Laman Info Agama Anda

toharah

WANITA SEDANG HAID MEMBACA AL-QURAN DI HANDPHONE

Soalan; ketika haid, bolehkah saya membaca al-Quran dengan melihat di HP, bukan memegang mushaf?

Jawapan;
بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله
 
Terdapat dua persoalan berkaitan soalan yang ditanya di atas;
1. Hukum wanita sedang haid membaca al-Quran.
2. Adakah al-Quran yang terpampang di skrin HandPhone sama seperti yang tercetak di lembaran mushaf?
 
Hukum wanita sedang haid membaca al-Quran
 
Terdapat khilaf di kalangan fuqahak;
 
(Pandangan pertama) iaitu jumhur Fuqahak (termasuk majoriti ulamak dalam empat mazhab) berpendapat; wanita yang sedang haid sama hukumnya dengan orang yang sedang berjunub iaitu tidak harus membaca al-Quran, sekalipun tanpa memegang mushaf, apatahlagi jika memegang mushaf, maka lebih-lebih dilarang. Dalil larangan tersebut ialah hadis dari Saidina 'Ali RA yang menceritakan;
 
 كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقْرِئُنَا القُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا
"Rasulullah SAW membacakan kepada kami al-Quran dalam semua situasi selama baginda tidak berjunub" (HR al-Tirmizi; 146, hadis hasan soheh).
 
Begitu juga, hadis dari Ibnu 'Umar RA yang menceritakan; Nabi SAW bersabda;
 
لاَ تَقْرَأِ الحَائِضُ، وَلاَ الجُنُبُ شَيْئًا مِنَ القُرْآنِ
"Jangalah wanita yang sedang haid dan begitu juga seorang yang berjunub membaca sesuatu dar al-Quran" (HR al-Tirmizi; 131). 
 
Sekalipun tidak harus membaca al-Quran, wanita sedang haid boleh berzikir seperti biasa; berselawat, beristighfar, bertahmid, tasbih, berdoa dan sebagainya. Begitu juga, diharuskan membaca bismillah, ayat-ayat doa atau perlindung dari al-Quran (seperti membaca ayat Kursi, 3 Qul dan sebagainya sebelum tidur, ketika pagi dan petang), tetapi hendaklah dengan niat membaca doa atau zikir, bukan niat membaca al-Quran. Tidak dilarang juga ialah mendengar bacaan al-Quran.
 
(Pandangan kedua) sebilangan Fuqahak (antaranya Imam Malik, satu riwayat dari Imam Syafiie dan Ahmad serta pandangan Imam Ibnu Taimiyah) membezakan larangan membaca al-Quran itu antara wanita sedang haid dan orang yang sedang berjunub. Menurut mereka, hanya orang yang sedang berjunub sahaja yang dilarang membaca al-Quran, adapun wanita yang sedang haid tidak dilarang membaca al-Quran asalkan tidak menyentuh al-Quran. Mereka berdalilkan berdasarkan istihsan, iaitu wanita yang sedang haid jika dilarang membaca al-Quran menyebabkan mereka akan meninggalkan al-Quran dalam tempoh yang lama, kerana mereka tidak boleh mandi (untuk menghilangkan hadas/junub dari tubuh mereka) selagi darah belum kering/tamat, sedangkan orang berjunub boleh mandi bila-bila masa sahaja yang mereka kehendaki. Imam al-Khattabi menaqalkan pandangan dari Imam Malik bahawa beliau mengecualikan larangan tersebut dari wanita yang menghafal al-Quran, iaitu Jika dia bimbang akan hilang hafazannya dalam tempoh haid yang mungkin panjang, dibolehkan dia mengulang hafazan al-Quran. Adapun orang berjunub, tidak ada pengecualian tersebut.
 
Maka menurut pandangan ini, hadis pertama tadi hanya berkait dengan orang yang berjunub. Adapun hadis yang kedua pula, menurut mereka hadis tersebut adalah dhaif, tidak kuat untuk dijadikan hujjah. Maka hukum membaca al-Quran bagi wanita yang sedang haid adalah kekal sebagai harus kerana tidak ada dalil yang benar-benar jelas yang melarangnya.
 
Hukum al-Quran yang terpampang di skrin HandPhone
 
Persoalan ini tidak timbul bagi pandangan pertama, kerana mereka berpandangan wanita haid dilarang membaca al-Quran secara keseluruhannya (sama ada melihat mushaf atau membaca dari hafazannya). Persoalan ini timbul jika kita memakai pandangan kedua yang membolehkan wanita haid membaca al-Quran (tanpa menyentuh mushaf), bolehkah dia membaca al-Quran dari HandPhonenya sambil memegangnya? Apakah ayat-ayat al-Quran yang terpampang di skrin HandPhone itu sama seperti ayat-ayat al-Quran yang tercetak di Mushaf?
 
Menurut Syeikh Dr Nuh Ali Salman dalam fatwanya; HandPhone yang terpampang diskrinnya ayat-ayat al-Quran, maka ia menjadi seperti mushaf (Laman fatwa Dar Iftak Jordan, no. fatwa; 1341).
 
Namun menurut Syeikh Abdurrahman Nasir al-Barak (sebagaimana dinaqalkan oleh laman fatwa Islamweb.net); ayat-ayat al-Quran yang terpampang di HandPhone atau telefon mudah alih tidaklah sama seperti yang tercetak dalam mushaf, kerana yang terpampang di skrin HP itu bukanlah huruf-huruf yang kekal, akan tetapi berubah-rubah, hanya terpampang sebagai huruf bila dimunculkan di skrin, kemudian tidak lagi berupa huruf bila dihilangkan dari skrin. Maka diharuskan memegang HP yang terpampang ayat-ayat al-Quran di skrinnya sekalipun tanpa toharah (bersuci) (fatwa no. 127203). Berdasarkan pandangan ini, tidak menjadi kesalahan bagi wanita yang sedang haid untuk membaca al-Quran sambil memegang HP kerana dia tidaklah dianggap memegang mushaf.
 
Wallahu a'lam.
 
Rujukan;
 
(1) Dalail al-Ahkam, Imam Ibnu Syaddad, 1/104.
(2) Fatwa Dar Iftak Jordan. No. Fatwa; 1341, 2116.
(3) Fatwa Islamweb.net, no. fatwa; 12845,  4687, 122876, 127203.
 

 INGIN MEMBELI BUKU ATAU EBOOK KARYA PENULIS, sila layari;

1. Shopee (https://shopee.com.my/adnanbookstore) untuk pembelian buku

2. Labeyla Shop (https://labeyla.com/books); untuk pembelian buku dan Ebook

Belian anda adalah sumbangan kepada penulis untuk terus berkarya. Terima kasih.

HUKUM ISTIHADHAH

Soalan; Salam, Saya ada kemusykilan tentang tempoh haid yang berlarutan. Untuk makluman ustaz, saya menghadapi masalah haid yang panjang tempohnya sehingga lebih dari 15 hari (tetapi dalam kadar yang sedikit). Minta pandangan Ustaz tentang solat yang wajib saya jalankan, apakah sah solat walaupun pendarahan masih berlaku? Bagaimana pula tentang kebersihan, adakah sah sekiranya solat dengan memakai tuala wanita? Sekiranya tanpa memakai tuala wanita, dikhuatiri akan meleleh dan terkena kain solat. Harap bantuan Ustaz, 

Jawapan; 

Tempoh paling lama haid ialah 15 hari. Oleh itu, jika seorang wanita darah haidnya datang hingga melepasi 15 hari, maka yang datang selepas hari ke 15 itu bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah. Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita, adapun darah istihadhah adalah darah penyakit. Apabila puan menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah, hendaklah puan mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Namun, oleh kerana darah masih keluar, hendaklah puan mematuhi peraturan berikut setiap kali hendak mengerjakan solat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wudhuk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;

a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. Wanita istihadhah (dan begitu juga orang yang mengidap kencing tak tos atau masalah seumpamanya) tidak harus ia mengambil wudhuk kecuali apabila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat.

b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna

c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).

d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wudhuk

e) Ketika mengambil wudhuk hendaklah puan berniat untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wudhuk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

f) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.

g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam. 

Rujukan; 

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail (1/66).

2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili (1/43)

3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303, Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 64.

4. Fatawa Syeikh Abu Zahrah.

5. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi.

 

 INGIN MEMBELI BUKU ATAU EBOOK KARYA PENULIS, sila layari;

1. Shopee (https://shopee.com.my/adnanbookstore) untuk pembelian buku

2. Labeyla Shop (https://labeyla.com/books); untuk pembelian buku dan Ebook

Belian anda adalah sumbangan kepada penulis untuk terus berkarya. Terima kasih.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries