Laman Info Agama Anda

RAHSIA MENDAPAT JAGAAN ALLAH

Soalan; apa yang perlu kita lakukan supaya kita sentiasa dijaga oleh Allah?

Jawapan;

بسم الله، والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله؟

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT memberi panduan kepada kita;

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ

"Maka ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku" (surah al-Baqarah, ayat 152).

Menurut Ibnu 'Abbas RA; maksud ayat ini ialah, ingatlah kamu kepadaKu dengan mentaatiKu, nescaya Aku (yakni Allah) akan mengingati kamu dengan memberi pertolonganKu. Sa'id bin Jubair pula mentafsirkan; (maksud ayat tersebut ialah) ingatilah Allah ketika kamu berada dalam nikmat dan kesenangan, nescaya Allah akan mengingati kamu ketika kamu dalam kepayahan dan bala.

Mirip dengan ayat di atas ialah pesanan Nabi SAW kepada Ibnu 'Abbas RA dalam satu hadis yang masyhur;

‌احْفَظِ ‌اللَّهَ يَحْفَظْكَ، ‌احْفَظِ ‌اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ 

"Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapatiNya di hadapan kamu. Apabila meminta mintalah kepada Allah. Apabila memohon pertolongan, mohonlah pertolongan Allah" (Jami' al-Tirmizi; 2516).

Kesimpulan;

Dari ayat dan hadis di atas kita dapat menimba banyak pengajaran berharga untuk kehidupan kita;

1. Sentiasa mengingati Allah dengan mentaatiNya agar Allah sentiasa pula menngingati kita dengan pertolonganNya.

2. Ketika dalam nikmat dan kesenangan manfaatkanlah untuk mengingati Allah sebanyak mungkin, kerana apabila ditimpa kesusahan, sakit, ujian atau sebagainya nanti kita mungkin tidak ada kesempatan lagi untuk mengingati Allah (termasuk berdoa kepadaNya), namun berkat ibadah, zikir dan doa yang kita lakukan semasa sihat dan senang dahulu pertolongan Allah muncul kepada kita tanpa disangka.

3. Jagalah hubungan kita dengan Allah agar kita sentiasa dalam jagaan Allah.

4. Jadikanlah Allah sebagai tempat kita bergantung hajat dan harapan. Jangan banyak meminta kepada makhluk, akan tetapi banyakkanlah meminta kepada Allah sebagaimana pesanan Nabi SAW dalam hadis di atas.

Rujukan;

(1) Tafsir Ma'alim al-Tanzil, Imam al-Baghawi (w 510H), 1/183.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries