Laman Info Agama Anda

ibadah

CARA BERNIAT

Soalan; bagaimana cara berniat ketika melakukan suatu ibadat?

Jawapan; 

باسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله، اما بعد:

Niat merupakan salah satu rukun dalam mana-mana ibadah dalam Islam,  berdalilkan hadis Nabi SAW; 

"Segala amalan bergantung niat. Untuk setiap orang (pahalanya) mengikut apa niatnya" (HR Imam al-Bukhari & Muslim).

Menurut ulamak, maksud niat ialah qasad (tujuan hati) ketika melakukan amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tempat niat ialah dalam hati. Adapun melafazkan niat dengan lidah tidaklah menjadi syarat sahnya niat, hanya digalakkan menurut mazhab Syafie untuk membantu hati berniat. 

Waktu berniat ialah di permulaan amalan. Niat solat (sebagai contohnya) dilakukan ketika takbiratul ihram, niat zakat ketika menghulurkan wang zakat dan niat haji ketika berihram haji. Dikecualikan puasa, diharuskan berniat pada malamnya kerana sukar menentukan secara tepat permulaannya.

Ketika berniat hadirkan dalam hati dua perkara;

1. Niat amalan, yakni amalan apa yang hendak dilakukan? Contohnya, niat solat. Hadirkan dalam hati status solat yang hendak dilakukan; fardhu atau sunat, jenis solat; subuh atau zohor atau asar atau dhuha atau hari raya atau sebagainya dan jika bersolat berjamaah; perlu hadirkan niat mengikut imam.

2. Niat untuk siapa amalan itu dilakukan? iaitu untuk ALLAH. Niat ini ialah hntuk mengikhlaskan amalan kerana Allah.

Niat yang kedua yang perlu lebih dititik-beratkan dalam amalan, agar amalan kita tidak diserapi dengan perasaan riyak (menunjuk-nunjuk) yang akan membinasakan pahala amalan kita. Adapun niat yang pertama ia biasanya datang secara lumrah (kerana jarang muncul amalan tanpa bersama niat), cuma perlu dijaga jangan tersalah niat.

Wallahu a'lam bissowab.

AIR MUSTA'MAL

1. Air musta’mal; iaitu air yang sedikit (kurang dari dua kolah) yang telah digunakan untuk toharah yang fardhu (iaitu mengangkat hadas atau menghilangkan najis) selama ia tidak dinajisi.

 

2. Lebih terperinci, suatu air itu hanya akan menjadi musta’mal apabila memenuhi syarat-syarat berikut;

 

 a) Air tersebut sedikit, iaitu kadarnya kurang dari dua kolah.

 

 b) Air digunakan untuk toharah yang mesti, iaitu yang fardhu sama ada mengangkat hadas atau menghilangkan najis, termasuklah;

    i) Air yang digunakan untuk berwudhuk oleh kanak-kanak yang belum baligh. Sekalipun wudhuk belum wajib atasnya kerana belum diperintahkan solat (yakni tidak berdosa ia meninggalkan wudhuk tersebut), namun jika dia ingin mengerjakan solat, dia mesti mengambil wudhuk (barulah hadasnya terangkat dan dibolehkan mengerjakan solat), maka air yang digunakan untuk wudhuknya yang mesti itu akan menjadi musta’mal.

    ii) Air yang digunakan oleh wanita kitabiyah untuk mandi (setelah kering haid atau nifasnya) untuk membolehkan suaminya mensetubuhinya, air tersebut menjadi musta’mal walaupun mandi itu tidak menjadi ibadat untuknya, kerana mandi itu adalah mandi yang mesti dilakukannya.

    iii) Wudhuk orang bermazhab Hanafi yang dilakukannya tanpa niat (kerana niat tidak wajib bagi wudhuk menurut mazhab Hanafi). Walaupun wudhuk tersebut tidak sah mengikut mazhab kita, namun air yang digunakannya dianggap musta’mal.

 

  c) Air telah terpisah dari anggota. Selama air masih berlegar di anggota, belumlah dikira musta’mal. Selama air berada pada anggota wudhuk yang sama, ia belum dikira musta’mal. Maka boleh dipindahkan pada anggota wudhuk yang sama sekalipun air terpisah dari anggota kemudia kembali semula ke anggota yang sama. Contohnya; memindahkan air dari hujung jari hingga ke siku. Namun jika dipindahkan air ke anggota wudhuk yang lain, tidak sah wudhuk kerana itu telah menjadi musta’mal. Contohnya; memindahkan air dari basuhan tangan hingga siku ke kepala, yakni menggunakan air bekas basuhan tangan itu untuk menyapu kepala atau air bekas sapuan kepala untuk menyapu telinga, tidak sah kerana air telah menjadi musta’mal.

 

 d) Bukan dengan tujuan ightiraf (mencebuk air). Iaitu bagi orang yang mengambil wudhuk dengan mencelup tangan ke dalam bekas air yang sedikit (kurang dari dua kolah). Jika selepas basuhan muka (atau selepas berniat mandi wajib), dia mencelup tangannya ke dalam air dengan tujuan memindahkan air ke anggota wudhuk berikutnya, air dalam bekas itu tidak menjadi musta’mal. Adakah perlu berniat ightiraf (yakni meniatkan tangan sebagai pencebuk)? Terdapat khilaf di kalangan ulamak mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak mazhab mewajibkannya untuk mengelakkan air dari menjadi musta’mal. Sebagian lagi tidak mewajibkannya, antara mereka ialah Imam al-Ghazali. Menurut ‘Allamah al-Kurdi; dengan mengqasadkan tujuan mencelup tangan itu adalah untuk memindahkan air ke anggota wudhuk iaitu membasuh anggota wudhuk di luar bekas bukan untuk membasuhnya di dalam bekas, itu telah dianggap berniat ightiraf.

 

 e) Air musta’mal yang jatuh (yakni tumpah atau terpercik) ke dalam bekas air yang sedikit (kurang dua kolah), jika air musta’mal itu sedikit –sekira-kira jika diandaikan air itu berwarna, tidak akan mengubah air atau kalau ada perubahan pun sedikit sahaja (tidak ketara)-, tidaklah menyebabkan air dalam bekas itu menjadi musta’mal. Namun jika air musta’mal yang tumpah itu banyak, air tersebut dihukum musta’mal.

 

3. Dari segi mazhab ulamak tentang air musta’mal ini;

a) Menurut mazhab Imam Malik dan qaul qadim Imam Syafiie; ia suci dan menyucikan (yakni masih boleh digunakan untuk bersuci).

b) Menurut qaul jadid Imam Syafiie, mazhab Imam Abu Hanifah (yang masyhur darinya) dan mazhab Imam Ahmad; suci, tetapi tidak menyucikan (yakni tidak boleh digunakan untuk bersuci).

 

Wallahu a’lam.

 

Rujukan;

  1. Al-Tahrir (Imam Zakaria al-Ansari), hlm. 16
  2. Mughni al-Muhtaj (Imam al-Khatib al-Syirbini), 1/32.
  3. Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah, 1/41).
  4. Rahmatul Ummah (Syeikh Abu ‘Abdillah al-Dimasyqi), hlm. 5.
  5. Al-Qawanin al-Fiqhiyyah (Ibnu Juzay), hlm. 28.
  6. At-Taqriraat as-Sadidah (Syeikh Hasan al-Kaf), hlm. 59-60.
  7. Fath al-Wahhab al-Malik syarh ‘Umdah al-Salik (Syeikh Toha Hamadi), 1/64.
  8. Syarah ‘Umdatu as-Salik (Syeikh Khalaf bin Mufdhi)
  9. Syarah at-Tahrir (Syeikh Ahmad al-Maqrami)

.

 

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries