Soalan; Assalamualaikum ustaz....Afwan nak bertanya..... Bolehkah kita buat solat sunat qabliyah dan ba'diyah yang 4 rakaat dengan 1 salam dan tahiyat awal??

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله:

Solat sunat qabliyah zohor dengan 4 rakaat dan begitu juga ba'diyahnya 4 rakaat telah sabit fadhilatnya dari hadis Nabi SAW;

مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

"Sesiapa memelihara (solat sunat) 4 rakaat sebelum zohor dan 4 rakaat sesudahnya, nescaya Allah mengharamkan jasadnya dari neraka" (HR al-Tirmizi; 428, hadis hasan soheh).

Solat tersebut menurut ulamak boleh dilakukan dua dua rakaat (yakni dengan dua salam) dan boleh juga dilakukan empat rakaat sekaligus (yakni dengan satu salam). Namun mereka berikhtilaf tentang kaifiyat yang mana paling baik (afdhal); dua dua rakaat atau 4 rakaat sekaligus? 

Menurut Imam Malik, Syafiie dan Ahmad; yang afdhal (terbaik) ialah melakukan dua dua rakaat. Bagi mereka, solat sunat sama ada siang atau malam, kaifiyat terbaik ialah dengan melakukan dua rakaat diikuti dua rakaat, berdalilkan sabda Nabi SAW;

صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى

"Solat (sunat) ketika siang dan malam ialah dua-dua rakaat" (HR Imam Abu Daud).

Namun menurut mazhab Hanafi; solat sunat malam kaifiyat terbaik ialah sebagaimana pandangan pertama tadi. Adapun solat sunat siang, yang terbaik (afdhal) ialah melakukan empat rakaat sekaligus. Hukum ini turut merangkumi solat sunat empat rakaat sebelum zohor, empat rakaat selepas zohor dan empat rakaat sebelum asar. Antara dalil mereka ialah sabda Nabi SAW;

 أَرْبَعٌ قَبْلَ الظُّهْرِ لَيْسَ فِيهِنَّ تَسْلِيمٌ، تُفَتَّحُ لَهُنَّ أَبْوَابُ السَّمَاءِ

"Solat sunat 4 rakaat sebelum zohor yang tidak diselangi dengan salam, akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit" (HR Abu Daud; 1270).

Maksud melakukan empat rakaat sekaligus itu ialah dengan dua tasyahhud (awal dan akhir) dan satu salam. Namun menurut Imam al-Nawawi, dibolehkan dengan satu tasyahhud sahaja. Beliau menegaskan dalam fatwanya; "(Seorang yang melakukan solat sunat sebelum zohor empat rakaat atau selepasnya empat rakaat atau sebelum asar empat rakaat) dibolehkan baginya untuk melakukan solat dengan satu salam sahaja sama ada dengan satu tasyahhud sahaja (iaitu di akhir) atau dua tasyahhud (yakni awal dan akhir), namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya dengan dua salam" (Fatawa al-Nawawi, m.s. 35).

Adapun bacaan ayat/surah (setelah al-fatihah) dalam solat, menurut Imam al-Syirbini; jika solat dilakukan dengan satu tasyahhud sahaja, ayat/surah boleh dibaca pada semua rakaat. Namun jika dilakukan lebih dari satu tasyahhud, ayat/surah dibaca pada rakaat-rakaat sebelum tasyahhud awal sahaja (Mughni al-Muhtaj, 1/312).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Syarh al-Sunnah, Imam al-Baghawi, 2/466.

2. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Wahbah al-Zuhaili, 2/50.

3. Fatawa al-Nawawi, Imam al-Nawawi, ms. 35.

4. Mirqaat al-Mafatih, 'Ali al-Qari, 3/893.

5. Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syirbini, 1/312.