Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog ilmudanulamak.blogspot.com

Rabu, 10 Ogos 2022

Soalan; jika anak mendapat wang pampasan kemalangan, apakah bapa atau ibu boleh menggunakan wang tersebut untuk diri mereka?

Jawapan;

Mengikut hukum umum, tidak harus mengambil harta orang lain tanpa izinnya. Sabda Nabi SAW:

لَا ‌يَحِلُّ ‌مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ
"Tidak halal harta seseorang melainkan dengan kerelaan hatinya" (HR al-Daruqutni. Nailul-Autar: 2425)

Namun ada pengecualian bagi harta anak di mana Nabi SAW bersabda kepada anak; 
.
‌أَنْتَ، ‌وَمَالُكَ ‌لِأَبِيكَ
"Kamu dan harta kamu adalah bagi bapa kamu" (Musnad Ahmad; 6902, Sy al-Arnaut; hasan lighairihi).

Berdalilkan hadis ini, diboleh bagi bapa mengambil atau menggunakan harta anak, namun -menurut ulamak- keharusan itu terikat dengan beberapa syarat;
1. Bapa memerlukan, 
2. Jangan sampai memudaratkan anak
3. Jika anak memerlukan, maka dia lebih berhak bagi harta itu,
4. Bapa mengambil untuk dirinya, bukan untuk diberikan kepada orang lain. 
(al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah).
.
Oleh kerana hadis hanya menyebut bapa, para ulamak khilaf tentang ibu. Sebahagian berkata; keharusan itu untuk bapa sahaja (berpegang dengan zahir hadis). Ada berkata; ibu seperti juga bapa, malah lebih dhaif dari bapa. 
.
Wallahu a'lam. 
.

Soalan; saya menjadi broker jual-beli tanah. Tuan tanah berkata kepada saya; juallah tanah ini dengan harga RM 50 000 dan untuk kamu RM 10 000. Jika saya dapat jual dengan harga lebih dari harta itu (contohnya RM 60 000) adakah harus saya mengambil RM 10 000 untuk saya di samping komisyen yang dijanjikan tuan tanah?

Jawapan;

Muamalah di atas dalam fiqh Islam dipanggil samsarah. Pada dasarnya ia tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama antara tuan/pemilik harta yang hendak dijual dan wakil penjualnya (broker). Bagi kes di atas, oleh kerana tuan/pemilik tanah telah menetapkan harga tanah, maka broker tidak boleh menjual melainkan dengan harga yang ditetapkan itu dan haknya ialah upah/komisyen yang dijanjikan itu. Jika broker menjual dengan harga lebih dari yang ditetapkan, wajib dirujuk semula kepada tuan/pemilik tanah. Jika dia menyetujuinya, keseluruhan wang jualan adalah miliknya. Bergantung kepadanya sama ada hendak memberi lebihan harga itu kepada broker atau tidak, kerana broker sudah ada haknya iaitu upah/komisyen yang dijanjikan.


Adapun jika tuan/pemilik tanah berkata; 'juallah tanah saya ini berapa saja harga yang kamu ingin jual, bayar kepada saya RM50 000 sahaja', maka bagi cara kedua ini, broker boleh menjual dengan harga melebihi dari yang diminta oleh tuan/pemilik tanah dan yang lebih itu adalah miliknya. Mu'amalah cara ini dibolehkan oleh sebahagian ulamak, antaranya Ibnu 'Abbas RA sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sohehnya; berkata Ibnu 'Abbas RA;

لاَ بَأْسَ أَنْ يَقُولَ: بِعْ هَذَا الثَّوْبَ، فَمَا زَادَ عَلَى كَذَا وَكَذَا، فَهُوَ لَكَ

"Tidak mengapa (yakni dibolehkan) untuk seorang berkata (kepada wakil/brokernya); 'Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian sekian, maka ia adalah milik kamu'" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Ijarah, bab Ujrah as-Samsarah).


Untuk membaca lebih lanjut perbahasan para ulamak dalam masalah di atas, sila baca jawapan saya sebelum ini; (KEDUDUKAN UNTUNG YANG DIAMBIL OLEH BROKER/AGEN/ORANG TENGAH).

Rujukan; fatwa as-syabakah al-islamiyah, no. 14008.