SELAWAT PALING PENDEK

Soalan; apabila kita hendak berselawat kepada Nabi SAW, apakah lafaz selawat paling pendek yang boleh kita ucapkan?

Jawapan;

Dalam surah al-Ahzab (ayat 56), Allah memerintahkan orang beriman supaya berselawat serta memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW;

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا 

"Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi (Muhammad) SAW dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya" (surah al-Ahzab, ayat 56).

Menurut Imam al-Nawawi; apabila seseorang ingin berselawat kepada Nabi SAW hendaklah dia menggabungkan selawat dan juga salam, yakni jangan berselawat sahaja tanpa salam atau memberi salam sahaja tanpa berselawat (Ibnu Kathir, 6/479). Contoh lafaz selawat dan salam paling pendek ialah;

صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْلِيمًا

"Semoga Allah melimpahi selawat dan salam ke atas baginda" (Ibnu Kathir, 6/479).

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَسَلِّمْ

 "Ya Allah, limpahilah selawat serta salam ke atas Nabi Muhammad SAW " (al-Wahidi, 18/289. al-Syaukani, 4/346).

Imam al-Wahidi menaqalkan dari Imam Muqatil yang berkata; jika seorang hamba Allah mengucapkan "اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَسَلِّمْ" maka dia menunaikan tuntutan berselawat dan memberi salam kepada baginda SAW (al-Wahidi, 18/289).

Adapun dari segi maksud, maka selawat bermaksud rahmat dan keberkatan, salam pula bermaksud kesejahteraan (Tafsir al-'Izz Ibn Abdissalam, 2/588). Maka dengan ucapan selawat dan salam tadi, kita mendoakan keberkatan, rahmat dan kesejahteraan untuk Nabi Muhammad SAW. Dengan doa kita itu, Allah akan membalas kembali dengan rahmat, keberkatan dan kesejahteraan untuk kita sebanyak 10 kali ganda sebagaimana fadhilat selawat yang disebut oleh Nabi SAW;

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بها عشرا

"Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali" (Soheh Muslim; 384/11).

Rujukan;

(1) Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibnu Kathir.

(2) Tafsir al-Basit, Imam Abul Hasan al-Wahidi.

(3) Tafsir Imam al-Izz Ibn Abdissalam.

(4) Fathul Qadier, Imam al-Syaukani, 4/346.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries