Laman Info Agama Anda

BEZA AQIDAH DAN IMAN

Soalan; apa beza aqidah dan iman? Apakah keduanya sama atau ada perbezaan?

Jawapan; 

Aqidah merujuk kepada keyakinan atau kepercayaan yang terikat kukuh dalam hati. Sebagaimana kalimah aqad, ia berpunca dari kata dasar aqada (عقد) yang bermaksud; mengikat atau menyimpul. Aqad ialah ikatan ijab dan qabul di antara dua pihak yang berakaي. Aqidah pula ialah ikatan keyakinan yang tersimpul dam terjalin kemas di dalam hati.

Iman pula walaupun asasnya adalah di hati (yakni al-tasdiq bil qlbi iaitu membenarkan dengan hati segala yang disampaikan Nabi Muhammad SAW), namun menurut nas al-Quran dan hadis iman tidak hanya keyakinan hati sahaja, tetapi turut merangkumi amalan. Di awal surah al-Mukminun, Allah menegaskan orang beriman ialah orang yang khusuk di dalam solatnya, menjauhi ucapan-ucapan lagha (sia-sia), membayar zakat, menjauhi zina menjaga amanah dan janji serta menjaga solat (lihat; ayat 1 hingga 9).

Dalam hadis atau sunnah, di samping kita menemui hadis yang menyebutkan tentang rukun iman yang enam itu, kita juga menemui hadis yang menyebutkan berkenaan cabang-cabang iman yang berjumlah 70 lebih. Rukun-rukun iman bersifat keyakinan, sementara cabang-cabang iman bersifat amalan sebagaimana sabda Nabi SAW;

«‌الْإِيمَانُ ‌بِضْعٌ وَسَبْعُونَ - أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ - شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ» 

"Iman itu merangkumi 70 atau 60 cabang lebih, di mana cabang paling baik ialah ucapan Lailaha Illallah dan cabang paling rendah membuat sesuatu yang menyakiti dari jalan. Sifat malu adalah satu cabang dari iman" (HR Muslim. 35/58, dari Abu Hurairah RA).

Kerana itu para ulamak menyimpulkan makna iman dengan ungkapan mereka;

‌الْإِيمَانُ ‌تَصْدِيقٌ بِالْقَلْبِ، وَإِقْرَارٌ بِاللِّسَانِ، وَعَمَلٌ بِالْجَوَارِحِ

"Iman ialah membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota" (al-Syari'ah, Imam al-Ajurri (w 380H), 2/611).

Kesimpulannya, melihat kepada maksud yang jami' (menyeluruh) bagi kalimah iman, difahami bahawa aqidah hanya satu juzuk sahaja dari iman iaitu juzuk keyakinan. Selain itu, melihat penggunaan dalam al-Quran dan al-hadis/al-sunnah, kalimah iman yang sering diungkapkan bukan kalimah aqidah. Dari iman lahir al-mukminun (orang-orang beriman). Mengambil kira fakta ini, kemantapan iman yang perlu dititik-beratkan dalam dakwah, pengajian dan tarbiyah.

Wallahu a'lam, walhamdulillah, wassolatu 'ala Rasulillah.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries