Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com


1. Zakat fitrah hendaklah diberikan kepada fakir/miskin kerana terdapat arahan dari Nabi SAW supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hariraya. Ibnu 'Umar RA menceritakan; Nabi SAW telahmewajibkan zakat fitrah ke atas kami dan baginda berpesan; 

أَغْنُوهُمْ فِي هَذَا الْيَوْمِ
“Cukupkanlah mereka (yakniorang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)” (Sunan ad-Daruqutni; 2133. Sunan al-Baihaqi; 3799). 

Dalam hadis lain dinyatakan; "Zakat fitrah adalah penyucian bagi orang berpuasa dan makanan bagi orang miskin" (HR Abu Daud dan Ibnu Majah, dari Ibnu 'Abbas RA. Nailul Autar; 1623).

2. Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad dari makanan asas (iaitu beras bagi penduduk Malaysia), iaitu kira-kira 2600 gram (2.6 kg). Boleh digantikan dengan wang senilai dengannya (berpegang kepada mazhab Hanafi).

3. Seorang yang telah berkeluarga wajib membayar zakat fitrah bagi dirinya dan semua orang yang berada di bawah tanggungannya. Jika tidak cukup kemampuan, hendaklah membayar sekadar kemampuan dengan mendahulukan zakat bagi diri sendiri, diikuti bagi isteri dan berikutnya bagi anak yang masih kecil, seterusnya bapa, ibu dan anak dewasa.

4. Dibolehkan membayar sendiri zakat kepada orang-orang yang berhak (fakir/miskin) atau melalui wakil yang dipercayai (Baitul Mail dan sebagainya) yang menyampaikannya kepada mereka. 

5. Memberi zakat fitrah kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada oranglain) dengan syarat mereka fakir/miskin. 

Maksud kaum kerabat di siniialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitusaudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara,ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahlikeluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak/cucu (yang masih kecil),bapa/ibu/datuk (yang tak mampu) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

6. Dibolehkan memberi kepada seorang fakirsahaja (sekalipun zakat lebih dari satu) dan boleh juga kepada ramai fakir jika zakat kita  banyak dan bolehmenampung lebih dari seorang fakir. 

7. Zakat fitrah adalah ibadah, maka wajib berniat. Sabda Nabi SAW; "Segala amalan (hanya sah dan dikira) berdasarkan niat" (HR al-Bukhari dan Muslim). Memadai berniat dalam hati bahawa apa yang diberikan kepada fakir/miskin itu adalah zakat. Tidak wajib melafazkan niat (hanya sunat sahaja menurut mazhab Syafiie).

8. Zakat fitrah hendaklah ditunaikan sebelum solat hari raya. Sabda Nabi SAW; "Sesiapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya, maka zakatnya diterima. Sesiapa menunaikannnya selepas solat hari raya, ia hanya menjadi sedekah biasa" (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Bulughul Maram; 586).

Rujukan;

1. al-Mufassal (Dr. Abdul Karim Zaidan).
2. al-Fiqh al-Islami (Dr. Wahbah az-Zuhaili).
3. Fiqh az-Zakah (Dr. Yusuf al-Qaradhawi)
4. A-Z Solal Jawab Puasa, Solat Terawih, Zakat Fitrah (Ustaz Ahmad Adnan Fadzil).

Soalan; saya baru mendapat bayaran royalti dari buku yang saya tulis. Adakah wajib saya mengeluarkan zakat untuknya sebagai saya menerimanya?

Jawapan;

Dalam fekah, duit perolehan royalti termasuk dalam kategori mal musafad (iaitu harta perolehan baru). Harta perolehan baru ada dua jenis;

1. Perolehan baru yang dihasil melalui harta/modal sedia ada yang dikenakan zakat seperti keuntungan dari perniagaan, keuntungan pelaburan dan sebagainya. Bagi perolehan baru dari jenis ini, zakatnya mengikuti harta/modal asalnya, yakni dikira nisab dan haulnya bersama harta/modal asalnya. Nisab ialah kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Haul pula bermaksud tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. 

2. Perolehan baru bukan dari harta/modal yang sedia ada, seperti wang perolehan dari harta pusaka, upah profesional, gaji, hadiah dan bayaran royalti seperti yang ditanya dalam soalan tadi. Bagi perolehan baru dari jenis ini, jumhur ulamak (termasuk imam-imam mazhab empat) berpandangan; tidak dikenakan zakat ke atasnya -sekalipun jumlahnya mencapai nisab- melainkan setelah genap setahun pemilikan ke atasnya, berdalilkan hadis Nabi SAW;

لَا زَكَاةَ فِي مَالٍ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
"Tidak dikenakan zakat ke atas harta sehingga ia cukup haul" (Sunan Ibnu Majah; 1792, dari 'Aisyah RA. hadis soheh).

مَنْ اسْتَفَادَ مَالًا فَلَا زَكَاةَ عَلَيْهِ، حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الحَوْلُ عِنْدَ رَبِّهِ
"Sesiapa yang memperolehi harta maka tidak wajib zakat ke atasnya sehinggalah ia cukup haul di tangan pemiliknya" (Sunan at-Tirmizi; 631, dari Ibnu 'Umar RA. hadis soheh).

Maka orang yang memperolehi perolehan baru (royalti, pusaka, pampasan, hadiah majikan atau kerajaan dan sebagainya) yang mencukupi nisab, apabila cukup setahun dari tarikh perolehannya, dia hendaklah menyemak harta tersebut sama ada masih mencukupi nisab atau tidak. Jika mencukupi nisab, wajiblah dia mengeluarkan zakat. Jika tidak mencukupi nisab, tidaklah dikenakan zakat. Nisab bagi wang simpanan ialah 20 misqal (yakni 85 gram emas, iaitu nilai semasa baginya mengikut mata wang tempatan). Kadar zakat pula ialah 2/5% dari jumlah keseluruhan wang yang ada.

Diharuskan jika orang yang memperolehi pendapatan baru itu ingin mencampurkannya bersama harta-hartanya yang lain yang kebetulan tiba haulnya untuk dikeluarkan zakat bersama harta-harta tersebut, namun tidaklah wajib. Tindakan itu digalakkan kerana ia menyegerakan pemberian kepada penerima zakat, lagi pula memudahkan kiraan zakat (yakni mengelak pengiraan zakat berulang kali dalam setahun), namun tidaklah wajib kerana haul zakat bagi harta perolehan baru itu belum tiba.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Pengurusan Zakat (Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid), hlm. 336-340.
2. Fatwa Syeikh Husamuddin 'Afanah (ar.islamway.net/fatwa/5669).
3. ad-Darari al-Mudhiyyah (Imam Muhammad bin 'Ali as-Syaukani), hlm. 236.



Soalan; jika anak-anak telah kematianbapa dan dibela oleh ibu, adakah ibu menanggung zakat fitrah mereka?

Jawapan;

Zakat fitrah bergantung kepada  nafkah. Siapa menanggung nafkah anak tersebut,dialah yang menanggung zakat fitrahnya. Jaafar bin Muhammad meriwayatkan daribapanya yang menceritakan; “Nabi SAW memerintahkan agar dikeluarkan zakatfitrah bagi pihak orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan, iaitu semua orangyang kamu sarai” (Musnad as-Syafiie; 429. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 7682.Hadis mursal).[1]

Imam Ibnu Qudamah menjelaskan; “Diwajibkanke atas ibu untuk menafkahi anaknya jika mereka tidak berbapa. Inilah yangmenjadi pandangan Imam Abu Hanifah dan as-Syafiie (serta Imam Ahmad)….(Begitujuga) jika bapa susah/miskin, nafkah mereka wajib ditaggung ibu” (al-Mughni,8/212).. Maka pada ketika nafkah ditanggung oleh ibu, zakat fitrah bagi anakturut ditanggung ibu.

Wallahu a’lam.




[1] Walaupunmursal, namun disokong oleh hadis-hadis yang lain (Syeikh Dr. Rif’at Fauzi ‘AbdulMuttalin; Tahqiq Musnad al-Imam as-Syafiie, 1/575, hadis no. 429).

Soalan; ustaz, adakah barang emas yang saya pakai dikenakan zakat? Bagaimana cara mengira zakatnya?

Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali); emas yang dipakai wanita sebagai perhiasan -walaupun dipakai sekali dalam setahun- tidak dikenakan zakat, kecuali jika berlebihan barulah dikenakan zakat. Maksud berlebihan ialah yang melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), iaitu yang diputuskan oleh fatwa negeri-negeri seperti berikut;
1. Selangor; 800 gram
2. Wilayah Pesekutuan; 150 gram emas
3. Johor; 850 gram emas
4. Pulau Pinang; 165 gram
5. Sabah; 152 gram.
6. Negeri Sembilan; 200 gram
7. Kedah; 85 gram
8. Perak; 500 gram
9. Trengganu; 850 gram
10. Melaka; 180 gram
11. Kelantan; tiada 'uruf
12. Pahang; 500 gram
13. Perlis; tiada penetapan 'uruf (kerana fatwa negeri Perlis memakai pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan zakat ke atas semua emas yang dimiliki termasuk perhiasan).

Yang perlu dikira dalam penentuan kadar uruf itu ialah emasnya sahaja, tidak termasuk batu permatanya. Maka jika perhiasan emas yang dimiliki dan dipakai melebihi kadar di atas (mengikut negeri masing-masing) wajiblah dikeluarkan zakat ke atas kadar berlebihan bila cukup tempoh tahunannya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah; 2.5%. 

Contohnya; bagi wanita yang tinggal di Wilayah Persekutuan, katalah dia memiliki emas yang dipakai yang berat keseluruhan; 200 gram, maka perkiraan zakatnya ialah;

* 250 gram emas (berat emas yang dipakai) - 150 gram emas (iaitu kadar pemakaian uruf) = 100 gram (perhiasan yang masuk dalam hitungan zakat). 
Kadar zakat dikenakan; 100 gram x harga semasa emas x 2.5 %.
Katakanlah; harga semasa emas bagi 1 gram ialah RM 150, maka kadar zakatnya ialah;
100 gram emas x RM 150 x 2.5% = RM 375.

Adapun perhiasan emas yang tidak dipakai dalam setahun -walaupun sekali- ia mengambil hukum emas simpanan dan wajib dibayar zakat iaitu dengan dihitung bersama emas-emas yang lain jika ada (dinar emas, jongkong emas, emas perhiasan yang berlebihan tadi dan sebagainya) dan aset kewangan yang lain (saham, wang simpanan dan sebagainya) dan dikeluarkan zakatnya 2/5% jika nilai keseluruhannya menyamai atau melebihi 85 gram emas (iaitu kadar nisab zakat emas).

Huraian di atas adalah mengikut pandangan jumhur mazhab. Adapun menurut mazhab Hanafi, keseluruhan emas dikenakan zakat termasuk perhiasan sama ada perhiasan yang dipakai atau disimpan, yang berada dalam kadar 'uruf tadi atau yang berlebihan. Untuk membaca lebih lanjut perbahasan ulamak tentangnya, sila baca jawapan saya sebelum ini; (PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?).

Rujukan;

1. Zakat Selangor (http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/).
2. Wilayah Persekutuan (https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas)
3. Zakat Johor (http://www.maij.gov.my/?page_id=110).
4. Zakat Pulau Pinang (http://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/jenis-zakat/zakat-emas-perak).
5. Zakat Sabah (http://www.zakat.sabah.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=30&Itemid=157&lang=en).
6. Zakat Negeri Sembilan (http://www.zakatns.com.my/v5/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas-dan-perak).
7. Zakat Kedah (http://www.zakatkedah.com/services/zakat-emas/).
8. Zakat Perak (http://www.maiamp.gov.my/maiamp2/index.php/zakat/kalkulator/kalkulator-zakat-emas-perak.html).
9. Zakat Terengganu (http://www.maidam.gov.my/index.php/index.php/perkhidmatan-kami/pungutan-zakat/384-zakat-emas).
10. Zakat Melaka (http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=7&Itemid=12&lang=bm).
11. Fatwa zakat emas Perlis (http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66:muamalat-nilai-emas-yang-boleh-dihukum-pakaian&catid=34:fatwa-muamalat&Itemid=92).