Laman Info Agama Anda

Soal Jawab

JANGAN ABAIKAN HAK ISTERI UNTUK TAAT KEPADA IBU

Fatwa; IMAM IZZUDDIN IBNU ABDISSALAM (الإمام عز الدين بن عبد السلام) (lahir 577 hjrah, wafat 660 hijrah)

Soalan; seorang suami berhasrat keluar bersiar-siar bersama isterinya. Ibunya ingin turut serta bersama, namun mereka keberatan membawanya bersama. Apakah harus suami meninggalkan ibunya dan keluar bersama isterinya?

Jawapan;

Tidak mengapa seorang suami keluar bersiar bersama isteri tanpa membawa ibu bersama (sekalipun diminta ibu), kerana haknya untuk beristimta' (bergembira) disertakan dengan hak isteri (untuk bersendirian dengan suami) -bagi kes tersebut- didahulukan dari birra al-umm (memenuhi hasrat ibu).

Rujukan; Fatawa Sulton al-'Ulama' al-'Izz Ibn Abdissalam, tahqiq; Mustafa 'Asyur, m.s. 47 (Maktabah al-Sa'ie, Riyadh, tanpa tahun).

* Ulasan saya; kita mempelajari dari fatwa ini bahawa seorang suami tidak boleh mengabaikan hak isteri dengan alasan memenuhi hak ibu, begitu juga sebaliknya; jangan abaikan hak ibu kerana sayangkan isteri. Masing-masing isteri dan ibu ada hak yang mesti ditunaikan suami dengan adil dan saksama. Kita perlu keluar dari igauan drama Melayu yang sentiasa menggambarkan suami wajib taat kepada ibu sekalipun dengan menzalimi isteri. Agama tidak menyuruh begitu. Malah Allah sendiri mengisytiharkan;"Wahai hamba-hambaKu, Aku telah mengharamkan ke atas diriku (untuk berbuat) zalim (kepada hamba-hambaKu) dan Aku turut mengharamkannya sesama kamu, maka janganlan kamu saling menzalimi sesama kamu" (Soheh Muslim; 2577/55). Ibu atau isteri mesti membantu anak/suami untuk menjadi seorang yang adil, jangan mempengaruhinya untuk menzalimi mana-mana pihak.

SIAPA YANG WAJIB MENANGGUNG ANAK YANG KEMATIAN BAPA?

Soalan; salam ustaz, saya nak tanya soalan, siapakah yang wajib bertanggungjawab (dari segi nafkah) ke atas anak2 yang kematian bapa? ibu masih ada tetapi kurang kemampuan.

Jawapan;

Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,

Dalam surah al-Baqarah (ayat 233) Allah menegaskan; “Dan kewajipan bapa ialah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang berpatutan. Ahli waris pun (berkewajipan) seperti itu juga”.

Berdasarkan ayat ini sebahagian ulamak menyimpulkan bahawa, kewajipan nafkah asalnya tertanggung di atas bahu bapa. Jika bapa tidak mampu atau mati, nafkah si anak ditanggung oleh waris-waris si anak (iaitu kerabat-kerabatnya yang akan mewarisi darinya) merangkumi ibunya sendiri, datuknya, neneknya, saudaranya, bapa saudaranya dan sebagainya lagi yang dapat mewarisi darinya (jika ditakdirkan dia meninggal). Jika waris ramai, tanggungan nafkah wajib dikongsi mengikut kadar pewarisan masing-masing. Sebagai contohnya; jika si anak hanya mempunyai nenek dan saudara lelaki sahaja, maka nenek wajib menanggung 1/6 nafkahnya dan saudara lelaki pula nafkah selebihnya iaitu mengikut kadar pewarisan mereka. Ini merupakan pandangan mazhab Hanbali berdalilkan ayat di atas.

Menurut mazhab Syafiie, nafkah anak wajib di tanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki ke atas usul perempuan. Selama masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya). Bagi anak yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuknya, diikuti oleh bapa kepada datuknya hinggalah seterusnya ke atas. Yang lebih dekat didahulukan dari yang jauh. Jika si anak mempunyai datuk dan juga bapa kepada datuknya, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuk kerana ia lebih dekat. Jika sama-sama dekat (seperti si anak mempunyai datuk sebelah bapa (iaitu bapa kepada bapanya) dan juga datuk sebelah ibu (iaitu bapa kepada ibunya), kewajipan nafkah dikongsi bersama. Apabila tidak ada lansung datuk atau datuk yang ada tidak mampu, barulah kewajipan nafkah berpindah kepada usul-usul perempuan (iaitu ibu atau nenek atau yang lebih atas).

Perlu disebutkan; kewajipan menanggung nafkah orang lain tertakluk kepada kemampuan. Jika tidak mampu, tidaklah seseorang itu dibebani oleh Syarak untuk menanggung nafkah orang lain sedang nafkahnya sendiri tidak tertanggung. Hal ini telah disepakati ulamak. Maksud kemampuan itu ialah mempunyai lebihan setelah ditolak keperluan diri sendiri sama ada dari hartanya sedia ada atau dari pendapatannya. Sabda Nabi SAW;

“Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu sendiri. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk ahli kerabat kamu. Jika ada lebihan lagi setelah itu, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Soheh Muslim; 997, dari Jabir RA).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

  1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 41/79, 41/81 (perkataan ‘nafaqah’).
  2. Hasyiyah al-Baijuri ‘Ala Ibnu Qasim, 2/192.
  3. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 8/56-57.

 

Dari blog lama; ilmudanulamak.blogspot.com.

SUAMI MENGANCAM ISTERI DENGAN TALAK JIKA MENGAMBIL VAKSIN, ADAKAH JATUH TALAK?

Soalan; suami berkata kepada saya; 'jangan ambil vaksin. Jika ambil, jatuh talak atas kamu'. Adakah saya wajib mentaati suami dalam hal ini? Jika saya ambil vaksih, adakah talak terjatuh atas saya?

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله:

Secara umum isteri wajib mentaati suami, namun Nabi SAW sendiri menegaskan;

 لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

"Tidak ada ketaatan dalam maksiat, ketaatan hanya dalam perkara makruf (HR al-Bukhari; 7257).

Hadis ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada suami tidak mutlak, ada batasnya kerana suami bukan Tuhan, tetapi makhluk Tuhan. Maka tidak harus suami memaksa isteri dalam perkara yang menyalahi Syariat. Di antara hukum Syariat ialah kewajipan menjaga diri, keluarga dan masyarakat dari mudarat, sebagaimana firman Allah;

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

"Janganlah kamu semua menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan" (surah al-Baqarah, ayat 195).

Nabi SAW juga bersabda;

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

"Jangan memudaratkan (orang lain) dan jangan saling membalas kemudaratan dengan kemudaratan" (HR Ahmad. al-Jami' al-Saghier; 9899, hadis hasan).

Majlis-fatwa seluruh dunia sepakat memfatwakan bahawa umat Islam perlu mengambil vaksin dan divaksinkan untuk mengawal diri dan masyarakat dari Covid-19. Maka arahan suami ke atas isteri sebegitu adalah menyalahi Syariat dan tidak wajib isteri mentaatinya dalam masalah tersebut. Isteri tidak berdosa jika melanggarinya, sebaliknya suami yang berdosa kerana menyalahi Syariat.

Adapun dari segi hukum talak, maka ia termasuk dalam masalah hukum "talak secara taklik", iaitu talak yang diikat dengan sesuatu. Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; talak secara taklik adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak
2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)
3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah.
(Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

Namun ada juga di kalangan ulamak yang berbeza pandangan dengan jumhur ulamak di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membezakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.

Jawapan berkaiatan; (ADAKAH TAKLIK BOLEH DIBATALKAN).


Wallahu a’lam.

 
Rujukan;
 
1. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 7/447.
2. Yasalunaka Fid-Din Wal-Hayah, Dr. Syirbasi, 1/271.
3. Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, at-Tuwaijiri, hlm. 185.

MENGAHWINI WANITA HAMIL KERANA BERZINA

Soalan: Apa hukum mengahwini wanita yang hamil kerana terlanjur berzina? Apakah harus disetubuhi setelah perkahwinan itu?

Jawapan; 

 بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله

Syeikh 'Atiyah Saqar menjelaskan dalam fatwanya; 

Tidak harus dan tidak sah mengahwini wanita yang sedang hamil dari perkahwinan hinggalah wanita itu melahiirkan anak dan tamat eddah dengan suami sebelumnya. Adapun mengahwini wanita yang hamil kerana berzina, para fuqahak berbeza pandangan tentang masalah tersebut;

(Pandangan pertama); menurut mazhab Malik, Ahmad dan jumhur ulamak; tidak sah mengahwini wanita yang sedang hamil kerana berzina hinggalah dia melahirkan anak.  

(Pandangan kedua); harus/sah mengahwininya, namun tidak boleh mensetubuhinya hingga setelah dia melahirkan anak, kerana terdapat hadis Nabi SAW;

لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْقِيَ مَاءَهُ زَرْعَ غَيْرِهِ

"Tidak halal bagi seorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk dia menyiram airnya (yakni maninya) ke atas tanaman orang lain (yakni atas anak dari benih orang lain sebagaimana riwayat Imam al-Tirmizi)" (HR Abu Daud; 2158 dan al-Tirmizi; 1131, hadis hasan). Maksud hadis ialah, jangan dia mendatangi/mensetubuhi wanita yang sedang hamil (tuhfah al-Ahwazi, 4/236).

Itu jika yang mengahwininya bukan lelaki yang menzinainya. Adapun jika dia dikahwini oleh lelaki yang menzinainya dan hamil dari benih lelaki tersebut, tidak haram lelaki itu mensetubuhinya, kerana kehamilan wanita itu darinya, maka tidak masuk dalam pengertian menyiram air ke atas tanaman orang lain, kerana tanaman itu darinya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/156.

ADAKAH TAKLIK BOLEH DIBATALKAN?

Soalan; Slm ustaz, macamana cara membatalkan taklik (talak)?

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie); talak secara taklik tidak boleh dibatalkan, kerana suami telah melafazkan talak dengan mengaitkannya dengan suatu syarat, maka ia terikat dengannya sama seperti terikat dengan talak yang dilafazkan secara terus (tanpa taklik). Beza hanya pada bila akan terlaksananya talak ,di mana talak secara terus akan terlaksana sebaik dilafazkan, adapun talak secara taklik terlaksana apabila berlaku perkara/syarat yang ditaklikkan. Hanya ada satu cara sahaja untuk mengelak dari jatuhnya talak, iaitu memastikan tidak berlaku perkara yang ditaklikkan. Apabila terjatuhnya talak, suami boleh merujuk semula selama talak itu tidak bain.

Menurut Imam Ibnu Taimiyah; suami memiliki hak untuk menarik syarat taklik itu jika ia berniat talak ketika melafazkannya. Jika dia tidak berniat talak (yakni hanya untuk menggertak isterinya), ia sama seperti seorang yang bersumpah, yakni hanya perlu membayar kaffarah sumpah jika perkara yang ditaklik itu berlaku. Jika tidak berlaku, tidak dikenakan apa-apa.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) Laman fatwa islamweb.net, no. fatwa; 161221.

(2) al-Tolaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, m.s. 65.

(3) Zain al-Thalib, 7/122.

 

ADAKAH ISTERI WAJIB BERKONGSI GAJI DENGAN SUAMI?

Soalan; jika seorang isteri berkerja dan mempunyai gaji tetap, adakah dia wajib membantu suami menyarai keluarga. Jika suami meminta supaya dia membayar sebahagian sewa rumah atau belanja-belanja rumah yang lain, adakah arahan itu wajib ditaati?

Jawapan;

Tanggungan nafkah ke atas isteri dan keluarga merangkumi tempat tinggal, makanan, pakaian dan sebagainya sepenuhnya kewajipan suami. Maka tidak wajib seorang isteri membelanjakan wangnya atau gajinya untuk membantu suami. Keengganannya dalam hal tersenbut tidak boleh dianggap menderhakai suami atau nuzyus kerana di luar tanggungjawabnya. Namun jika dia dapat membantu suami, itulah sebaik-baiknya. Di samping menambahkan kerukunan rumah-tangga, dia akan diberi pahala oleh Allah.

Bagaimana jika suami memberi syarat kepada isteri, "hendaklah sebahagian gaji kamu dibelanjakan untuk rumah jika kamu ingin keluar berkerja". Sebahagian ulamak memfatwakan, syarat ini adalah mengikat. Maka jika ada syarat ini, wajib isteri mematuhi syarat tersebut dengan memberikan sebahagian gaji untuk belanja rumah sebagai tukaran kepada beizinan dari suami untuk dia keluar berkerja di luar rumah.  Namun jika pekerjaan dilakukan di rumah dan tidak menjejaskan sebarang tanggungjawabnya di rumah, suami tiada hak menuntut apa-apa. 

Dalam kitab al-Maudawwanah (mazhab Maliki), diceritakan Imam Malik ditanya; jika seorang wanita ingin berniaga, apakah suaminya boleh menghalangnya? Imam Malik menjwab; suami tiada hak menghalangnya dari berniaga, namun dia boleh menghalangnya dari keluar rumah.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa dari laman; islamweb.net, no. fatwa; 410695.

 

INGIN MEMBELI BUKU ATAU EBOOK KARYA PENULIS, sila layari;

1. Shopee (https://shopee.com.my/adnanbookstore) untuk pembelian buku

2. Labeyla Shop (https://labeyla.com/books); untuk pembelian buku dan Ebook

Belian anda adalah sumbangan kepada penulis untuk terus berkarya. Terima kasih.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries