Laman Info Agama Anda

Soal Jawab

Orang Bukan Islam Memasuki Masjid

Apa hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Adakah dilarang sepenuhnya? Atau diharuskan dengan syarat-syarat tertentu?

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin-; Diharuskan kepada orang-orang kafir untuk memasuki mana-mana masjid selain Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram, dengan syarat mendapat keizinan dari orang-orang Islam. Tidak harus mereka memasuki Tanah Haram dalam apa jua keadaan sekalipun. Adapun masjid-masjid selain Masjidil Haram, harus mereka memasukinya dengan keizinan kaum muslimin. Tidak harus tanpa keizinan kaum muslimin mengikut qaul soheh (dalam mazhab Syafiie) (Rujukan; Raudhatu at-Talibin (Imam an-Nawawi), 1/301).

 

Larangan orang kafir memasuki Masjidil Haram adalah berdalilkan firman Allah;

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu adalah kotor. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini….” (surah at-Taubah, ayat 28).

 

Adapun keharusan mereka memasuki masjid-masjid yang lain, adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

 

  1. Pernah seorang tawanan yang masih kafir (iaitu Tsumamah bin Utsal) diikat oleh Nabi SAW di dalam masjid, iaitu di salah satu tiang dalam masjid (lihat; Soheh al-Bukhari; 462. Soheh Muslim; 1764/59. dari Abu Hurairah RA).

 

  1. Nabi SAW pernah menerima kedatangan rombongan Nasrani (Kristian) Najran dan menempatkan mereka di dalam masjidnya. Imam al-Khatib as-Syirbini menjelaskan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj; “Telah tsabit bahawa Nabi SAW pernah membenarkan orang-orang kafir memasuki masjidnya. Perkara itu berlaku setelah turunnya surah at-Taubah (yang melarang orang kafir memasuki Masjidil Haram tadi). Surah at-Taubah diturunkan pada tahun ke 9 hijrah, sedang para rombongan kaum tiba kepada baginda pada tahun ke 10 hijrah. Antara romobongan yang datang ialah rombongan Nasrani (Kristian) Najran. Nabi SAW menempatkan mereka di dalam masjidnya dan berdiskusi dengan mereka tentang isu al-Masih (Nabi Isa AS) dan isu-isu lainnya” (Mughni al-Muhtaj, 4/311).  

 

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan mazhab Syafiie; orang kafir dibolehkan memasuki masjid dengan syarat-syarat berikut;

  1. Bukan Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram.
  2. Mendapat keizinan dari kaum muslimin, termasuk ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka.

 

Wallahu a’lam.

 

Tambahan (pandangan mazhab-mazhab lain);

 

  1. Menurut Imam Malik; orang kafir tidak harus memasuki masjid melainkan jika ada suatu keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah;  hanya orang kafir kitabi sahaja diharuskan memasuki masjid. Adapun kafir musyrik tidak harus memasukinya berdalilkan hadis;

 

لَا يَدْخُلُ مَسْجِدَنَا هَذَا مُشْرِكٌ بَعْدَ عَامِنَا هَذَا، غَيْرَ أَهْلِ الْكِتَابِ وَخَدَمِهِمْ

“Tidak boleh memasuki masjid kita (bermula) tahun ini orang musyrik kecuali ahli kitab dan juga khadam mereka” (Musnad Ahmad; 14649)

 

Rujukan; Syarh as-Sunnah (Imam al-Baghawi), 11/82. Ibanat al-Ahkam syarh Bulughul Maram, 1/268. 

ADAKAH KITA WAJIB TERIKAT DENGAN MAZHAB TERTENTU?

Soalan; dalam beramal dengan agama, adakah kita wajib bermazhab? dan adakah wajib terikat dengan mazhab tertentu?

Jawapan;

 بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله، أما بعد:

Ada dua syarat yang perlu diperhatikan supaya amalan kita diterima Allah;

1. Amalan itu menepati Syariat Allah

2. Dilakukan ikhlas kerana Allah.

Baca Selanjutnya ...

KAEDAH MENUNTUT ILMU MELALUI MEDIA SOSIAL

Soalan; saya nak tanya, adakah boleh kita menuntut ilmu melalui ceramah-ceramah agama di youtube atau kita perlu berdepan guru?

Jawapan;

بسم الله والصلاة على رسول الله، أما بعد:

Tujuan menuntut ilmu ialah untuk mendapatkan ilmu yang soheh tentang agama dari sumber yang benar. Ia boleh dilakukan melalui dua cara;

1. Talaqqi (mengambil) dari guru yang alim dan tsiqah.

2. Membaca buku/kitab yang ditulis ulamak yang alim dan tsiqah

Permulaan menuntut ilmu mesti dengan mengambil asas ilmu daripada guru secara berdepan, iaitu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu. Jika tidak mampu bolehlah melalui pengajian secara online, mendengar di youtube, rakaman atau sebagainya. 

Setelah memiliki asas ilmu yang diambil dari guru, barulah ditambah melalui pembacaan. Namun perlu memastikan buku atau kitab yang dibaca dikenali pengarangnya dan yang terbaik ialah buku atau kitab yang biasa dipelajari/dibaca oleh penuntut ilmu atau pengarangnya telah dikenali dalam masyarakat sebagai tokoh agama seperti Syeikh Idris al-Marbawi, HAMKA, Dr Zukifli al-Bakri, Dr Zaharuddin, Mufti-Mufti Negeri-Negeri dan ramai lagi.

Hal yang sama perlu dipastikan bagi yang mengikuti pengajian secara online atau dari ceramah-ceramah di youtube, iaitu hanya mengambil ilmu dari penceramah yang diakui ketokohan ilmu agamanya dalam masyarakat. Imam Ibnu Sirin memberi pesan;

"Ilmu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agama kamu" (Mukadimah Soheh Muslim).

Maksud pesanan tersebut ialah, ilmu agama adalah agama itu sendiri. Jika kita tersalah mengambil ilmu agama akan membawa kepada kesalahan dalam beragama. Kerana itu ilmu agama perlu diambil dari sumber yang benar.

Wallahu a'lam bis-shawab.

CECAIR ALKOHOL SANITASI; ADAKAH NAJIS?

Menurut fatwa al-Azhar (mac, 2021), 

1. Tidak semua perkara yang disebut alkohol menurut ahli kimia adalah memabukkan. Alkohol yang tidak memabukkan dan tidak terbentuk dari bahan yang memabukkan, hukumnya adalah suci. Oleh itu tidak dilarang -menurut penilaian Syariat- untuk digunakan sebagai alat steril untuk badan atau permukaan (tempat), dan solat adalah sah jika alkohol itu berada di badan atau di tempat solat ketika solat dilakukan.

2. Sekalipun terdapat khilaf di kalangan fuqahak semasa tentang alkohol dari bahan asalnya memabukkan -apakah ia dihukumkan seperti arak (najis) atau tidak?-, namun  yang rajih ialah hukumnya suci kerana mengikut prinsip asas "segala benda di alam ini hukum asalnya adalah suci selama tidak ada dalil menghukumnya sebagai najis".

Oleh demikian, tidak dilarang menurut Syariat menggunakan alkohol secara perubatan sebagai pembasmi kuman, dan tidak salah mensterilkan permukaan, tempat awam dan masjid dengan bahan beralkohol. Orang yang menggunakannnya di badan, pakaian, atau tempat solatnya, solatnya sah.

Wallahu a'lam bis-showab.

Rujukan fatwa;

https://www.azhar.eg/fatwacenter/fatwa/ebadat/ArtMID/7985/ArticleID/54000/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%a7%d8%b3%d8%aa%d8%ae%d8%af%d8%a7%d9%85-%d8%a7%d9%84%d9%83%d8%ad%d9%88%d9%84-%d9%83%d9%85%d8%b9%d9%82%d9%85-%d9%84%d9%84%d9%8a%d8%af%d9%8a%d9%86-%d9%88%d8%a7%d9%84%d8%a3%d8%b3%d8%b7%d8%ad-%d9%88%d8%a7%d9%84%d9%85%d8%b3%d8%a7%d8%ac%d8%af-%d9%88%d8%a7%d9%84%d8%a3%d9%85%d8%a7%d9%83%d9%86-%d8%a7%d9%84%d8%b9%d8%a7%d9%85%d8%a9

FATWA AL-AZHAR; SEDEKAH KETIKA COVID BESAR PAHALANYA

Fatwa al-Azhar (mac, 2020) menyebutkan;

Semua mengetahui bahawa dunia ketika ini sedang dilanda virus covid 19 dan akibat wabak tersebut menjejaskan kehidupan terutamanya golongan miskin, mereka yang terhad pendapatannya, pekerja biasa dan tidak tetap. Maka tanggungjawab kita saat ini ialah memerhati orang sekeliling kita, keluarga, kenalan, jiran dan pekerja bawahan kita, dan berusaha membantu mereka dengan sumbangan wang atau makanan yang termampu.

Pahala bersedekah (dalam Islam) sangat besar dan lebih besar lagi apabila bersedekah ketika manusia dalam krisis. Nabi SAW pernah ditanya; 'Wahai Rasulullah SAW, apakah sedekah yang paling besar pahalanya?'. Baginda menjawab;

«أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيحٌ شَحِيحٌ تَخْشَىٰ الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَىٰ...»

"Bersedekah pada ketika kamu sedang sihat dan merasa bakhil (sayangkan harta), di mana kamu bimbangkan kefakiran dan meginginkan kecukupan" (Muttafaq 'alaih).

Maksud hadis ini ialah; sedekah paling baik ialah seorang itu bersedekah pada saat dia sendiri memerlukan wang, namun dia tetap mendahulukan orang fakir kerana melihat mereka lebih memerlukan darinya.

Selain itu, sikap peka dengan keadaan keluarga, pekerja bawahan, dan jiran-jiran merupakan tanda kesempurnaan iman sebagaimana sabda Nabi SAW;

مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَان وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَىٰ جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ

"Tidak beriman denganku seorang yang tidur nyenyak (dalam kekenyangan), sedang jirannya sedang berlapar di sebelah rumahnya dan dia mengetahuinya" (HR al-Tabrani).

Perlu disedari bahawa bersedekah ketika situasi gawat seperti sekarang ini turut menjadi faktor terangkatnya bala itu sendiri, menghilangkan kemudaratan dan melapangkan rezki sebagaimana sabda Nabi SAW;

«إنَّمَا تُنصَرُونَ وتُرزَقُونَ بِضُعَفَائِكُم»

"Sesungguhnya kamu dibantu dan diberi rezki kerana terdapat orang-orang yang lemah di kalangan kamu" (HR Imam Ahmad)

Juga menjadi faktor mendapat redha Allah, turun rahmatNya dan terpelihara hamba-hamba dari bala bencana, penyakit-penyakit dan kesudahan yang buruk. Sabda Nabi SAW;

«صنائِعُ المعروفِ تَقِي مصارعَ السُّوءِ، و الصدَقةُ خِفْيًا تُطفِيءُ غضبَ الرَّبِّ»

"Melakukan perbuatan-perbuatan makruf akan memelihara dari kematian yang buruk. Sedekah secara sembunyi memadamkan kemurkaan Tuhan" (HR al-Tabrani).

Rujukan fatwa;

https://www.azhar.eg/fatwacenter/fatwa/qadaya/ArtMID/7988/

 

ALKOHOL DALAM SANITIZER TIDAK NAJIS

Menurut fatwa al-Azhar (mac, 2021), 

1. Tidak semua perkara yang disebut alkohol menurut ahli kimia adalah memabukkan. Alkohol yang tidak memabukkan dan tidak terbentuk dari bahan yang memabukkan, hukumnya adalah suci. Oleh itu tidak dilarang -menurut penilaian Syariat- untuk digunakan sebagai alat steril untuk badan atau permukaan (tempat), dan solat adalah sah jika alkohol itu berada di badan atau di tempat solat ketika solat dilakukan.

2. Sekalipun terdapat khilaf di kalangan fuqahak semasa tentang alkohol dari bahan asalnya memabukkan -apakah ia dihukumkan seperti arak (najis) atau tidak?-, namun  yang rajih ialah hukumnya suci kerana mengikut prinsip asas "segala benda di alam ini hukum asalnya adalah suci selama tidak ada dalil menghukumnya sebagai najis".

Oleh demikian, tidak dilarang menurut Syariat menggunakan alkohol secara perubatan sebagai pembasmi kuman, dan tidak salah mensterilkan permukaan, tempat awam dan masjid dengan bahan beralkohol. Orang yang menggunakannnya di badan, pakaian, atau tempat solatnya, solatnya sah.

Wallahu a'lam bis-showab.

Rujukan fatwa;

https://www.azhar.eg/fatwacenter/fatwa/ebadat/ArtMID/7985/

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries