Persoalan; bolehkah kawasan yang dikenai najis atau air liur anjing disamak menggunakan sabun (atau bahan cucian lain) menggantikan tanah?

Jawapan;

Bagi masalah ini ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak mutaqaddimin dalam mazhab Syafiie. Imam al-Baghawi menjelaskan dalam kitabnya al-Tahzib Fi Fiqh al-Imam al-Syafiie; adapun menggunakan asynan (sejenis pokok yang digunakan orag Arab sebagai bahan pencuci), sabun, kapur sebagai ganti tanah -sama ada ketika ketiadaan tanah atau tanah masih ada-, terdapat dua pandangan bagi permasalahan tersebut (al-Tahzib, 1/191). Khilaf yang serupa turut dinyatakan Imam Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni (rujukan mazhab Hanbali) (al-Mughni, 1/64). Dari kedua-dua kitab tersebut disimpulkan tiga pandangan fuqahak bagi masalah tersebut;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logic.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi SAW menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Nabi SAW juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun baginda hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. At-Tahzib Fi Fiqh al-Imam asy-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, 1/191-192.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 1/64.

Diambil dari blog lama (setelah semakan semula); ilmudanulamak.blogspot.com

Sebarang komentar, sila email; This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.