Soalan; Slm ustaz, macamana cara membatalkan taklik (talak)?

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie); talak secara taklik tidak boleh dibatalkan, kerana suami telah melafazkan talak dengan mengaitkannya dengan suatu syarat, maka ia terikat dengannya sama seperti terikat dengan talak yang dilafazkan secara terus (tanpa taklik). Beza hanya pada bila akan terlaksananya talak ,di mana talak secara terus akan terlaksana sebaik dilafazkan, adapun talak secara taklik terlaksana apabila berlaku perkara/syarat yang ditaklikkan. Hanya ada satu cara sahaja untuk mengelak dari jatuhnya talak, iaitu memastikan tidak berlaku perkara yang ditaklikkan. Apabila terjatuhnya talak, suami boleh merujuk semula selama talak itu tidak bain.

Menurut Imam Ibnu Taimiyah; suami memiliki hak untuk menarik syarat taklik itu jika ia berniat talak ketika melafazkannya. Jika dia tidak berniat talak (yakni hanya untuk menggertak isterinya), ia sama seperti seorang yang bersumpah, yakni hanya perlu membayar kaffarah sumpah jika perkara yang ditaklik itu berlaku. Jika tidak berlaku, tidak dikenakan apa-apa.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) Laman fatwa islamweb.net, no. fatwa; 161221.

(2) al-Tolaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, m.s. 65.

(3) Zain al-Thalib, 7/122.