Laman Info Agama Anda

Soal Jawab

MENZIARAHI KUBUR PADA MUSIM PERAYAAN

Fatwa; Syeikh Dr Muhammad Ibrahim al-Hifnawi (ulamak al-Azhar, Pensyarah Usul Fiqh Universiti al-Azhar , cawangan Tanta, Mesir).

Soalan; Apa hukum menziarahi kubur pada musim perayaan?

Jawapan;

Amalan tersebut hanyalah adat, bukan amalan Islam, maka selayaknya orang-orang Islam meninggalkannya.

Ziarah kubur yang disyariatkan ialah seseorang itu menziarahi keluarganya yang telah mati pada bila-bila masa sahaja terutamanya antara waktu setelah asar hari khamis hingga terbenam matahari hari sabtu, iaitu sebagaimana pandangan mazhab Syafiie dan mazhab Maliki mengikut yang rajih di sisi para fuqahak mazhab tersebut.

Ketika menziarahi, hendaklah memberi salam dan mendoakannya.

Walahu a'lam.

Rujukan;  Fatawa Syar'iyyah Mu'ashirah, Syeikh Dr Muhammad Ibrahim, al-Hifnawi, m.s. 600.

PANDANGAN ULAMAK TENTANG MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR

Fatwa; Syeikh Dr Muhammad Ibrahim al-Hifnawi (ulamak al-Azhar, Pensyarah Usul Fiqh Universiti al-Azhar , cawangan Tanta, Mesir).

Soalan; Apa hukum membaca al-Quran di kubur dan mengagihkan sedekah di kubur (kepada orang-orang yang turut hadir di kubur) dengan niat pahalanya untuk ruh si mati?

Jawapan;

Terdapat khilaf di kalangan fuqahak berkenaan hukum membaca al-Quran di kubur. Terdapat tiga pandangan;

(Pertama) Bacaan al-Quran di kubur adalah makruh kerana ia adalah perkara yang baru (diada-adakan). Pandangan ini dari Abu Hanifah, Malik dan Ahmad mengikut satu riwayat (darinya).

(Kedua) Dibolehkan membaca al-Quran di kubur. Pandangan ini dari Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani (murid Abu Hanifah). Menurut Imam al-Nawawi; para al-Syafiiyyah (yakni fuqahak mazhab Syafiie) berpandangan membaca al-Quran di kubur adalah istihbab (digalakkan).

(ketiga) Dibolehkan hanya ketika pengkebemian. Adapun selepasnya adalah makruh.

Aku berpandangan; tidak ditegah membaca al-Quran di kubur pada bila-bila masapun kerana tidak ada sebarang dalil dari Syarak yang menegahnya. Malah diriwayatkan bahawa Ibnu 'Umar RA mewasiatkan agar dibacakan dikuburnya ayat-ayat pembukaan surah al-Baqarah dan ayat-ayat penutupnya ketika jenazahnya dikebumikan. Turut diriwayatkan bahawa golongan Ansar jika ada kematian di kalangan mereka, mereka akan membacakan al-Quran untuknya. 

Imam Ibnu Taimiyah berpandangan; pahala bacaan al-Quran dari ahli keluarga si mati, tasbih mereka, takbir serta semua zikir dari mereka adalah sampai kepada si mati jika mereka mengahadiahkan kepadanya (al-Fatawa; 24/324). Beliau turut berkata; "Membaca al-Quran ketika pengkebumian adalah maksur (yakni terdapat atsar tentangnya) secara umumnya, namun membacanya setelah pengkebumian tidak ditemui atsar tentangnya" (al-Fatawa; 24/298).

Adapun bersedekah untuk ruh si mati, amalan itu adalah mustahabbah (digalakkan/disunatkan) dengan ijmak para fuqahak tanpa ada khilaf dari mana-mana fuqahak.

Wallahu a'lam.

Rujukan; Fatawa Syar'iyyah Mu'ashirah, Syeikh Dr Muhammad Ibrahim, al-Hifnawi, m.s. 600.

 

MASALAH MENGAZANKAN BAYI

Ada yang mempertikaikan amalan mengazankan bayi yang baru lahir. Katanya; hadis yang dijadikan hujjah bagi amalan tersebut adalah dhaif. Benarkah begitu?

 

Untuk ulasan lebih lanjut sila klik link dibawah:

https://www.facebook.com/ahmadadnan.fadzil/posts/3707253442635827

HUKUM MENCIUM MUSHAF

Soalan; ustaz, mencium mushaf al-Quran, adakah bid'ah?

 
Jawapan;
 
Biasanya seorang muslim mencium mushaf adalah kerana membesarkannya, maka tujuan tersebut menepati sifat hati orang beriman yang disebut dalam firmanNya;
 
"Sesiapa mengagungkan syiar-syiar (tanda-tanda agama) Allah, maka ia adalah dari ketakwaan hatinya" (surah al-Hajj, ayat 32).
Baca Selanjutnya ...

UKURAN NAFKAH KEPADA ISTERI; WANG ATAU KEPERLUAN?

Soalan; Assalamualaikum..Saya ingin bertanya, apakah maksud terperinci nafkah suami kepada isterinya? Adakah kerana dia telah membeli barangan keperluan seperti makanan sudah cukup dinamakan nafkah? Adakah salah jika isteri meminta wang kepada suaminya untuk dirinya sendiri sedangkan suaminya tidak pernah memberi wang,asalannya dia telah membeli barangan keperluan semua. Adakah wajib suami memberi keluarga mertua sedikit sumbangan seperti wang ringgit atau sebagainya?Dan apakah hukumnya jikalau keperluan yang dibeli oleh si suami menjadi ungkitannya semula.Disini saya terlalu musykil, harap dapatlah memberi penjelasan. 
Sekian terima kasih...

Jawapan;

Wajib suami memberi nafkah[1] kepada isteri mengikut kemampuannya dan juga dengan meraikan keperluan isteri. Firman Allah (bermaksud);

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan" (Surah at-Thalaq, ayat 7).

Terdapat hadis menceritakan; Hindun (isteri Abu Sufyan) mengadu kepada Nabi SAW tentang suaminya (Abu Sufyan) yang kedekut (tidak memberi belanja yang mencukupi untuk isteri dan anaknya). Lantas baginda berkata kepadanya Hindun; "Kamu ambillah dari hartanya kadar yang mencukupi untuk kamu dan anak kamu pada kebiasaannya"[2] (HR al-Jamaah kecuali Imam at-Tirmizi. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi...). 

Hadis ini menunjukkan bahawa keperluan isteri juga diambil kira dalam kewajipan memberi nafkah kerana Nabi menyebutkan "ambillah kadar yang mencukupi". Kecualilah jika suami miskin, maka dia dituntut memberi nafkah mengikut kemampuannya dan isteri hendaklah redha dengan keadaan suami dan berpada dengan apa yang diberikan.

Ada ulamak menetapkan kadar tetap harian bagi nafkah yang wajib disempurnakan oleh suami untuk isterinya. Antaranya Imam Syafiie yang menetapkan; jika suami kaya; ia hendaklah memberikan 2 cupak sehari untuk makanan isterinya, suami sederhana; 1 1/2 cupak dan suami miskin; 1 cupak. Adapun jumhur (majoriti) ulamak, mereka tidaklah menentukan kadar tetap, akan tetapi dirujuk kepada kemampuan suami dan juga keperluan isteri.[3] Kemampuan suami boleh berubah, begitu juga keperluan isteri. Pada ketika suami melihat keadaanya lebih senang, dia hendaklah melebihkan sedikit belanjanya untuk isteri dan isteri pula berhak menuntut peruntukan yang lebih. Begitu juga jika keperluan isteri bertambah kerana sesuatu sebab, pertambahan itu juga perlu berada dalam penilaian suami jika dia mampu meraikannya. Di dalam al-Quran, Allah amat menekan para suami agar melayani isteri dengan baik untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. Firman Allah (bermaksud);

"Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik" (Surah an-Nisa', ayat 19). 

Mungkin kita boleh meletakkan tahap-tahap bagi perbelanjaan dengan merujuk kepada tahap-tahap maslahah manusia yang diputuskan ulamak iaitu tiga peringkat;
Pertama; (tahap keperluan paling atas); iaitu keperluan daruriyat.
Kedua; keperluan hajiyat.
Ketiga; keperluan tahsiniyat.

Keperluan daruriyat ialah yang boleh menyebabkan kerosakan hidup jika tidak diberikan. Ini merangkumi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal yang asas. termasuk juga keperluan ilmu khususnya ilmu agama kerana tanpanya akan rosak kehidupan di akhirat. Keperluan hajiyat ialah yang bawah dari daruriyat, iaitu yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan hidup, tetapi membawa kepada kehidupan yang susah, sukar dan menderita. Contohnya; perabot-perabot rumah yang asas, peralatan dapur, pakaian yang lebih sedikit dari keperluan daruriyat tadi dan sebagainya. keperluan Tahsiniyat ialah yang jika tidak ada tidaklah membawa kerosakan dan tidak juga membawa kesusahan hidup, cuma kewujudannya boleh menambah keselesaan hidup. 

Balik kepada soalan yang ditanya, jika suami puan miskin, puan hendaklah berpada dengan apa yang diberinya untuk keperluan pertama (daruriyat) atau keperluan kedua (hajiyat). Jika suami puan berada (kaya), bolehlah puan meminta lebih dari itu. Suami pula hendaklah meraikan isteri jika ia mampu demi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda (bermaksud); "Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya)" (HR Imam al-Bukhari dari Jabir). Dalam riwayat lain; "...bertolak ansur ketika membayar hutang dan menuntut hutan" (HR Imam at-Thabrani dari Jabir). Walaupu hadis ini menyentuh jual-beli dan hutang-piutang, tetapi ruh tolak ansur yang disarankan Nabi tidak ada salahnya untuk kita amalkan di mana-mana sahaja dalam kehidupan terutamanya dalam perkongsian hidup suami isteri. Maksudnya, suami bertolak ansur dalam melayani permintaan isteri dan isteri pula bertolak ansur dalam menuntut haknya.  

Mengenai pemberian kepada mertua, tidaklah wajib suami memberi nafkah atau belanja untuk mertua sekalipun mertua miskin, kecualilah atas ihsan darinya sahaja. Jika ia mampu, eloklah ia memberinya kerana itu juga boleh mengukuhkan lagi kasih-sayang dengan isteri. Mertua yang miskin dan tidak mampu berkerja, ia wajib dinafkahi oleh keluarganya sendiri (iaitu bapa atau anak-anaknya), bukan menantunya. Jika mertua terpaksa bergantung hidup dengan anak perempuannya yang telah berkahwin, suami hendaklah memberi izin kepada isteri untuk menziarahi dan berkhidmat kepada ibu-bapanya (tanpa menjejaskan hak suami) dan begitu juga untuk menafkahi mereka. Jika ia tidak memberi izin tanpa sebab yang munasabah, ia berdosa dan jika isteri melanggarnya sebahagian ulamak berpandangan isteri tidak dikira nusyuz ketika itu. Adalah harus isteri memberi belanja dari duitnya sendiri kepada ibu-bapanya sekalipun tanpa izin suami, namun eloklah ia meminta izin sebagai tanda menghormati suami. Jika suami menghalang tanpa sebab, tidak dikira nusyuz jika isteri melanggarinya.

Mengenai suami mengungkit pemberiannya kepada isteri, jika dengan niat yang baik seperti untuk memperingatkan isteri supaya taat kepadanya kerana ia telah pun melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami (iaitu memberi nafkah mengikut yang termampu) supaya isteri membalasnya dengan melaksanakan tanggungjawabnya pula (iaitu taat dan melayani suami), ungkitan sebegitu tidaklah dilarang, malah ada ketikanya perlu dilakukan. Adapun jika ungkitan semata-mata untuk menyakiti hati isteri, tidaklah harus dilakukan kerana ia menyalahi pergaulan yang yang disuruh oleh Allah dalam ayat tadi.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Memberi nafkah bermaksud mencukupkan keperluan hidup merangkumi makanan, pakaian dan keperluan-keperluan lain (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[2] Lafaz bahasa Arabnya ialah "Bil-Ma'ruf", al-makruf bermaksud; mengikut kebiasaan masyarakat setempat iaitu berdasarkan pengamalan yang diterima oleh orang ramai di sesuatu tempat selama ia tidak bercanggah dengan ketetapan Syariat (at-Tahwir wa an-Tanwir).
[3] Sebenarnya terdapat tiga pandangan ulamak dalam menetapkan ukuran yang hendak dipakai bagi menentukan kadar nafkah yang sewajarnya bagi isteri;
A) Pandangan pertama; hendaklah dilihat kepada keadaan suami (kaya, miskin atau sederhana). Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafiie dengan berdalilkan ayat di atas.
B) Pandangan kedua; dengan melihat keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dengan berdalilkan hadis Hindun di atas.
C) Pandangan ketiga; dengan mengambil kira kedua-dua sekali iaitu keadaan suami dan juga keperluan isteri. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Ahmad berdalilkan ayat dan juga hadis di atas iaitu dengan memadankan kedua-duanya. Pandangan inilah yang kita pilih di atas kerana ia meraikan kedua-dua dalil di atas.
(al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat).        

Rujukan;

1. Tafsir al-Qurtubi, Surah at-Talaq, ayat 7.
2. At-Tahwir wa at-Tanwir, Syeikh Muhammad at-Tahir ibnu Asyur, Surah at-Talaq, ayat 7.
3. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 8, kitab an-Nafaqaat.
4. Nailul-Autar, Kitab an-Nafaqaat, bab al-Mar,ah Tunfiqu Min Mali az-Zauji min Ghair 'ilmihi..

Ambilan dari blog lama; ilmudanulamak.blogspot.com

NAFKAH ISTERI DAN IBU-BAPA; MANA DIDAHULUKAN?

Soalan; Akum. Saya ada beberapa soalan.
1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kampung? - Suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.
2. Bolehkah keluarga di kampung terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya juga perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa/ibu
e) Cucu
f) Datuk
g) Saudara
h) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis tersebut; di antara yang dapat disimpulkan dari hadis ini ialah, hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis) (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- dia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka (yakni ibu-bapa atau ahli keluarga) adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah dituntut ke atasnya untuk menyara mereka. Namun digalakkan dia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Dia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah dia dituntut menyarai ibu-bapa (atau ahli-ahli keluarga) yang miskin.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, dia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika dia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah dia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries