Laman Info Agama Anda

ibadah

HUKUM AIR PERCIKAN DARI BASUHAN NAJIS

Soalan; Assalamu alaikum ustaz, apa hukum air yang digunakan untuk membasuh najis? Adakah dikira najis? kalau terpercik air tersebut semasa membasuh najis adakah perlu dibasuh?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Jika sekiranya air percikan dari basuhan najis itu ada tanda-tanda bercampur najis (seperti terdapat bau najis darinya), ia dihukumkan sebagai najis dan pakaian atau anggota tubuh yang terkena percikan itu perlulah dibasuh.

Namun jika air percikan itu tidak ada tanda-tanda bercampur najis (tiada sebarang bau atau perubahan warna padanya), menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafiie; hendaklah dilihat tempat basuhan najis itu. Jika ia kelihatan telah bersih dari najis, maka air yang terpisah darinya (yakni dari tempat basuhan itu termasuk yang terpercik darinya) turut dihukumkan sebagai bebas dari nanis (yakni suci). Namun jika kelihatan tempat basuhan itu masih bernajis, maka air yang terpisah (terpercik) darinya juga dihukumkan sebagai bernajis dan perlu dibasuh anggota/pakaian yang terkena percikan air tersebut (Mughni al-Muhtaj, 1/121).

Namun perlu difahami bahawa hukum fiqh terbina di atas keyakinan atau sangkaan yang kuat (dzan ghalib), bukan di atas waham atau waswas (yakni agakan-agakan tanpa asas). Oleh demikian, hukum perlu dibasuh anggota/pakaian yang terkena percikan itu jika percikan itu benar-benar dilihat oleh mata bahawa ia telah mengenai pakaian/anggota atau terdapat bau najis dan sebagainya. Adapun jika hanya agakan sahaja, tidaklah dituntut membasuhnya, kerana ia adalah waswas.

Wallahu a'lam.

Rujukan tambahan;

Fatwa Islamweb; https://www.islamweb.net/ar/fatwa/184163/

HUKUM ISTIHADHAH

Soalan; Salam, Saya ada kemusykilan tentang tempoh haid yang berlarutan. Untuk makluman ustaz, saya menghadapi masalah haid yang panjang tempohnya sehingga lebih dari 15 hari (tetapi dalam kadar yang sedikit). Minta pandangan Ustaz tentang solat yang wajib saya jalankan, apakah sah solat walaupun pendarahan masih berlaku? Bagaimana pula tentang kebersihan, adakah sah sekiranya solat dengan memakai tuala wanita? Sekiranya tanpa memakai tuala wanita, dikhuatiri akan meleleh dan terkena kain solat. Harap bantuan Ustaz, 

Jawapan; 

Tempoh paling lama haid ialah 15 hari. Oleh itu, jika seorang wanita darah haidnya datang hingga melepasi 15 hari, maka yang datang selepas hari ke 15 itu bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah. Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita, adapun darah istihadhah adalah darah penyakit. Apabila puan menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah, hendaklah puan mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Namun, oleh kerana darah masih keluar, hendaklah puan mematuhi peraturan berikut setiap kali hendak mengerjakan solat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wudhuk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;

a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. Wanita istihadhah (dan begitu juga orang yang mengidap kencing tak tos atau masalah seumpamanya) tidak harus ia mengambil wudhuk kecuali apabila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat.

b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna

c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).

d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wudhuk

e) Ketika mengambil wudhuk hendaklah puan berniat untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wudhuk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

f) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.

g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam. 

Rujukan; 

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail (1/66).

2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili (1/43)

3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303, Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 64.

4. Fatawa Syeikh Abu Zahrah.

5. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi.

 

 INGIN MEMBELI BUKU ATAU EBOOK KARYA PENULIS, sila layari;

1. Shopee (https://shopee.com.my/adnanbookstore) untuk pembelian buku

2. Labeyla Shop (https://labeyla.com/books); untuk pembelian buku dan Ebook

Belian anda adalah sumbangan kepada penulis untuk terus berkarya. Terima kasih.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries