Fatwa al-Azhar (mac, 2020) menyebutkan;

Semua mengetahui bahawa dunia ketika ini sedang dilanda virus covid 19 dan akibat wabak tersebut menjejaskan kehidupan terutamanya golongan miskin, mereka yang terhad pendapatannya, pekerja biasa dan tidak tetap. Maka tanggungjawab kita saat ini ialah memerhati orang sekeliling kita, keluarga, kenalan, jiran dan pekerja bawahan kita, dan berusaha membantu mereka dengan sumbangan wang atau makanan yang termampu.

Pahala bersedekah (dalam Islam) sangat besar dan lebih besar lagi apabila bersedekah ketika manusia dalam krisis. Nabi SAW pernah ditanya; 'Wahai Rasulullah SAW, apakah sedekah yang paling besar pahalanya?'. Baginda menjawab;

«أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَىٰ الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَىٰ...»

"Bersedekah pada ketika kamu sedang sihat dan merasa bakhil (sayangkan harta), di mana kamu bimbangkan kefakiran dan meginginkan kecukupan" (Muttafaq 'alaih).

Maksud hadis ini ialah; sedekah paling baik ialah seorang itu bersedekah pada saat dia sendiri memerlukan wang, namun dia tetap mendahulukan orang fakir kerana melihat mereka lebih memerlukan darinya.

Selain itu, sikap peka dengan keadaan keluarga, pekerja bawahan, dan jiran-jiran merupakan tanda kesempurnaan iman sebagaimana sabda Nabi SAW;

مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَان وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَىٰ جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ

"Tidak beriman denganku seorang yang tidur nyenyak (dalam kekenyangan), sedang jirannya sedang berlapar di sebelah rumahnya dan dia mengetahuinya" (HR al-Tabrani).

Perlu disedari bahawa bersedekah ketika situasi gawat seperti sekarang ini turut menjadi faktor terangkatnya bala itu sendiri, menghilangkan kemudaratan dan melapangkan rezki sebagaimana sabda Nabi SAW;

«إنَّمَا تُنصَرُونَ وتُرزَقُونَ بِضُعَفَائِكُم»

"Sesungguhnya kamu dibantu dan diberi rezki kerana terdapat orang-orang yang lemah di kalangan kamu" (HR Imam Ahmad)

Juga menjadi faktor mendapat redha Allah, turun rahmatNya dan terpelihara hamba-hamba dari bala bencana, penyakit-penyakit dan kesudahan yang buruk. Sabda Nabi SAW;

«صنائِعُ المعروفِ تَقِي مصارعَ السُّوءِ، و الصدَقةُ خِفْيًا تُطفِيءُ غضبَ الرَّبِّ»

"Melakukan perbuatan-perbuatan makruf akan memelihara dari kematian yang buruk. Sedekah secara sembunyi memadamkan kemurkaan Tuhan" (HR al-Tabrani).

Rujukan fatwa;

https://www.azhar.eg/fatwacenter/fatwa/qadaya/ArtMID/7988/