Laman Info Agama Anda

Soal Jawab

BOLEHKAH SOLAT 4 RAKAAT SEBELUM DAN SELEPAS ZOHOR DILAKUKAN DENGAN SATU SALAM?

Soalan; Assalamualaikum ustaz....Afwan nak bertanya..... Bolehkah kita buat solat sunat qabliyah dan ba'diyah yang 4 rakaat dengan 1 salam dan tahiyat awal??

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله:

Solat sunat qabliyah zohor dengan 4 rakaat dan begitu juga ba'diyahnya 4 rakaat telah sabit fadhilatnya dari hadis Nabi SAW;

مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

"Sesiapa memelihara (solat sunat) 4 rakaat sebelum zohor dan 4 rakaat sesudahnya, nescaya Allah mengharamkan jasadnya dari neraka" (HR al-Tirmizi; 428, hadis hasan soheh).

Solat tersebut menurut ulamak boleh dilakukan dua dua rakaat (yakni dengan dua salam) dan boleh juga dilakukan empat rakaat sekaligus (yakni dengan satu salam). Namun mereka berikhtilaf tentang kaifiyat yang mana paling baik (afdhal); dua dua rakaat atau 4 rakaat sekaligus? 

Menurut Imam Malik, Syafiie dan Ahmad; yang afdhal (terbaik) ialah melakukan dua dua rakaat. Bagi mereka, solat sunat sama ada siang atau malam, kaifiyat terbaik ialah dengan melakukan dua rakaat diikuti dua rakaat, berdalilkan sabda Nabi SAW;

صَلَاةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى

"Solat (sunat) ketika siang dan malam ialah dua-dua rakaat" (HR Imam Abu Daud).

Namun menurut mazhab Hanafi; solat sunat malam kaifiyat terbaik ialah sebagaimana pandangan pertama tadi. Adapun solat sunat siang, yang terbaik (afdhal) ialah melakukan empat rakaat sekaligus. Hukum ini turut merangkumi solat sunat empat rakaat sebelum zohor, empat rakaat selepas zohor dan empat rakaat sebelum asar. Antara dalil mereka ialah sabda Nabi SAW;

 أَرْبَعٌ قَبْلَ الظُّهْرِ لَيْسَ فِيهِنَّ تَسْلِيمٌ، تُفَتَّحُ لَهُنَّ أَبْوَابُ السَّمَاءِ

"Solat sunat 4 rakaat sebelum zohor yang tidak diselangi dengan salam, akan dibukakan untuknya pintu-pintu langit" (HR Abu Daud; 1270).

Maksud melakukan empat rakaat sekaligus itu ialah dengan dua tasyahhud (awal dan akhir) dan satu salam. Namun menurut Imam al-Nawawi, dibolehkan dengan satu tasyahhud sahaja. Beliau menegaskan dalam fatwanya; "(Seorang yang melakukan solat sunat sebelum zohor empat rakaat atau selepasnya empat rakaat atau sebelum asar empat rakaat) dibolehkan baginya untuk melakukan solat dengan satu salam sahaja sama ada dengan satu tasyahhud sahaja (iaitu di akhir) atau dua tasyahhud (yakni awal dan akhir), namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya dengan dua salam" (Fatawa al-Nawawi, m.s. 35).

Adapun bacaan ayat/surah (setelah al-fatihah) dalam solat, menurut Imam al-Syirbini; jika solat dilakukan dengan satu tasyahhud sahaja, ayat/surah boleh dibaca pada semua rakaat. Namun jika dilakukan lebih dari satu tasyahhud, ayat/surah dibaca pada rakaat-rakaat sebelum tasyahhud awal sahaja (Mughni al-Muhtaj, 1/312).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Syarh al-Sunnah, Imam al-Baghawi, 2/466.

2. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Wahbah al-Zuhaili, 2/50.

3. Fatawa al-Nawawi, Imam al-Nawawi, ms. 35.

4. Mirqaat al-Mafatih, 'Ali al-Qari, 3/893.

5. Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syirbini, 1/312.

 

 

SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA

Jika hari raya jatuh pada hari jumaat, orang yang hadir mengerjakan solat hari raya tidak lagi wajib hadir solat jumaat. Benarkah begitu?

 

Untuk ulasan lebih lanjut sila klik link dibawah:

https://www.facebook.com/ahmadadnan.fadzil/posts/3701024069925431

APA MAKSUD SUNAT RAWATIB?

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah,

Kalimah rawatib (رواتب) berasal dari kalimah ratib () yang bermaksud yang tetap. Dari segi Syarak, sunat-sunat rawatib ialah sunat-sunat yang disyariatkan untuk dilakukan secara tetap. Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafiie; sunat-sunat rawatib merangkumi sunat-sunat yang mengiringi ibadat fardhu atau yang terhenti pada ibadat lain dan sunat-sunat yang mempunyai waktu tertentu seperti solat hari raya, dhuha dan terawih.

Di sisi kebanyakan fuqahak, sunat-sunat rawatib dimaksudkan kepada solat-solat sunat yang mengiringi solat-solat fardhu sama ada qabliyahnya atau ba'diyahnya, yakni ia tidak dilakukan bersendirian tanpa kehadiran solat fardhu. Namun dalam mazhab Syafiie, sunat-sunat rawatib tidak hanya ada dalam solat, akan tetapi dalam puasa juga ada sunat-sunat rawatib antaranya puasa 6 hari dalam bulan Syawal.

Antara hukum berkaitan sunat-sunat rawatib ini ialah;

1. Digalakkan menjaganya, yakni melakukannya secara tetap dan berterusan.

2. Sebahagian ulamak berkata; makruh meninggalkannya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Malah ada yang berkata; orang yang mengabaikan rawatib yang muakkad tidak diterima syahadah (kesaksiannya).

3. Menurut Imam al-Nawawi; di sisi mazhab kami (mazhab Syafiie); sunat menggantikan (mengqadha) sunat-sunat rawatib yang terluput. Namun menurut Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; tidak sunat menggantikannya.

4. Mengenai puasa 6, Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata; mam Ibnu Hajar al-Haithami menyebutkan; jika seorang itu luput/tertinggal (keseluruhan) puasa Ramadhannya, lalu dia mengqadhanya sepanjang Syawal, disunatkan dia berpuasa 6 dalam bulan Zul Qaedah kerana puasa ratib apabila luput (tertinggal), sunat diqadha (diganti) (Tuhfah al-Muhtaj).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fihqiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/275-284

2. Hasyiyah Qalyubi 'ala Syarh al-Mahalli; 1/210.

3. al-Majmuk; 4/43

4. Syarah al-Yaqut al-Nafis, m.s. 194.

5. Tuhfah al-Muhtaj, 3/457

HUKUM BACAAN TAHIYYAT YANG TERPUTUS-PUTUS

Soalan; Salam ustaz..sy ada soalan brkenaan tahiyyat akhir,skiranya sy bca doa tahiyyat dgn suara yg tputus tanpa sgaja..adkh batal dan harus diulangi smula solat?contoh sy baca Dari awal kmudian smasa mgucap syahadah tu suara sy serak2 sket sbb dihujung nafas/nak habis nafas..mmg sy xsgaja..adkh sy kena solat smula..

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Bacaan tasyahhud/tahiyyat ketika duduk tahiyyat akhir adalah rukun solat. Sebagaimana fatihah, ia mesti dibaca dengan muwalat (yakni bersambungan) antara kalimah-kalimahnya, iaitu tidak diselangi dengan perkataan asing atau diam yang lama. Adapun diam yang singkat -iaitu sekadar mengambil nafas- atau diam tanpa disengajakan, menurut ulamak; dimaafkan, yakni tidak dianggap melanggar syarat muwalat tersebut. Begitu juga, dimaafkan diam kerana terlupa. Jika seorang terlupa satu ayat, lalu dia terdiam untuk mengingati ayat tersebut, dimaafkan sekalipun agak lama (Mughni al-Muhtaj, 1/219-221 dan 1/242).

Kesimpulannya, sekalipun terputus-putus, bacaan tahiyyat tersebut masih sah kerana berlakunya terputus-putus itu tanpa disengajakan dan kerana keperluan bernafas, maka dimaafkan. Wallahu a'lam.

 

KADAR SELAWAT KETIKA DUDUK TAHIYYAT AWAL

Soalan; Assalam ustaz..selamat mymbut syawal-Maaf ustaz..sy ada kemusykilan..Brkenaan solat..semasa raka'at kedua dlm asar,tahhiyat awal..sy terlebih baca selawat.."Allahumma soli'ala Muhammad-Wa'ala sayyidina Muhammad" Takpa ke ustaz?sah ke solat kerana sy terlebih tambah,sy xbenti solat..sy truskan jua,adkah sah atau sy kena ulang smula solat sy..mohon ustaz bantu sy..Jazakallah.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Duduk ketika tahiyyat awal disyariatkan duduk yang ringkas sahaja ketika itu (yakni tidak berlama-lama), berdalilkan hadis dari Ibnu Mas'ud SAW yang menceritakan; Nabi SAW ketika duduk di hujung rakaat kedua (yakni duduk tahiyyat awal), baginda seperti duduk di atas batu panas (yakni kiasan bagi maksud duduk yang ringkas, ingin segera bangun)" (HR Imam Ahmad dan Ashab al-Sunan). 

Kerana itu menurut sebahagian ulamak; memadai ketika duduk tahiyyat awal itu dengan hanya membaca tasyahhud sahaja, tidak perlu membaca selawat (Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, 1/120).

Namun menurut mazhab Syafiie; di samping membaca tasyahhud disunatkan juga membaca selawat, akan tetapi selawat yang ringkas iaitu memadai sekadar "اللهم صل على محمد" sahaja. Menurut Imam Ibnu Hajar Rhm; memanjangkan tahiyyat awal (melebihi kadar tadi) hukumnya adalah makruh sekalipun dengan menyambung selawat ke atas ahli keluarga baginda (iaitu dengan lafaz "وآل محمد") atau dengan berdoa, kerana duduk ketika itu disyariatkan duduk yang ringan sahaja (al-Minhaj al-Qawim, m.s. 125).

Kesimpulannya, menambah bacaan melebihi dari selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada ketika duduk tahiyyat awal hukumnya adalah makruh dan tidaklah sampai membatalkan solat.

Wallahu a'lam bis-shawab.

Solat hari raya di rumah, perlukah berkhutbah?

Jawapan; ya, disunatkan seseorang (lelaki) menyampaikan khutbah setelah solat hari raya jika solat dilakukan berjamaah termasuk yang dilakukan di rumah, rombongan musafir atau sebagainya. Dalam kitab Mughni al-Muhtaj dinyatakan; 


"Disunatkan menyampaikan 2 khutbah setelah solat hari raya bagi yang melakukannya berjamaah sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW dan Khulafak Rasyidin, tanpa dibezakan bagi maksud berjamaah itu antara orang-orang musafir dan selain mereka. Malah (disunatkan khutbah tersebut) sekalipun jika solat ditunaikan diluar waktunya (qadha)" (Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syirbini, 1/423).
.
Dalam mazhab Syafiie, khutbah solat hari raya mesti dengan dua khutbah, tidak cukup satu khutbah. Dijelaskan dalam kitab yang sama; "Jika hanya satu khutbah sahaja, tidak cukup (untuk mendapat pahala sunat berkhutbah tadi)" (1/423).
.
Oleh kerana hukum khutbah sunat sahaja, maka tidaklah menjejaskan solat hari raya jika dilakukan tanpa khutbah. Maka bagi suami atau ketua keluarga yang tidak mampu berkhutbah, memadai dengan mengerjakan solat sahaja bersama keluarga.
.
Wallahu a'lam.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries