menggunakan lafaz dan bahasa yang sama (contohnya; Allah mendengar dan makhluk mendengar. “Mendengar” adalah perkataan yang sama digunakan untuk Allah dan untuk makhluk, namun apabila kita mengakui Allah bersifat dengan as-Sama’ (mendengar) wajib kita mengiktiqadkan bahawa mendengarnya Allah tidak sama seperti mendengarnya makhluk walaupun bahasa yang digunakan adalah sama. Maka keadaan yang sama bagi istilah istaqarra (menetap) dan ‘ala (meninggi). Sama juga halnya ketika kita membaca hadis Nabi; “Allah turun ke langi dunia ketika tiba saat 1/3 malam yang akhir”, maka menurut mazhab ini; Allah sememangnya turun ke langit dunia (kerana itu yang diceritakan Nabi), namun cara bagaimana turunnya Allah jangan kita gambarkan seperti turunnya makhluk dari tingat atas ke tingkat bawah).

Perbahasan tentang ayat-ayat mutasyabihat seperti ini memang merumitkan dan banyak membawa pertikaian sesama kaum muslimin yang tidak pernah berkesudahan, malah lebih mengecewakan apabila sebahagian puak mengkafirkan sebahagian puak atau mazhab yang lain kerana perbezaan tersebut. Kerana itu, langkah dan sikap terbaik ialah dengan kita mengikuti saranan al-Quran iaitu; “Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, mereka berkata (tentang ayat-ayat mutasyabihat): ‘Kami beriman dengannya kerana semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” (Surah Ali Imran, ayat 7). Kita beriman dengan ayat-ayat tersebut tanpa berpanjang-anjang membahaskannya. Masa kita lebih baik kita gunakan untuk memahami, mengkaji dan mengamalkan ayat-ayat Muhkamat yang jauh lebih banyak dari ayat-ayat mutasyabihat tersebut. Secara keseluruhannya, perhatikan firman penuh Allah dalam ayat 7 (surah Ali Imran tersebu);
 
“Dia lah (Allah) yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (Al-Quran) sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat ‘Mutasyaabihaat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama mereka berkata: ‘Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami’ dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran” (Surah Ali Imran, ayat 7).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Al-I’tiqad wa al-Hidayah Ila Sabil ar-Rasyad, Imam al-Baihaqi, hlm. 120.
2.      Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin, 335.

Sabtu, 8 September 2012

Soalan; ASSALAMUALAIKUM, APAKAH HUKUM JIKA SAYA MENGGUNAKAN MINYAK PENGASIH KEPADA SUAMI? DENGAN NIAT SAYA INGIN MENJAGA RUMAHTANGGA...., INGIN SELALU DIKASIHI SUAMI...., DAN UNTUK ELAKKAN DARI PERGADUHAN. SUAMI SAYA SEORANG YANG CEPAT MARAH (BARAN). KADANGKALA BILA BERBUAL ADA YANG TERSILAP KATA, TERUS MARAH2. KADANGKALA SEHINGGA SELALU MAIN2 DENGAN PERKATAAN CERAI. SAYA TAK MAMPU LALUI SEGALANYA. SAYA JUGA TELAH MENGGUNAKAN MINYAK ANUGERAH SERI DAN SUAMI ISTERI. ALHAMDULILLAH ADA PERUBAHAN. SEGALANYA KERANA ALLAH TAALA. NIAT SAYA SANGAT2 INGINKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA DAN INGINKAN PERUBAHAN SUAMI.
HARAP USTAZ DAPAT BANTU MENJAWAP.

Jawapan;

Elakkan dari amalan pengasih kerana ia membawa kepada Syirik. Berubat dengan syirik umpama mengambil dadah yang mana ia menenangkan seketika, tetapi membawa derita selama-lamanya di kemudian hari.

Yakinlah kepada Allah, jangan berputus asa mengharap kepadaNya, jaga solat fardhu, banyakkan solat hajat dan beristighfar, manfaatkan ketika sujud untuk memohon hajat kepada Allah. Penyelesaian dengan minyak pengasih akan membawa kemusnahan di kemudian hari, bayangkan bagaimana jika suami mengetahui? Namun pengelesaian dari Allah akan membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Yakinlah kepada Allah dan jangan berputus asa dari rahmah dan kurniaanNya.

Wallahu a'lam.

Rabu, 22 Jun 2011

Soalan; salam, ustaz;
1. ustaz seperti yg di maklum kpd saya... ulma 4 mazhab meletakkn hukum wajib untuk org islam b'janggut...sya agk kecewa dengan ustaz2 @ ulama malaysia yg tidak menhirau kan sunnah ini...melalui pemerhatian saya ada yg sggp mencukur janggt tsbt dgn sengaja...bila bab hukum ahkam bukan main lagi ustaz...bila ceramah bab keperibadian rasulullah...sampai nmpk urat leher...mcm mana sya nk ikut kata2 seorng sendiri tak mgamalkn yg apa dia katakan...ada yg misai lbh pjg dr janggut...ini kah ulama kita masa kini ustaz.....bila b'pakaian mereka lbh rela memakai baju kot dari memakai baju jubah...adakah mereka lbh bgga dgn bju yg d reka oleh org yahudi dr bju yg d reka oleh kekasih kita....sepatut nya mereka yg menunjukn kepada kami(org jahil ttg agama) ttg keperibadian rasulullh...tetapi keperibadian hnya di mulut2 mereka shj ustaz...bila saya prgi ke kuliah ustaz2 sya mjadi mrh ttg ini ustz..tapi apakn daya ustaz...ilmu ttg agma sya kurang...dsmping ustaz & ulama adlah pwaris nabi saw...sila terang kn kpd saya ustaz...
2. ustaz...sya da terbca sebuah hadis nabi, klu kita mengikut cara sesuatu bangsa, di akhrat klk kita akn d bangkit kan dgn bangsa tersbt..
dan klu kita mgikut cara hidup bngsa melayu, dan akn d bngkitkn dengan bgsa melayu...dan bukan dibangkit kan di bsama dengan kekasih kita rasulullah saw...sila terangkan kpd saya ustaz..
sekian terima kasih.. 

Jawapan;

1. Perbuatan/amalan Nabi ada yang wajib dan ada yang mustahab (sunat). Menyimpan janggut adalah amalan yang wajib kerana ada arahan Nabi yang cukup jelas supaya lelaki umatnya menyimpan janggut. Adapun pakaian, yang wajib ialah berpakaian menutup aurat kerana ia adalah perintah yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Adapun memakai jubah, ia adalah mustahab (digalakkan dan berpahala jika berniat mengikut pakaian Nabi). Jika tidak memakai jubah tidaklah berdosa kerana tiada dalil al-Quran mahupun as-Sunnah mewajibkan pemakaian jubah. Yang diwajibkan oleh al-Quran dan as-Sunnah ialah berpakaian menutup aurat tanpa ditentukan fesyen tertentu.

2. Ya, terdapat hadis (bermaksud); "Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka". Menurut ulamak; penyerupaan yang dilarang ialah yang meniru identiti khusus penganut agama kafir seperti memakai salib, kopiah yahudi atau sebagainya. Adapun perkara yang bersifat umum dilakukan oleh suatu bangsa (yang tidak khusus menjadi identiti agama), ia tidaklah dilarang. Contoh; kain pelikat dipakai oleh orang beragama Islam (di India dan di Malaysia) dan dipakai juga oleh penganut hindu (di benua India). Jubah dan serban pada zaman Nabi dipakai oleh orang Arab yang memeluk Islam dan juga orang Arab yang masih musyrikin, malah hari ini di Negara Arab, orang-orang Arab beragama kristian ada yang berjubah kerana ia telah menjadi pakaian tradisi orang Arab tanpa mengira agama.

3. Tidak sewajarnya para ulamak dan ustaz meninggalkan amalan Nabi yang wajib. Adapun amalan yang mustahab, sebolehnya mereka mempraktikkannya -sekalipun tidak sepanjang masa- agar menjadi contoh kepada orang lain dan agar tidak mati amalan tersebut.  

Wallahu a'lam.

Jumaat, 27 Mei 2011

Soalan; Assalamualaikum Ust. Saya nak tanya satu soalan. Boleh tak kalau kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si Anu masuk syurga si Anu kafir, si Anu masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah nabi pernah mengatakan seorg wanita masuk neraka dgn sebab dia menyiksa seekor kucing dan seorang wanita yg lain masuk syurga dgn sebab dia memberi minum seekor anjing? Minta penjelasan ust.

Jawapan;

1. Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pemgampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini ia melakukan maksiat, mungkin esok ia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan ia menjadi ahli syurga. Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan ia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka. Apa yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan ia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas dari al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkaiNya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka). 

2. Adapun Nabi, ia bercakap berdasarkan wahyu dari Allah. Jika ia berkata "Si Fulan adalah ahli syurga" (sebagaimana ia ucapkan tentang 10 sahabat yang dijamin syurga), itu adalah dari apa yang Allah khabarkan kepada baginda. Begitu juga, jika baginda berkata "Si Fulan ahli neraka" atau "Si Fulan di azab dalam kuburnya" (sebagaimana ucapan baginda tentang penghuni 2 kubur yang diazab kerana mengadu domba dan tidak menjaga kencingnya), itu juga perkhabaran dari Allah. Adapun kita hari ini, tidak ada wahyu yang turun memberitahu kita si fulan adalah ahli syurga atau si fulan ahli neraka kerana tiada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad. Yang ada pada kita ialah al-Quran dan as-Sunnah yang menyebutkan amalan-amalan yang membawa ke syurga atau ke neraka dan golongan-golongan ahli syurga dan ahli neraka secara umum kecuali individu-individu tertentu yang disebut secara jelas sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Maka orang lain selain individu-individu itu masa depan mereka masih tidak pasti bagi kita.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Umar r.a. pernah menegur di dalam khutbahnya; “Kamu sekelian selalu berkata semasa peperangan bahawa “Si Fulan adalah syahid” dan “Si Fulan telah mati sebagai seorang syahid”…Janganlah sekali-kali kamu berkata seperti itu, akan tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah s.a.w.;
مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Sesiapa yang gugur di jalan Allah atau terbunh (di jalan Allah), maka dia adalah syahid”.
(Hadis hasan, riwayat Imam Ahmad. Lihat; Fathul-Bari, juz. 9, bab La Yaqul Fulan Syahid).

Wallahu a'lam.

Rabu, 25 Mei 2011

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan;

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar-. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa -sama ada besar atau kecil- wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.

Wallahu a'lam.

Ahad, 22 Mei 2011

Soalan; Assalamualaikum ustaz, semasa di zaman universiti dulu saya ada belajar subjek aqidah. saya pelajar aliran sains, tapi di universiti saya ada masukkan jgk subjek2 agama. Alhamdulillah dapat la belajar sedikit sebanyak. dalam satu sesi tu, kami ada belajar tentang perkara2 yang membatalkan iman. Antaranya ialah seperti menghalalkan yang haram, mengharamkan yg halal dan juga lain2. Bila saya terfikir pasal benda ni saya jadi risau pulak ustaz. Sebab kadang2 tu kan macam bila kita ada buat dosa, pastu dalam hati kita macam tak kisah dengan perbuatan dosa kita tu...seolah-olah macam kita menghalalkan yang haram......ataupun kadang2 bila kita nampak perbuatan dosa depan mata kita, tapi kita macam tak kisah akan perbuatan tersebut....saya takut semua ini termasuk dalam kategori menghalalkan yg haram yang boleh membawa kepada batalnya iman....nauzubillah.... mohon penjelasan daripada ustaz. Syukran ustaz. Moga Allah merahmati ustaz.

Jawapan;

Iman yang sempurna terkandung di dalamnya 3 unsur;
1. Keyakinan hati
2. Pengakuan lidah
3. Amalan anggota
 
Unsur pertama dan kedua adalah dasar iman di mana jika tiada seorang itu adalah kafir. Jika seorang muslim hilang keduanya ia akan jadi murtad. Adapun unsur ketiga (amalan) ia adalah penyempurna kepada iman. Jika tiada, tidaklah menjadi kafir atau murtad, akan tetapi imannya tidak sempurna yakni ia masih dianggap mukmin, namun mukmin ashi (mukmin yang melakukan maksiat). Seorang mukmin yang sempurna ialah mukmin muthi' (mukmin yang taat).
 
Seorang muslim/mukmin akan jadi kafir/murtad jika hilang keyakinan hatinya terhadap Allah atau Rasul atau Agama (yakni mana-mana ajaran Islam yang pasti, yang tidak diragui lagi kedudukannya sebagai ajaran Islam). Jika ia mengisytiharkan ketidakyakinannya kepada orang lain, ia kafir/murtad di sisi Allah dan di sisi manusia. Jika ia tidak mengisytiharkannya, ia kafir/murtad di sisi Allah, adapun di sisi manusia ia masih Islam kerana keputusan di sisi manusia dihukum berdasarkan apa yang zahir/nampak.
 
Merujuk kepada soalan saudara, selagi seorang itu tetap meyakini perintah Allah dengan hatinya dan tiada tanda/bukti secara zahir ia menafikan perintah itu, ia masih mukmin walaupun ia tidak melaksanakan perintah itu. Namun jika ia meninggalkan perintah itu bersama hati yang engkar (tidak percaya lagi dengan perintah itu) atau ia bercakap mengkritik perintah itu (dalam keadaan ia tahu itu perintah Allah yang pasti, tiada keraguan), ketika itu ia jadi kafir/murtad.
 
Wallahu a'lam.