Laman Info Agama Anda

toharah

HUKUM AIR PERCIKAN DARI BASUHAN NAJIS

Soalan; Assalamu alaikum ustaz, apa hukum air yang digunakan untuk membasuh najis? Adakah dikira najis? kalau terpercik air tersebut semasa membasuh najis adakah perlu dibasuh?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Jika sekiranya air percikan dari basuhan najis itu ada tanda-tanda bercampur najis (seperti terdapat bau najis darinya), ia dihukumkan sebagai najis dan pakaian atau anggota tubuh yang terkena percikan itu perlulah dibasuh.

Namun jika air percikan itu tidak ada tanda-tanda bercampur najis (tiada sebarang bau atau perubahan warna padanya), menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafiie; hendaklah dilihat tempat basuhan najis itu. Jika ia kelihatan telah bersih dari najis, maka air yang terpisah darinya (yakni dari tempat basuhan itu termasuk yang terpercik darinya) turut dihukumkan sebagai bebas dari nanis (yakni suci). Namun jika kelihatan tempat basuhan itu masih bernajis, maka air yang terpisah (terpercik) darinya juga dihukumkan sebagai bernajis dan perlu dibasuh anggota/pakaian yang terkena percikan air tersebut (Mughni al-Muhtaj, 1/121).

Namun perlu difahami bahawa hukum fiqh terbina di atas keyakinan atau sangkaan yang kuat (dzan ghalib), bukan di atas waham atau waswas (yakni agakan-agakan tanpa asas). Oleh demikian, hukum perlu dibasuh anggota/pakaian yang terkena percikan itu jika percikan itu benar-benar dilihat oleh mata bahawa ia telah mengenai pakaian/anggota atau terdapat bau najis dan sebagainya. Adapun jika hanya agakan sahaja, tidaklah dituntut membasuhnya, kerana ia adalah waswas.

Wallahu a'lam.

Rujukan tambahan;

Fatwa Islamweb; https://www.islamweb.net/ar/fatwa/184163/

HUKUM MANDI WILADAH

Soalan; Salam Ustaz. Saya ingin meminta penjelasan tentang mandi Wiladah. Apakah dalil yang disandarkan bagi kewajipan mandi wiladah ini? Adakah ia bermakna seorang wanita yang melahirkan anak perlu mandi dua kali; mandi wiladah dan mandi nifas?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah SAW,

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya berupa segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi.

Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan Dia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (kitab Fiqh mengikut mazhab Syafi’ie), pengarangnya menjelaskan; “Ada kemungkinan berlaku kelahiran tanpa diikuti dengan keluarnya darah. Maka hukumnya ketika itu sama seperti hukum janabah (yakni hukum keluarnya mani), iaitu wajib mandi, kerana bayi adalah hasil percampuran dari air mani lelaki dan air mani wanita. Tidak ada beza pada hukum tersebut sekalipun berbeza rupa kandungan yang dilahirkan atau cara kelahirannya. Namun jika kelahiran diikuti dengan keluarnya darah –sebagaimana yang biasa berlaku-, maka darah itu dinamakan nifas dan ia tertakluk dengan hukum-hakam nifas” (Jil. 1, hlm. 82).

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya (Lihat; al-Majmu’, 2/168). Berkata Imam Ibnu Qudamah (salah seorang ulamak mazhab Hanbali) dalam kitabnya al-Mughni; “Yang soheh ialah tidak wajib mandi ke atas wanita dengan sebab wiladah kerana suatu kewajipan hanya sabit dengan nas (dalil) Syarak. Dalam masalah wiladah ini tidak ada nas Syarak yang mewajibkan mandi dan juga tidak ada pengertiannya dalam nas. Ini kerana bayi yang dilahirkan bukanlah darah dan bukan juga mani, sedangkan yang terdapat di dalam nas (dalil) Syarak; perkara yang mewajibkan mandi ialah dua sebab tersebut (yakni keluar darah dan keluar mani)” (al-Mughni, 1/165).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawai, jil. 2.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 1.
3. Al-Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mudtafa al-Bugha, jil. 1.
4. Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul-Karim Zaidan.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries