Laman Info Agama Anda

MENJUAL PUSAKA KEPADA SEBAHAGIAN WARIS

Fatwa Syeikh Dr Muhammad Bakar Ismail (faqih al-Azhar). Lihat biodata beliau; (sila klik)

Soalan; seorang lelaki sakit dan meninggal. Dua bulan sebelum mati, dia telah menjual sebahagian besar asetnya (merangkumi tanah dan bangunan) kepada anak-anak lelakinya dengan harga murah, seolah untuk menghalang anak-anak perempuannya dari mendapat harta tersebut setelah kematiannya. Apakah jual-beli tersebut sah?

Jawapan;

Jualan orang sakit kepada ahli waris terhenti pada kelulusan waris-waris yang lain. Sekalipun jual-beli itu sah ketika sakitnya (kerana memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual-beli), namun jika setelah dia meninggal waris-warisnya yang lain tidak meluluskannya, jual-beli itu batal dengan sendirinya.

Kesimpulannya, jual-beli yang dilakukan oleh seorang yang sedang sakit hendak mati kepada salah seorang warisnya bergantung kepada persetujuan waris-waris lain.

Perlu diperingatkan di sini bahawa perbuatan menghalang anak-anak perempuan dari mendapat pusaka perbuatan itu merupakan adat jahiliyah dan suatu kezaliman, kecuali jika ada alasan yang mendesak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) Baina al-Sail wa al-Faqih, Dr Muhammad Bakar Ismail, m.s. 23.

Ulasan;

(1) Jawapan syeikh tersebut mengikut pandangan dalam mazhab Hanafi, di mana menurut mazhab Hanafi; jual-beli yang dilakukan oleh seorang yang sedang sakit (yang membawa kematiannya) kepada salah seoarang warisnya, jual-beli itu terhenti  pada kelulusan waris-waris yang lain. Jika mereka menyetujuinya, jual-beli itu dilangsungkan. Jika mereka tidak menyetujuinya, jual-beli itu batal. Hukum tersebut merangkumi sama ada harga jualan mengikut nilai sebenar atau harga pilih kasih.

(2) Adapun menurut mazhab Syafiie; orang yang sedang sakit boleh menjual apa sahaja yang dia kehendaki dari hartanya kepada mana-mana warisnya dan jual-beli itu sah, namun dengan syarat harga jualan adalah mengikut nilai sebenarnya, kalau kurang pun tidak terlalu ketara (mengikut uruf) bagi barang serupa. Jika harga jualan menampakkan unsur pilih kasih, maka jual-beli tersebut mengambil hukum memberi wasiat kepada waris, iaitu terhenti kepada kelulusan waris-waris yang lain. Jika mereka menyetujuinya, jual-beli tersebut dilangsungkan. Jika tidak, jual-beli tersebut batal bagi kadar nilai berlaku pilih kasih (yakni tidaklah batal keseluruhannya). Berkata Imam al-Ramli; sakit hanya menghalang muhabat (perlakuan yang dilakukan atas pilih kasih), namun tidak menghalang berlakunya kesan (akad)".

Merujuk kepada kes dalam soalan di atas, "aset dijual dengan harga murah" dan nampak ketara unsur pilih kasih di situ, maka menurut kedua-dua pandangan di atas; jual-beli memerlukan kelulusan waris-waris lain. Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/19.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries