Laman Info Agama Anda

munakahat

JANGAN ABAIKAN HAK ISTERI UNTUK TAAT KEPADA IBU

Fatwa; IMAM IZZUDDIN IBNU ABDISSALAM (الإمام عز الدين بن عبد السلام) (lahir 577 hjrah, wafat 660 hijrah)

Soalan; seorang suami berhasrat keluar bersiar-siar bersama isterinya. Ibunya ingin turut serta bersama, namun mereka keberatan membawanya bersama. Apakah harus suami meninggalkan ibunya dan keluar bersama isterinya?

Jawapan;

Tidak mengapa seorang suami keluar bersiar bersama isteri tanpa membawa ibu bersama (sekalipun diminta ibu), kerana haknya untuk beristimta' (bergembira) disertakan dengan hak isteri (untuk bersendirian dengan suami) -bagi kes tersebut- didahulukan dari birra al-umm (memenuhi hasrat ibu).

Rujukan; Fatawa Sulton al-'Ulama' al-'Izz Ibn Abdissalam, tahqiq; Mustafa 'Asyur, m.s. 47 (Maktabah al-Sa'ie, Riyadh, tanpa tahun).

* Ulasan saya; kita mempelajari dari fatwa ini bahawa seorang suami tidak boleh mengabaikan hak isteri dengan alasan memenuhi hak ibu, begitu juga sebaliknya; jangan abaikan hak ibu kerana sayangkan isteri. Masing-masing isteri dan ibu ada hak yang mesti ditunaikan suami dengan adil dan saksama. Kita perlu keluar dari igauan drama Melayu yang sentiasa menggambarkan suami wajib taat kepada ibu sekalipun dengan menzalimi isteri. Agama tidak menyuruh begitu. Malah Allah sendiri mengisytiharkan;"Wahai hamba-hambaKu, Aku telah mengharamkan ke atas diriku (untuk berbuat) zalim (kepada hamba-hambaKu) dan Aku turut mengharamkannya sesama kamu, maka janganlan kamu saling menzalimi sesama kamu" (Soheh Muslim; 2577/55). Ibu atau isteri mesti membantu anak/suami untuk menjadi seorang yang adil, jangan mempengaruhinya untuk menzalimi mana-mana pihak.

NAFKAH ISTERI DAN IBU-BAPA; MANA DIDAHULUKAN?

Soalan; Akum. Saya ada beberapa soalan.
1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kampung? - Suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.
2. Bolehkah keluarga di kampung terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya juga perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa/ibu
e) Cucu
f) Datuk
g) Saudara
h) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis tersebut; di antara yang dapat disimpulkan dari hadis ini ialah, hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis) (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- dia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka (yakni ibu-bapa atau ahli keluarga) adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah dituntut ke atasnya untuk menyara mereka. Namun digalakkan dia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Dia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah dia dituntut menyarai ibu-bapa (atau ahli-ahli keluarga) yang miskin.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, dia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika dia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah dia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries