Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog fiqh-am.blogspot.com

Monday, July 7, 2008

Apa makna puasa?

Puasa menurut pengertian bahasa bermaksud menahan dari sesuatu sama ada menahan dari bercakap, makan atau sebagainya.

Adapun puasa menurut pengertian Syara’ (yakni puasa yang disuruh Allah supaya dikerjakan oleh setiap orang Islam) ialah; “Menahan diri dari makan, minum dan jimak (persetubuhan) dengan niat yang ikhlas kepada Allah. (Tafsir Ibnu Kathir; Surah al-Baqarah, ayat 183.)

Masa berpuasa ialah dari terbit fajar Sodiq (iaitu fajar yang menandakan masuknya waktu subuh) hinggalah terbenam matahari (iaitu masuknya waktu maghrib).

Berapa jeniskah puasa?

Puasa melihat kepada hukumnya ada empat jenis;

1. Puasa yang wajib. Ia ada beberapa jenis pula;
Pertama; puasa yang diwajibkan Allah dengan ditetapkan hari-harinya iaitulah puasa Ramadhan.
Kedua; puasa yang diwajibkan kerana sebab-sebab tertentu sebagai hak (kewajipan) terhadap Allah, iaitu lah puasa Kaffarah yang merangkumi kaffarah sumpah, kaffarah zihar, kaffarah membunuh secara tersalah dan sebagainya.
Ketiga; puasa yang diwajibkan oleh individu itu sendiri ke atas dirinya, iaitu lah puasa nazar.

2. Puasa yang disunatkan; seperti puasa isnin dan kamis, puasa tiga hari setiap bulan dan sebagainya.

3. Puasa yang diharamkan; seperti puasa hari raya dan sebagainya.

4. Puasa yang dimakruhkan; seperti puasa setiap hari.