10 Tanda-tanda Kiamat Menurut Islam Sesuai Urutan

SURAH AL-QARIAH

1. Apa maksud al-Qariah? 

Yang menggemparkan, iaitu yang menyentak hati manusia, menimbulkan kejutan kepada mereka. Perkataan itu ditujukan kepada hari kiamat, kerana bila muncul kiamat segala hati akan tersentak termasuk orang-orang yang dahulunya tidak pernah percaya kiamat atau tidak pernah ingat kiamat.

2. Apa yang ingin disampaikan Allah dalam surah ini?

a) Situasi ketika kiamat

b) Apa selepas kiamat?

3. Apa situasi kiamat yang diceritakan dalam surah ini?

a) Segala yang ada di atas bumi akan hancur, di mana gunung-ganang yang asalnya memasak bumi -yang merupakan objek paling besar dan paling kukuh di bumi- akan turut hancur menjadi ibarat bulu yang dikecai-kecai. Bayangkan objek-objek yang lain yang lebih kecil dari gunung.

b) Manusia pula ketika itu akan bercempera, tidak tentu arah, ibarat kelkatu-kelkatu yang berselerakan, tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan ke mana hendak dituju. Hinggalah saat mereka dibangkitkan, diiring malaikat ke mahsyar (untuk dihisab), di saat itu barulah mereka mengetahui ke mana tujuan mereka (iaitu mahsyar) dan apa yang bakal berlaku (iaitu hisab).

4. Apa selepas kiamat?

Manusia akan dihisab dan ditimbang. Ukuran hisab/timbangan ialah; mana yang lebih berat antara kebaikannya dan kejahatannya. Jika kebaikannya lebih berat, dia diberi syurga. Jika kejahatannya lebih berat, dia dimasukkan ke neraka. 

5. Apa mesej surah?

Memperingatkan manusia agar jangan leka dengan dunia. Dunia ini akan musnah, kiamat akan muncul, manusia akan dibangkitkan, segala amalan mereka akan dihisab dan ditimbang. Oleh itu, bersiap-sedialah untuk kehidupan akan datang di akhirat. 

6. Muhasabah diri;

a) Kita di hadapan takdir Allah hanya ibarat kelkaku; lemah, tidak berdaya dan tidak nampak jalan keluar. Oleh itu, bersandarlah kepada Allah.

b) Jagalah segala tutur-kata dan perbuatan di dunia, kerana semuanya dirakam dan diakhirat akan diputar kembali, dihisab dan ditimbang.