Laman Info Agama Anda

minda ulamak

PESANAN IMAM IBNU SIRIN; ambil ilmu dari ahlinya

imam Ibnu Sirin (Muhammad bin Sirin) merupakan Tabiin terkenal, lahir pada zaman kekhalifahan Saidina 'Umar RA, menuntut ilmu dari ramai para sahabat RA antaranya Anas bin Malik RA, Abu Hurairah RA, Imran bin Hushain RA, Ibnu 'Abbas RA dan Ibnu 'Umar RA. Antara pesanan beliau ialah;

 إِنَّ هَذَا ‌الْعِلْمَ ‌دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

"Sesungguhnya ilmu ini (yakni ilmu yang sampai dari Nabi Muhammad SAW) adalah agama, maka hendaklah kamu perhatikan dari siapa kamu mengambil agama kamu" (Soheh Muslim, 1/14).

Pada asalnya nasihat ini ditujukan kepada orang yang ingin mengambil hadis Nabi SAW, iaitu hadis hendaklah di ambil dari perawi yang tsiqah (yakni dipercayai) sahaja, jangan diambil dari perawi yang berdusta atau tidak dikenali, kerana ia akan menjejaskan kesahihan agama yang dianuti dan diamalkan. Dalam erti lain, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima hadis, iaitu dengan menerima hadis yang telah disemak dan telah dipastikan kesahihannya oleh para muhaddisin tsiqaat seperti Imam Malik, al-Syafiie, Ahmad al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nawawi, Ibnu Hajar dan para ulamak muhaqqiqin lainnya dalam ilmu hadis. 

Sekaligus, nasihat tersebut melibatkan ilmu agama secara keseluruhan, bahkan semua bidang ilmu termasuk ilmu keduniaan, iaitu ilmu perlu diambil dari ahlinya. 

Rujukan;

(1) Siyar A'lam al-Nubalak, 4/621.

(2) Mirqat al-Mafatih, 1/336.

MEMAHAMI TENTANG AKAL (dari pandangan Imam al-Mawardi)

Artikel ini lanjutan dari artikel sebelum ini dari kitab ADAB AL-DUNYA WA AL-DIN (Adab Kehidupan Dunia dan Agama), karya Imam al-Mawardi, bertajuk; MENGUKUR ILMU; Dari Minda IMAM AL-MAWARDI.

Dalam siri ini, saya akan mengupas pandangan beliau tentang akal. Kupasan dilakukan secara soal-jawab supaya pembaca dapat mengikuti mauduk persoalan demi persoalan, dengan itu dapat menyerap pemahaman dengan mudah.

Kenapa akal penting?

1. Kerana akal adalah dasar bagi keutamaan dan adab dalam hidup. Tanpa akal kita tidak akan berjaya mencapai keutamaan hidup dan mempersiapkan diri dengan adab-adab atau akhlak yang diperlukan untuk kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi kita.

2. Taklif syariat sendiri diikat dengan akal, di mana tuntutan Syarak hanya diwajibkan ke atas mukallaf dan maksud mukallaf ialah seorang yang telah baligh dan sempurna akalnya (yakni waras).

3. Urusan dunia itu sendiri diserahkan Allah untuk ditadbir dengan kebijaksanaa akal manusia.

Baca Selanjutnya ...

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries