Laman Info Agama Anda

SIRI FIQH

ILMU DI AMBIL DARI GURU PALING TSIQAH & PALING SENIOR

Kenapa ulamak-ulamak terdahulu mengembara begitu jauh (ratusan KM) untuk menimba ilmu sedangkan di kampung/negeri mereka tidak kurang ulamak/fuqahak yang menguasai ilmu?
.
Imam al-Syafiie -sebagai contoh- membesar di Mekah dan sedari kanak-kanak lagi telah talaqqi dari fuqahak Mekah (antaranya mufti Mekah ketika itu Imam Muslim bin Khalid al-Zinji, wafat 180 Hijrah) dan telah diizinkan memberi fatwa oleh gurunya mufti Mekah itu, namun kenapa beliau mengembara pula ke Madinah (berguru dengan Imam Malik), kemudian ke Yaman dan seterusnya ke Iraq (berguru dengan fuqahak di sana antaranya Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, murid utama Imam Abu Hanifah). Kita yakin bahawa jika Imam Abu Hanifah masih hidup, nescaya Imam al-Syafiie akan mencarinya dan berguru dengannya.
.
Tokoh-tokoh yang lain (Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan sebagainya) juga melakukan yang sama sebagaimana yang dilakukan Imam al-Syafiie (yakni mengembara mencari ilmu). Apa sebenarnya yang mereka cari?
.
1. Mencari guru paling senior (paling lama dan paling berpengalaman dalam ilmu); untuk mendapat sanad paling dekat dengan Nabi SAW (bagi periwayatan hadis) atau untuk belajar dari murid paling dekat/hampir dengan pengasas/penulis sesuatu ilmu atau untuk belajar dari pengasas/penulis sendiri.
.
2. Mencari guru paling tsiqah (terpercaya) dan paling pakar dalam sesuatu ilmu.
.
Pada zaman Imam al-Syafiie, wujud dua aliran fiqh; fiqh ahli al-hadith dan fiqh ahli ar-rakyi (qiyas). Fiqh ahli hadith tumbuh di Hijaz (Madinah). Fiqh ahli rakyi (qiyas) tumbuh di Iraq. Maka Imam al-Syafiie mengembara mencari tokoh paling tsiqah dan paling pakar pada zamannya tentang kedua-dua fiqh itu, maka beliau belajar dari Imam Malik (tokoh fiqh Ahli Hadith) dan Imam Muhammad al-Syaibani (tokoh fiqh ahli rakyi). Natijahnya, Imam al-Syafiie lahir kemudiannya sabagai tokoh yang menggabungkan kedua-dua aliran tersebut. Beliau menjadi ahli hadis dan pada masa yang sama ahli usul (malah pengasas ilmu usul fiqh).
.
Kesimpulannya, ilmu seharusnya ditimba dari ulamak paling senior sama ada yang wujud berhampiran kita atau dalam negeri kita atau negara kita atau yang ada di dunia (jika kita mampu mengembara ke pelusuk dunia). Di Perlis -sebagai contohnya- ilmu Fiqh dan usul fiqh seharusnya ditimba dari Tn Guru Ustaz Ahmad Ali (murid Syeikh Muhammad Abu al-Nur Zuhair (faqih ilmu usul al-Azhar) dan Syeikh Najib al-Mutiie (faqih mazhab Syafiie, penyambung kitab Majmuk Syarah al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi). Di sempadan Perlis, Dato' Syeikh Badruddin adalah contoh ulamak senior bagi tuan/puan yang ingin menimba ilmu tafsir dan hadith. Di Changloon, Baba Khairul (pondok Gajah Teriak) -walaupun usianya tidaklah terlalu senior- namun saya menggolongkan beliau (pada hemat saya, wallahu a'lam) dalam ulamak senior melihat keilmuan beliau dan ketelitiannya dalam penyampaian ilmu.
.
Yang saya sebut itu sekadar contoh yang berhampiran saya (*Perlis, sempadan Kedah). Anda seharusnya mencari ulamak-ulamak senior berhampiran anda. Mendengar nasihat/tausiyah boleh dari sesiapa sahaja (ustaz/ulamak) termasuk yang muda-muda. Tetapi untuk menimba ilmu secara serius mesti dari ulamak senior dan tsiqah. Ada dua nasihat dari Salafus Soleh yang mesti kita jadikan pegangan;
.
1. Dari Ibnu Mas'ud RA yang berkata;
.
لا يزال الناس بخير ما أخذوا العلم عن أكابرهم وعن أمنائهم وعلمائهم , فإذا أخذوه عن صغارهم وشرارهم هلكوا
"Manusia akan kekal baik selama mereka mengambil ilmu dari ilmuan senior di kalangan mereka, yang amanah dan benar-benar alim. Jika mereka hanya mengambil ilmu dari ulamak-ulamak muda dan berakhlak buruk di kalangan mereka mereka akan binasa" (Jami' Bayan al-'Ilm wa Fadhlih, Ibnu Abdil Barr, m.s. 616).
* Menurut ulamak; senior bukan hanya dari umur, perlu dilihat pada penguasaan ilmu (malah ini yang lebih diutamakan berbanding umur).
.
2. Dari Imam Ibnu Sirin;
.
إِنَّ هَذَا ‌الْعِلْمَ ‌دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
"Ilmu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agama kamu" (Mukadimah Soheh Muslim).

HAKIKAT FIQH (الفقه)

Fiqh dari segi bahasa memberi maksud kefahaman (الفهم) atau kefahaman yang mendalam (الفهم الدقيق). Adapun maksudnya sebagai satu istilah bagi satu cabang ilmu yang dipanggil ilmu fiqh (الفقه) maka ia berkait dengan kefahaman tentang hukum-hakam Syariat, bukan keseluruhannya, tetapi salah satu aspeknya iaitu amali. Lebih jelas, fiqh ditakrifkan para ahli fiqh dan usul fiqh sebagai;

العلم بالأحكام الشرعية العملية المكتسب من أدلتها التفصيلية

"Ilmu berkenaan hukum-hakam Syariat yang bersifat amali yang diperolehi (ilmu itu) melalui dalil-dalil hukum satu persatu" (Takrif al-Imam al-Isnawi).

Baca Selanjutnya ...

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries