Laman Info Agama Anda

HARTA PUSAKA TIDAK DIKETAHUI STATUS HALAL ATAU HARAMNYA?

Soalan; jika seseorang itu mewarisi harta dari ahli keluarganya yang mati, namun dia tidak tahu dari mana si mati memperolehi harta itu (dari sumber halal atau haram?), apa yang perlu dia lakukan?

Jawapan;

Syeikh al-Hifnawi (faqih al-Azhar, pakar usul fiqh) menjelaskan dalam fatwanya; harta si mati yang tidak diketahui sumbernya (sama ada dari sumber halal atau sumber haram) namun tidak terdapat sebarang tanda/bukti/keterangan ia datang dari sumber yang haram, status harta itu dihukumkan halal dengan sepakat para fuqahak.

Jika harta warisan itu diketahui bersumber dari yang haram sepenuhnya seperti dari riba, perniagaan produk/barangan yang diharamkan Syariat atau sebagainya, para waris hendaklah menjauhi harta tersebut dengan menginfakkanya kepada kebajikan kaum muslimin.

Jika hanya sebahagian sahaja dari harta itu bersumberkan yang haram, hendaklah bahagian yang haram itu dikeluarkan dari perwarisan dengan diinfakkan seperti tadi, dan harta selebihnya menjadi hak para waris. Jika berlaku keraguan pada kadar yang haram itu, hendaklah dilakukan ijtihad (yakni usaha pemeriksaan untuk mengenal-pasti kadar haram itu) dan dikeluarkan kadar yang diperolehi melalui ijtihad itu dari perwarisan.

Jika si mati semasa hayatnya diketahui ada melakukan pekerjaan melibatkan pengambilan harta orang lain secara zalim (yakni sebahagian dari hartanya adalah dari sumber zalim), namun tidak diketahui kadarnya, terdapat dua pandangan dari fuqahak;

(1) Pandangan perrtama; wajib dilakukan ijtihad (pemeriksaan untuk mengenal-pasti kadar harta zalim itu) dan dikeluarkan dari perwarisan dengan diinfakkan kepada kebajikan kaum musliimin.

(2) Pandangan kedua; para waris tidak dituntut memeriksa harta tersebut. Dosa kezaliman membabit harta tersebut ditanggung si mati.

Beliau (yakni Syeikh al-Hifnawi) mentarjih pandangan pertama mengambil kira dari sudut sikap warak dan juga sebagai langkah membersihkan si mati. Seorang pernah mengajukan soalan kepada Imam Ahmad; bapaku mati dan ada meninggalkan harta, namun semasa hayatnya dia pernah bermuamalat (yakni berniaga atau berkonsi) dengan rakan muamalah yang dibenci agama. Imam Ahmad menjawab; sisihkan dari harta itu kadar keuntungan (dari muamalah terlarang) tersebut. Mengulas jawapan Imam Ahmad itu, Imam al-Ghazali berkata; pandangan Imam Ahmad itu soheh (benar), dari pandangan itu difahami bahawa perlu dilakukan pemeriksaan terhadap kadar harta yang haram dan dikeluarkan dari pusaka.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

(1) Fatawa Syar'iyyah Mu'ashirah, Syeikh Dr Muhammad Ibrahim, al-Hifnawi, m.s. 364 (soalan no. 285) dan m.s. 365 (soalan no. 288).

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries