Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Ahad, 6 Julai 2014

Soalan; salam..ust apakah hukum inaikan rambut dgn inai hitam yg halal...kerana rambut beruban sejak umur 12 tahun lg..skarang 35 thn..bolehkah hitamkan rambut dgn inai hitam ( bukan dail )..tima ksh ust

Jawapan;

Bismillah. Digalakkan mewarnakan uban, namun jgn dengan pewarna yg berwarna hitam. Sabda Nabi saw: Nabi pernah berkata kepada Abi Qahafah (bapa Saidina Abu Bakar) yang datang kepada Nabi dengan rambut dan janggut yang telah memutih (kerana uban); “Ubahlah warna rambut dan janggut kamu itu dengan sesuatu, akan tetapi jauhilah warna hitam” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.). Berkata Imam an-Nawawi; “Menurut mazhab Syafi’ie digalakkan mencelup uban dengan warna kuning dan merah sama ada bagi lelaki atau perempuan dan haram mencelupnya dengan warna hitam mengikut pandangan yang paling benar” (Syarah Soheh Muslim, juz. 14). Menurut ulamak: harus mencelup dgn warna hampir hitam asalkan bukan benar2 hitam (aunul ma'bud). Wallahu a'lam.

Soalan; assalamualaikum, ustaz.. saya sedia maklum bahawa emas (kuning) adalah haram dipakai oleh kaum lelaki. namun, adakah hukum yg sama dipraktikkan pada emas putih?.. terima kasih ustaz...

Jawapan;

Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan dari emas berdalilkan beberapa hadis Nabi SAW antaranya sabda baginda;

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي وَأُحِلَّ لِإِنَاثِهِمْ
“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari RA. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Persoalan yang timbul; adakah emas putih benar-benar emas (yakni diperbuat dari logam emas) atau hanya pada nama sahaja? Untuk menjawab persoalan ini, perlulah kita rujuk kepada orang yang ahli tentang logam untuk mengetahui apa yang menjadi kandungan dalam emas putih itu.

Menurut kajian Syeikh Abdurrahman ad-Dautsari dalam bukunya az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah (Emas Putih; apa ia sebenarnya dan hukum Syarak tentangnya) dijelaskan bahawa menurut orang-orang yang ahli tentang logam dan juga tukang-tukang emas; Nama/istilah emas putih pada hari ini merujuk kepada dua;

1.      Merujuk kepada emas yang dicampur dengan Platinum (25%) atau Nikel (15%), terhasillah emas putih. Emas tulin tidak cukup keras untuk dijadikan perhiasan, kerana itu ia perlu dicampur logam lain untuk lebih keras di samping untuk mendapatkan warna berbeza. Bila dicampur dengan sedikit tembaga akan menjadikan emas berwarna kemerahan. Bila dicampur dengan perak ia kelihatan hampir putih. Bila dicampur dengan platinum dan nikel, ia menjadi emas putih. (halaman 34)

2.     Merujuk kepada logam platinum itu sendiri (tanpa kaitan dengan emas). Platinum bila dibuat perhiasan sebahagian orang memanggilnya emas putih. Sebenarnya ia bukan emas, cuma kerana warnanya putih dan harganya mahal maka ia dipanggil emas putih (sebagaimana petroleum dipanggil emas hitam). (Halaman 41).

Merujuk kepada makna yang pertama, emas putih adalah emas pada nama dan hakikatnya. Maka ia tertakluk dengan hukum yang ditetapkan Syarak ke atas emas iaitu wajib dibayar zakat, haram berlaku riba, haram dipakai oleh kaum lelaki dan sebagainya lagi dari hukum-hakam yang ditetapkan Syarak ke atas emas.

Adapun merujuk kepada makna kedua, ia bukanlah emas pada hakikatnya. Hanya panggilan sahaja emas, namun sebenarnya ia bukan emas. Kerana itu ia tidak tertakluk dengan hukum emas. Harus bagi orang lelaki memakainya walaupun harganya lebih mahal dari emas kerana pengharaman hanyalah ke atas emas.  Dalam kaedah Fiqh ada disebutkan “Yang diambil perkiraan ialah apa yang ada di sebalik nama, bukan pada nama semata-mata”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah, tulisan Syeikh Abdurrahman bin Fahd al-Qad’an ad-Dautsari .