Laman Info Agama Anda

ADAKAH KITA WAJIB TERIKAT DENGAN MAZHAB TERTENTU?

Soalan; dalam beramal dengan agama, adakah kita wajib bermazhab? dan adakah wajib terikat dengan mazhab tertentu?

Jawapan;

 بسم الله والحمد لله والصلاة على رسول الله، أما بعد:

Ada dua syarat yang perlu diperhatikan supaya amalan kita diterima Allah;

1. Amalan itu menepati Syariat Allah

2. Dilakukan ikhlas kerana Allah.

Dalam memastikan amalan menepati Syariat Allah, perlu dirujuk kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah/al-Hadith. Kemampuan manusia tidak sama. Ada di kalangan manusia yang mampu memahami sendiri nas/teks al-Quran dan al-Hadith/al-Sunnah. Orang sebegini tidak perlu bertaklid kepada orang lain (yakni tidak perlu bermazhab). Ada yang tidak mampu memahami sendiri, maka dia wajib bertanyakan orang yang tahu (alim) sebagaimana firman Allah;

"Maka bertanyalah kamu kepada ahli al-zikr (ulamak) jika kamu tidak mengetahui" (surah al-Nahl, ayat 43).

 Dan sabda Nabi SAW;

أَلَا سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا ‌شِفَاءُ ‌الْعِيِّ ‌السُّؤَالُ

"Hendaklah mereka bertanya jika tidak tahu, kerana sesungguhnya penawar bagi orang kebingungan ialah bertanya" (Sunan Abu Daud; 336, hadis hasan).

Bertanya seorang ulamak dan berpegang dengan pandangannya, itulah yang dinamakan bertaklid kepada pandangannya dan bermazhab dengan mazhabnya. Maka bermazhab merupakan suatu keperluan bagi orang awam kerana rata-rata mereka tidak mampu memahami sendiri nas/teks al-Quran dan al-Hadith. 

Apakah mesti terikat dengan sesuatu mazhab? Dalam pengajian fiqh, para ulamak/fuqahak kebanyakan mereka menasihatkan hendaklah dimulai dengan mempelajari/mengajarkan fiqh mengikut mazhab tertentu dari empat mazhab yang diijmakkan penerimaannya oleh fuqahak Ahlus Sunnah wal Jamaah (iaitu Hanafi, Maliki, Syafiie atau Hanafi) supaya pembelajaran fiqh dapat dilakukan secara sistematik dan tidak bercelaru, namun para pelajar/guru hendaklah diajar agar tidak tassub dan fanatik kepada mazhab yang dipelajari, kerana ada ketikanya bagi masalah-masalah tertentu pandangan mazhab lain mungkin lebih rajih atau lebih menepati kesesuaian semasa. 

Perlu difahami bahawa bermazhab bukan matlamat, tetapi hanya wasilah untuk mencapai matlamat iaitu mencapai ilmu dan kefahaman yang soheh tentang agama. Kerana itu Imam al-Syafiie pernah berkata; "Jika sah suatu hadis, maka itulah mazhabku". Maka kita juga perlu bersikap yang sama iaitu, mana-mana pandangan yang rajih/soheh, itulah mazhab kita. Dalam erti lain. kita taksub dengan kebenaran, bukan taksub dengan ulamak atau mazhabnya.

والحمد لله والصلاة على رسول الله

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries