Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog fiqh-am.blogspot.com

Monday, July 7, 2008

Apakah syarat-syarat sahnya puasa?

1. Islam; tidak sah puasa orang kafir atau orang yang murtad dari agama.

2. Berakal; tidak sah puasa orang gila dan juga kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana puasa memerlukan niat dan niat ini hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berakal sahaja.

3. Bebas dari haid dan nifas; tidak sah puasa orang yang kedatangan haid dan nifas, malah diharamkan mereka berdua berpuasa.

4. Puasa dilakukan pada hari-hari yang diharuskan berpuasa; hari-hari sepanjang tahun merupakan waktu yang harus berpuasa kecuali dua hari raya, hari-hari tasyrik dan hari syak.

Orang-orang yang tidak memiliki syarat-syarat di atas atau salah satu darinya, tidak sah puasanya.

Apa hukum puasa kanak-kanak?

Kanak-kanak apabila telah mumayyiz, sah lah puasanya tetapi belum wajib. Apabila sampai umurnya tujuh tahun, ibu-bapa atau penjaganya hendaklah melatihnya berpuasa –jika tiada sebarang halangan- sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda mengenai solat. Apabila ia mencecah usia baligh, wajib lah atasnya berpuasa.[1]

Nota kaki;

[1] Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat tatkala mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan menunaikannya) tatkala mereka berumur 10 tahun. Pisahkanlah antara mereka (yakni antara anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan) pada tempat-tempat tidur mereka (ketika berumur 10 tahun itu)”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah Ibn ‘Amru r.a.)