Laman Info Agama Anda

ibadah

HUKUM BACAAN TAHIYYAT YANG TERPUTUS-PUTUS

Soalan; Salam ustaz..sy ada soalan brkenaan tahiyyat akhir,skiranya sy bca doa tahiyyat dgn suara yg tputus tanpa sgaja..adkh batal dan harus diulangi smula solat?contoh sy baca Dari awal kmudian smasa mgucap syahadah tu suara sy serak2 sket sbb dihujung nafas/nak habis nafas..mmg sy xsgaja..adkh sy kena solat smula..

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Bacaan tasyahhud/tahiyyat ketika duduk tahiyyat akhir adalah rukun solat. Sebagaimana fatihah, ia mesti dibaca dengan muwalat (yakni bersambungan) antara kalimah-kalimahnya, iaitu tidak diselangi dengan perkataan asing atau diam yang lama. Adapun diam yang singkat -iaitu sekadar mengambil nafas- atau diam tanpa disengajakan, menurut ulamak; dimaafkan, yakni tidak dianggap melanggar syarat muwalat tersebut. Begitu juga, dimaafkan diam kerana terlupa. Jika seorang terlupa satu ayat, lalu dia terdiam untuk mengingati ayat tersebut, dimaafkan sekalipun agak lama (Mughni al-Muhtaj, 1/219-221 dan 1/242).

Kesimpulannya, sekalipun terputus-putus, bacaan tahiyyat tersebut masih sah kerana berlakunya terputus-putus itu tanpa disengajakan dan kerana keperluan bernafas, maka dimaafkan. Wallahu a'lam.

 

KADAR SELAWAT KETIKA DUDUK TAHIYYAT AWAL

Soalan; Assalam ustaz..selamat mymbut syawal-Maaf ustaz..sy ada kemusykilan..Brkenaan solat..semasa raka'at kedua dlm asar,tahhiyat awal..sy terlebih baca selawat.."Allahumma soli'ala Muhammad-Wa'ala sayyidina Muhammad" Takpa ke ustaz?sah ke solat kerana sy terlebih tambah,sy xbenti solat..sy truskan jua,adkah sah atau sy kena ulang smula solat sy..mohon ustaz bantu sy..Jazakallah.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Duduk ketika tahiyyat awal disyariatkan duduk yang ringkas sahaja ketika itu (yakni tidak berlama-lama), berdalilkan hadis dari Ibnu Mas'ud SAW yang menceritakan; Nabi SAW ketika duduk di hujung rakaat kedua (yakni duduk tahiyyat awal), baginda seperti duduk di atas batu panas (yakni kiasan bagi maksud duduk yang ringkas, ingin segera bangun)" (HR Imam Ahmad dan Ashab al-Sunan). 

Kerana itu menurut sebahagian ulamak; memadai ketika duduk tahiyyat awal itu dengan hanya membaca tasyahhud sahaja, tidak perlu membaca selawat (Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, 1/120).

Namun menurut mazhab Syafiie; di samping membaca tasyahhud disunatkan juga membaca selawat, akan tetapi selawat yang ringkas iaitu memadai sekadar "اللهم صل على محمد" sahaja. Menurut Imam Ibnu Hajar Rhm; memanjangkan tahiyyat awal (melebihi kadar tadi) hukumnya adalah makruh sekalipun dengan menyambung selawat ke atas ahli keluarga baginda (iaitu dengan lafaz "وآل محمد") atau dengan berdoa, kerana duduk ketika itu disyariatkan duduk yang ringan sahaja (al-Minhaj al-Qawim, m.s. 125).

Kesimpulannya, menambah bacaan melebihi dari selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada ketika duduk tahiyyat awal hukumnya adalah makruh dan tidaklah sampai membatalkan solat.

Wallahu a'lam bis-shawab.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries