Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah;

Nabi SAW bersabda; "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian dia mengikutinya dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setahun" (Soheh Muslim; 1164, dari Abu Ayyub al-Ansari RA).

Menurut Qadhi Badruddin (wafat 874 hijrah) dalam kitabnya Bidayah al-Muhtaj (syarah al-Minhaj); maksud seperti berpuasa setahun itu ialah berpuasa fardhu selama setahun. Perkiraannya ialah; setiap kebaikan diganda oleh Allah 10 kali ganda. Maka 1 hari berpuasa fardhu dalam bulan Ramadhan menyamai 10 hari puasa fardhu dan 30 hari menyamai 300 hari puasa fardhu. Kemudian Syarak memberi kepada orang berpuasa 6 hari dalam Syawal pahalanya seperti berpuasa fardhu dalam bulan Ramadhan. maka 6 hari puasa syawal seolah 60 hari puasa fardhu. Jadilah keseluruhannya 360 puasa fardhu, maka terhasillah pahala puasa fardhu selama setahun.

Di sana terdapat pula hadis yang menyebutkan; "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan seumpama berpuasa sepanjang tahun" (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Abdullah bin 'Amru RA. Riyadhus Salihin; 1272). Menurut Qadhi Badruddin RHM, maksud 'seumpama berpuasa seoanjang tahun' dalam hadis ini ialah berpuasa sunat sepanjang tahun. 

Kesimpulannya, Puasa Ramadhan digabung dengan puasa 6 hari dalam Syawal, pahalanya seperti berpuasa fardhu sepanjang tahun. Puasa sunat tiga hari setiap bulan pula, pahalanya seperti berpuasa sunat sepanjang tahun. Itulah kurniaan Allah untuk hambaNya yang rajin beramal khususnya puasa.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Bidayah al-Muhtaj, 1/592.

 

#untuk membaca lebih lanjut tentang puasa 6 hari dalam syawal, si baca dalam blog; https://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-6-hari-syawal.html