Blog AQIS

Koleksi Penulisan Blog Ustaz Ahmad Adnan

Jangan lupa untuk kongsikan email anda disini supaya kami boleh memberitahu tentang penulisan terkini
Kandungan blog ini sesuai untuk paparan komputer desktop dan notebook sahaja untuk masa ini

Dari Blog mutiara-sunnahnabi.blogspot.com

Sabda Nabi SAW; "Aku tinggalkan untuk kamu dua panduan, selama-lamanya kamu tidak akan tersesat selagi kamu berpegang dengannya; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya" (Muqatta' Malik; 3338).

Apa sahaja surah yang dibaca dari al-Quran adalah baik. Begitu juga mengamalkan bacaan surah-surah yang mempunyai kelebihan khusus yang disebut oleh Nabi di dalam hadisnya. Namun, cara bacaan terbaik yang menjadi amalan para Sahabat dan Salafussoleh ialah membaca dari awal al-Quran (surah al-Fatihah) hingga ke penghujungnya (surah an-Naas) iaitu berusaha mengkhatamkan al-Quran dalam jangka masa tertentu.


Sebaik mengkhatamnya, dimulai semua membaca al-Quran hingga mengkhatamnya lagi dan begitulah seterusnya dengan menjadikannya amalan yang istiqamah. Ibnu ‘Abbas RA menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW; Apakah amalan yang paling disukai Allah? Nabi menjawab; “Orang yang tiba, lalu mengembara kembali”. Lelaki itu bertanya; Apa yang kamu maksud dengan “Orang yang tiba, lalu mengembara kembali”? Nabi menjawab; “Orang yang membaca al-Quran dari awalnya hingga akhirnya, kemudian setiap kali ia tiba di penghujung al-Quran (yakni mengkhatamkan al-Quran), ia kembali membacanya dari mula” (Jami' at-Tirmizi; 1648. Menurut at-Tirmizi; hadis ini gharib).


Di kalangan Salaf ada yang mengkhatamkan al-Quran dua bulan sekali, ada yang sebulan sekali, ada yang 10 hari sekali, ada yang seminggu sekali dan ada yang tiga hari sekali (al-Azkar, Imam an-Nawawi, hlm. 69).

Jumlah huruf dalam al-Quran ada 300 000 lebih (Menurut Imam Mujahid; 323015 huruf sebagaimana dinaqal oleh Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya). Menurut hadis; "Setiap huruf diberi gandaan 10 kebajikan" (Jami' at-Tirmizi; 2910, hasan soheh). Bayangkan berapa juta kebajikan kita dapat dalam sebulan jika kita berjaya khatam al-Quran sebulan sekali; 3 juta/bulan, 100 000/hari. Menurut pengalaman rakan2; jika dapat luangkan masa 1 jam sehari baca al-Quran, insya Allah akan dapat 1 juzuk. 30 hari; 30 juzuk. Contoh; selepas subuh; 30 minit, selepas asar; 30 minit. Atau setiap selepas solat; 15 minit. Terdapat saranan Nabi SAW; "Bacalah al-Quran (dengan mengkhatamnya) pada setiap bulan" (Soheh Muslim; 115/184). Pesanan Syeikh Hasan al-Banna; "Jangan berlalu hari kamu tanpa membaca al-Quran".

(1) Sabda Nabi SAW; "Setiap huruf diberi gandaan 10 kebajikan" (Jami' at-Tirmizi; 2910, hasan soheh).

(2) Sabda Nabi SAW; "Bacalah al-Quran (dengan mengkhatamnya) pada setiap bulan" (Soheh Muslim; 115/184).