Laman Info Agama Anda

munakahat

MENGAHWINI WANITA HAMIL KERANA BERZINA

Soalan: Apa hukum mengahwini wanita yang hamil kerana terlanjur berzina? Apakah harus disetubuhi setelah perkahwinan itu?

Jawapan; 

 بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله

Syeikh 'Atiyah Saqar menjelaskan dalam fatwanya; 

Tidak harus dan tidak sah mengahwini wanita yang sedang hamil dari perkahwinan hinggalah wanita itu melahiirkan anak dan tamat eddah dengan suami sebelumnya. Adapun mengahwini wanita yang hamil kerana berzina, para fuqahak berbeza pandangan tentang masalah tersebut;

(Pandangan pertama); menurut mazhab Malik, Ahmad dan jumhur ulamak; tidak sah mengahwini wanita yang sedang hamil kerana berzina hinggalah dia melahirkan anak.  

(Pandangan kedua); harus/sah mengahwininya, namun tidak boleh mensetubuhinya hingga setelah dia melahirkan anak, kerana terdapat hadis Nabi SAW;

لَا يَحِلُّ لِامْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَسْقِيَ مَاءَهُ زَرْعَ غَيْرِهِ

"Tidak halal bagi seorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk dia menyiram airnya (yakni maninya) ke atas tanaman orang lain (yakni atas anak dari benih orang lain sebagaimana riwayat Imam al-Tirmizi)" (HR Abu Daud; 2158 dan al-Tirmizi; 1131, hadis hasan). Maksud hadis ialah, jangan dia mendatangi/mensetubuhi wanita yang sedang hamil (tuhfah al-Ahwazi, 4/236).

Itu jika yang mengahwininya bukan lelaki yang menzinainya. Adapun jika dia dikahwini oleh lelaki yang menzinainya dan hamil dari benih lelaki tersebut, tidak haram lelaki itu mensetubuhinya, kerana kehamilan wanita itu darinya, maka tidak masuk dalam pengertian menyiram air ke atas tanaman orang lain, kerana tanaman itu darinya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/156.

SUAMI MENGANCAM ISTERI DENGAN TALAK JIKA MENGAMBIL VAKSIN, ADAKAH JATUH TALAK?

Soalan; suami berkata kepada saya; 'jangan ambil vaksin. Jika ambil, jatuh talak atas kamu'. Adakah saya wajib mentaati suami dalam hal ini? Jika saya ambil vaksih, adakah talak terjatuh atas saya?

Jawapan;

بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله:

Secara umum isteri wajib mentaati suami, namun Nabi SAW sendiri menegaskan;

 لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

"Tidak ada ketaatan dalam maksiat, ketaatan hanya dalam perkara makruf (HR al-Bukhari; 7257).

Hadis ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada suami tidak mutlak, ada batasnya kerana suami bukan Tuhan, tetapi makhluk Tuhan. Maka tidak harus suami memaksa isteri dalam perkara yang menyalahi Syariat. Di antara hukum Syariat ialah kewajipan menjaga diri, keluarga dan masyarakat dari mudarat, sebagaimana firman Allah;

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

"Janganlah kamu semua menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan" (surah al-Baqarah, ayat 195).

Nabi SAW juga bersabda;

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

"Jangan memudaratkan (orang lain) dan jangan saling membalas kemudaratan dengan kemudaratan" (HR Ahmad. al-Jami' al-Saghier; 9899, hadis hasan).

Majlis-fatwa seluruh dunia sepakat memfatwakan bahawa umat Islam perlu mengambil vaksin dan divaksinkan untuk mengawal diri dan masyarakat dari Covid-19. Maka arahan suami ke atas isteri sebegitu adalah menyalahi Syariat dan tidak wajib isteri mentaatinya dalam masalah tersebut. Isteri tidak berdosa jika melanggarinya, sebaliknya suami yang berdosa kerana menyalahi Syariat.

Adapun dari segi hukum talak, maka ia termasuk dalam masalah hukum "talak secara taklik", iaitu talak yang diikat dengan sesuatu. Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; talak secara taklik adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak
2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)
3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah.
(Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

Namun ada juga di kalangan ulamak yang berbeza pandangan dengan jumhur ulamak di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membezakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.

Jawapan berkaiatan; (ADAKAH TAKLIK BOLEH DIBATALKAN).


Wallahu a’lam.

 
Rujukan;
 
1. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 7/447.
2. Yasalunaka Fid-Din Wal-Hayah, Dr. Syirbasi, 1/271.
3. Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, at-Tuwaijiri, hlm. 185.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries