Laman Info Agama Anda

HUKUM JUAL-BELI EMAS PERHIASAN SECARA ANSURAN

Fatwa mufti Mesir (Sohibussamahah Syeikh Dr Syauqi 'Allam).

Soalan; Apakah hukum jual-beli emas perhiasan secara ansuran?

Jawapan;

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله.

Emas yang ditempat menjadi perhiasan tidak dilarang menjualnya secara ansuran mengikut hukum Syarak, karena dengan ditempa menjadi perhiasan ia telah terkeluar dari kedudukannya sebagai mata wang dan berubah menjadi barang tempaan (yakni perhiasan atau barangan). Oleh demikian, ia tidak termasuk dalam larangan hukum yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadisnya; "(Jual-beli) emas dengan emas (hendaklah tunai dan sama)” (kerana larangan tersebut dikhususkan kepada emas yang bersatus mata-wang (yakni dinar)).

Wallahu a'lam.

Rujukan fatwa;

(1) فتاوى فضيلة الشيخ شوقي علام مفتي الديار المصرية (https://youtu.be/OdZ5Wh1JW90)

Ulasan saya;

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam isu ini. Jumhur ulamak berpandangan; keseluruhan emas dan juga perak sama ada berupa mata-wang (yakni dinar dan dirham) atau perhiasan atau jongkong tertakluk dengan peraturan jual-beli barang/harta ribawi sebagaimana yang ditetapkan Nabi SAW dalam hadis-hadisnya, iaitu mesti berlaku pertukaran secara tunai (secara lani, tidak bertangguh) dan sama/setara (jika pertukaran yang sama jenis). Namun sebilangan ulamak -antaranya Imam al-Baji, al-Kamal bin al-Humam, Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim dan ditarjihkan oleh Darul Iftak Mesir- berpandangan; ketetapan tersebut hanya bagi emas dan perak yang berstatus mata-wang (yakni berupa dinar atau dirham). Adapun emas dan perak yang tidak lagi berbentuk mata wang, ia tidak lagi tertakluk dengan hukum tersebut kerana ia sudah bersifat barangan. Melihat situasi/realiti emas dan perak dalam dunia hari ini yang tidak dipakai lagi sebagai mata-wang, maka menurut pandangan ini, emas dan perak hari ini tidak lagi tertakluk kepada ketetapan hukum pertukaran barang/harta ribawi tadi, akan tetapi tertakluk dengan hukum pertukaran harta/barang-barang biasa iaitu boleh dilakukan secara bertangguh atau ansuran.

Wallahu a'lam.

Rujukan; Fatawa Syar'iyyah Mu'ashirah, Dr Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, m.s. 343 (Dar al-Hadith, Cairo, 2009).  

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries