Soalan; adakah harus pembahagian harta pusaka si mati dilakukan secara saling meredhai antara ahli-ahli waris (secara sepakat) dengan tidak mengikut bahagian yang ditetapkan Syarak?

Jawapan;

Syeikh Ahmad Wisam (ahli fatwa di Dar/Insitusi Fatwa Negara Mesir) memberi jawapan;

“Dibolehkan mengagihkan harta pusaka secara saling meredhai antara ahli-ahli waris namun setelah setiap ahli waris mengetahui terlebih dahulu bahagian masing-masing mengikut yang ditetapkan Syarak, sekira-kira apabila pembahagian selesai dibuat nanti dan dia mendapati habuan yang diperolehinya melalui pembahagian secara saling meredhai itu kurang dari habuannya yang sepatutnya (mengikut yang ditetapkan Syarak) dia tidak memarahinya”.

Lebih terperinci, Syeikh Dr Hisamuddin ‘Afanah (ahli fatwa dari Palestin, pensyarah fiqh Islam di Universiti Quds, Palestin) menjelaskan;

"Diharuskan kepada ahli-ahli waris membahagikan harta pusaka sesama mereka secara saling meredhai (yakni pembahagian secara sepakat), namun dengan dengan syarat-syarat berikut;

a) Semua ahli waris telah baligh, berakal waras dan cerdik. Maksud cerdik menurut mazhab Maliki dan Hanbali ialah mampu menguruskan harta dengan baik. Menurut mazhab Syafiie pula; baik dari segi agama dan juga pengurusan harta. Maksudnya ialah, semua ahli waris memiliki kelayakan untuk menguruskan harta secara sendiri mengikut perkiraan Syarak barulah persepakatan di ambil kira. 

b) Hendaklah saling meredhai itu berlaku secara sebenar, tanpa sebarang paksaan atau desakan atau kerana malu-alah.

c) Hendaklah saling meredhai itu berlaku secara sedar dari semua ahli waris, yakni bukan kerana kejahilan, penipuan, eksploitasi, tersilap/terkeliru dan sebagainya yang menafikan kefahaman/tanggapan sebenarnya.

d) Hendaklah dengan iktiqad bahawa pembahagian yang ditetapkan Allah itulah yang paling adil dan paling baik (afdhal), sebagaimana firman Allah; “Dan siapakah yang paling baik ketetapannya dari Allah bagi kaum yang yakin” (al-Maidah, ayat 50).

Sebelum menjelaskan hukum pembahagian pusaka secara saling meredhai itu serta syarat-syaratnya di atas, beliau memperingatkan bahawa pembahagian harta pusaka telah dijelaskan Allah dengan terperinci di dalam al-Quran iaitu dalam surah al-Nisa’. Kemudian disusuli dengan peringatan dan amaran; jangan ketetapan tersebut dilanggari, iaitu sebagai dapat diperhatikan dari firmanNya; 

تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدۡخِلۡهُ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ  ١٣ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُۥ يُدۡخِلۡهُ نَارًا خَٰلِدٗا فِيهَا وَلَهُۥ عَذَابٞ مُّهِينٞ  ١٤

“(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya kedalam surga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan” (surah al-Nisa’, ayat 13 dan 14).

Nabi SAW bersabda;

اقْسِمُوا الْمَالَ بَيْنَ أَهْلِ الْفَرَائِضِ عَلَى كِتَابِ اللهِ، فَمَا تَرَكَتِ الْفَرَائِضُ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

“Agihkan harta (pusaka) di kalangan ahli-ahli faraid mengikut (yang ditetapkan dalam) kitab Allah. Kemudian yang berbaki setelah faraid diberikan kepada lelaki paling utama” (Soheh Muslim; 1615/4).

Beliau turut menyebutkan, para fuqahak telah ijmak (sepakat) bahawa harta pusaka berpindah secara otomatik kepada ahli-ahli waris sebagai berlaku kematian, namun dengan syarat si mati tidak menanggung hutang. (*bermakna pembayaran hutang perlu didahulukan dari pembahagian harta kepada ahli-ahli waris, kerana mereka tidak berhak ke atas bahagian hutang tersebut, sebaliknya ia adalah hak pemiutang).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

(1) Fatwa Syeikh Hisamuddin ‘Afanah (dalam laman fatwa;  https://ar.islamway.net/fatwa/, fatwa no. 55227).

(2) Fatwa Syeikh Ahmad Wisam (dalam laman; https://akhbarak.net/articles/38046024).