Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Selasa, 31 Ogos 2021

Sila ikuti di laman baru; (ilmudanulamak.com)

Soalan; adakah isteri wajib mentaati arahan suami agar jangan berbakti atau berbuat baik kepada dua ibu-bapanya?

Jawapan;

Soalan; ustaz, sepertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suaminya telah meninggal? Adakah syurganya kembali kepada ibu kandungnya?

Jawapan;

Hingga bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.
Sabda Nabi SAW;

الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا
“Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Al-Mu'jam al-Kabir, at-Thabrani; 2202. Menurut al-Munziri; sanad hadis ini baik. Lihat; at-Targhib wa at-Tarhib, al-Munziri; 3751).Sabda baginda juga;
رِضا الرَّبِّ فِي رِضا الوَالِدِ وَسُخْطُ الرَّبِّ فِي سُخْطِ الوَالِدِ
“Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (HR at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru RA. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Sama ada bergelar isteri atau tidak, seorang anak tetap wajib berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapanya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam al-Quran. Mentaati suami adalah perintah Allah, berbakti kepada ibu dan bapa juga perintah Allah, maka kedua-duanya wajib dilaksanakan semampunya.

Untuk memahami lebih lanjut, sila baca jawapan saya sebelum ini; (ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?).

Wallahu a'lam.


Soalan; ustaz, saya hendak tanya pasal orang perempuan ada 9 nafsu dan 1 akal, terbalik dengan lelaki (9 akal, 1 nafsu). Betul ke hal tu? Daripada hadis ke apa sumbernya?

Jawapan;

Dalam Soheh al-Bukhari, ditemui hadis menyebutkan; "Wanita kurang akal dan agamanya (berbanding lelaki). Kurang akal di mana kesaksian seorang wanita separuh kesaksian lelaki (*yakni dalam kesaksian, 4 saksi wanita menyamai 2 saksi lelaki). Kurang agama di mana wanita ketika haid tidak boleh lagi solat dan berpuasa (*lelaki pula boleh solat dan puasa sepanjang masa)" (Soheh al-Bukhari; 304. Dari Abu Sa'id al-Khudri RA).

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha; maksud hadis itu ialah melihat secara umum (umum kaum wanita berbanding kaum lelaki). Adapun secara khusus (individu), terdapat ramai wanita lebih berakal dari ramai orang lelaki.(1) 

Sebahagian ulamak berkata; maksud kurang akal dalam hadis di atas ialah dinisbah kepada hati, yakni; wanita dijadikan Allah dengan memiliki perasaan hati yang lebih kuat berbanding dengan penilaian akal/logiknya, berbeza dengan lelaki yang memiliki penilaian akal lebih kuat dari perasaan hatinya. Hal itu kerana tugas-tugas asasi wanita (mengandungkan anak, kemudian menyusuinya, menjaga dan mengasuhnya, melayani suami dan anak-anak dan sebagainya) memerlukan sifat kasih dan simpati yang berterusan dan sifat-sifat itu hanya lahir dari perasaan hati yang kuat dan tabah. Berkata Syeikh Sya'rawi; "Manusia memerlukan kasih sayang dan belaian seorang ibu dan kebijaksaan seorang bapa".(2)

Kurang agama pula bermaksud; kaum wanita diberi keringanan yang lebih dalam agama berbanding lelaki. Tuntutan agama ke atas mereka lebih ringan dari kaum lelaki, kerana itu digugurkan kewajipan solat dan puasa dari mereka sepanjang masa haid dan nifas, mereka tidak diwajibkan keluar berjihad, solat berjamaah dan solat jumaat.(3)

Adapun kenyataan "wanita memiliki 9 nafsu dan 1 akal", belum ditemui sumber hadisnya.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Ta'liq 'ala Soheh al-Bukhari.
(2) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).
(3) Syabakah al-I'lam al-'Arabiyyah (http://www.moheet.com).

Soalan; ustaz, adakah sah akad nikah melalui telefon dengan akad antara wali dan calon suami didengari oleh saksi-saksi melalui pembesar suara (load speaker)?

Jawapan;

Menurut keputusan Majmak al-Fiqh a-Islami (Himpunan ulamak untuk membahaskan isu-isu fiqh Islam); tidak boleh melakukan akad nikah melalui alat-alat perhubungan moden (telefon, faxs, internet dan sebagainya) kerana akad nikah mensyaratkan penyaksian (oleh saksi-saksi) (Muktamar ke 6, di Jeddah, bulan Sya'ban 1410, bersamaan Mac 1990).

Menurut mazhab Syafiie; saksi-saksi bagi akad nikah disyaratkan seorang yang dapat melihat, mendengar dan membuat kepastian (dhabt).(1) Syeikh Sulaiman al-Bujairmi menjelaskan; "Saksi hendaklah membuat kepastian terhadap lafaz-lafaz (akad) yang diucapkan oleh wali dan juga calon suami. Kerana itu tidak mencukupi dengan dia mendengar lafaz mereka dari ruang gelap (tanpa melihat mereka), kerana suara-suara boleh serupa" (Hasyiyah al-Bujairmi 'ala al-Khatib, 3/396). Berdasarkan penjelasan ini, saksi wajib hadir bersama ketika akad dilaksanakan (untuk melihat, mendengar dan membuat kepastian), maka tidak sah akad melalui telefon kerana saksi tidak hadir bersama sekalipun mereka dapat mendengar suara.

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Lihat; al-Iqna', Syeikh Khatib al-Syirbini.

Soalan; Adakah harus suami dengan sengaja –yaknitanpa sebab yang munasabah- melarang isteri dari pulang menjenguk ibu/bapanya,lagi pula mereka telah tua dan sakit?

Jawapan;

Berbuatbaik kepada dua ibu-bapa merupakan tuntutan yang besar dalam Syariat Islam,begitu juga menghubungkan silaturrahim. Maka suami sebagai ketua keluarga,wajib mendorong isteri supaya melaksanakan tanggungjawabnya, bukanmenghalangnya. Suami yang menghalang isteri dari menziarahi ibu atau bapanya(tanpa suatu sebab yang munasabah) –apatahlagi mereka telah tua dan sedangsakit- dia telah melakukan beberapa dosa;
1.   Dosa menghalang isteri dari menunaikan kewajipan kepadaibu-bapanya,
2.   Dosa menyebabkan terputusnya silaturrahim (ikatan kekeluargaan)antara isterinya dan keluarganya.
3.   Dosa tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.

Allahberfirman;

وَقَضَىرَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
“DanTuhanmu telah memerintahkan; janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia danberbuat-baiklah kepada dua ibu-bapa” (surah al-Israk, ayat 23).

Seorangwanita –sebagaimana juga lelaki- wajib berbuat baik dan berbakti kepada dua ibu-bapa.Sekalipun seorang wanita telah berkahwin, kewajipannya untuk berbuat-baik danberbakti kepada dua ibu-bapanya –seperti yang disuruh oleh ayat di atas- tidak tamatterutamanya apabila mereka memerlukannya dan dia mampu menunaikannya.

Mengenaidosa memutuskan silaturrahim, Nabi SAW bersabda;

الرَّحِمُمُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ تَقُولُ مَنْ وَصَلَنِي وَصَلَهُ اللهُ، وَمَنْ قَطَعَنِيقَطَعَهُ اللهُ
“Ikatanrahim (kekeluargaan) bergantungan di Arasyh Allah, di mana dia berseru; ‘Siapamenghubungkanku, nescaya Allah akan menghubungkannya (dengan rahmat dankasih-sayangnyaNya) dan sesiapa memutuskanku, nescaya Allah akan memutuskannya(dari rahmat dan kasih-sayangNya)” (Soheh Muslim; 2555/17. Dari ‘Aisyah RA).

Difahamidari hadis ini bahawa suami yang menjadi penyebab terputusnya ikatan isterinyadengan keluarganya, dibimbangi Allah akan membalasnya dengan terputus ikatanrahmat dariNya, yakni dia akan terhadang dari mendapat rahmat Allah.

Di antaraperintah Allah kepada suami ialah;

وَعَاشِرُوهُنَّبِالْمَعْرُوفِ  
“Dan layanilah mereka (yakni isteri-isteri kamuitu) dengan cara yang sepatutnya” (surah an-Nisa’, ayat 19).

Menghalang isteri dari pulang menjengukibu-bapanya atau menziarahi keluarganya tanpa sebab yang munasabah bertentangandengan layanan yang baik kepada isteri yang disuruh oleh ayat ini.

Mazhab Hanafi menyebutkan; suami tidak harusmenegah isterinya dari keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya setiap kalijumaat (yakni seminggu sekali) dan bagi selain ibu-bapa pula ialah setahunsekali. Menurut Imam Abu Yusuf; jika dua ibu-bapa isteri berupaya untuk datangmenziahari anak mereka di rumah suami, suami berhak menegahnya dari keluar. Jikamereka tidak mampu datang, wajib suami membenarkan isterinya untuk keluarmenziarahi mereka.

Menurut mazhab Maliki; Tidak harus suamimenegah isteri dari keluar menziarahi dua ibu-bapanya dan saudaranya –tanpa suatusebab- jika terjamin keselamatannya.

Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; adalahmenjadi hak suami untuk menegah isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menjengukdua ibu-bapanya atau menziarahi mereka ketika sakit atau menghadiri jenazahmereka dan isteri wajib mematuhinya, namun jika tanpa sebab yang munasabahperbuatannya itu adalah makruh (dibenci oleh Syarak).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.   Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah; Az-Zawaj,Syeikh Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 287-288.

2.   Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Mufti; Dr.Nasr Farid Wasil, no. fatwa; 6678, tahun 2001).

Soalan; assalamualaikum, ustaz.. saya sedia maklum bahawa emas (kuning) adalah haram dipakai oleh kaum lelaki. namun, adakah hukum yg sama dipraktikkan pada emas putih?.. terima kasih ustaz...

Jawapan;

Diharamkan ke atas orang lelaki memakai perhiasan dari emas berdalilkan beberapa hadis Nabi SAW antaranya sabda baginda;

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُورِ أُمَّتِي وَأُحِلَّ لِإِنَاثِهِمْ
“Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari RA. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Persoalan yang timbul; adakah emas putih benar-benar emas (yakni diperbuat dari logam emas) atau hanya pada nama sahaja? Untuk menjawab persoalan ini, perlulah kita rujuk kepada orang yang ahli tentang logam untuk mengetahui apa yang menjadi kandungan dalam emas putih itu.

Menurut kajian Syeikh Abdurrahman ad-Dautsari dalam bukunya az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah (Emas Putih; apa ia sebenarnya dan hukum Syarak tentangnya) dijelaskan bahawa menurut orang-orang yang ahli tentang logam dan juga tukang-tukang emas; Nama/istilah emas putih pada hari ini merujuk kepada dua;

1.      Merujuk kepada emas yang dicampur dengan Platinum (25%) atau Nikel (15%), terhasillah emas putih. Emas tulin tidak cukup keras untuk dijadikan perhiasan, kerana itu ia perlu dicampur logam lain untuk lebih keras di samping untuk mendapatkan warna berbeza. Bila dicampur dengan sedikit tembaga akan menjadikan emas berwarna kemerahan. Bila dicampur dengan perak ia kelihatan hampir putih. Bila dicampur dengan platinum dan nikel, ia menjadi emas putih. (halaman 34)

2.     Merujuk kepada logam platinum itu sendiri (tanpa kaitan dengan emas). Platinum bila dibuat perhiasan sebahagian orang memanggilnya emas putih. Sebenarnya ia bukan emas, cuma kerana warnanya putih dan harganya mahal maka ia dipanggil emas putih (sebagaimana petroleum dipanggil emas hitam). (Halaman 41).

Merujuk kepada makna yang pertama, emas putih adalah emas pada nama dan hakikatnya. Maka ia tertakluk dengan hukum yang ditetapkan Syarak ke atas emas iaitu wajib dibayar zakat, haram berlaku riba, haram dipakai oleh kaum lelaki dan sebagainya lagi dari hukum-hakam yang ditetapkan Syarak ke atas emas.

Adapun merujuk kepada makna kedua, ia bukanlah emas pada hakikatnya. Hanya panggilan sahaja emas, namun sebenarnya ia bukan emas. Kerana itu ia tidak tertakluk dengan hukum emas. Harus bagi orang lelaki memakainya walaupun harganya lebih mahal dari emas kerana pengharaman hanyalah ke atas emas.  Dalam kaedah Fiqh ada disebutkan “Yang diambil perkiraan ialah apa yang ada di sebalik nama, bukan pada nama semata-mata”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Az-Zahab al-Abyadh Haqiqatuhu Wa Ahkamuhu as-Syar’iyyah, tulisan Syeikh Abdurrahman bin Fahd al-Qad’an ad-Dautsari .