HAKIKAT FIQH (الفقه)

Fiqh dari segi bahasa memberi maksud kefahaman (الفهم) atau kefahaman yang mendalam (الفهم الدقيق). Adapun maksudnya sebagai satu istilah bagi satu cabang ilmu yang dipanggil ilmu fiqh (الفقه) maka ia berkait dengan kefahaman tentang hukum-hakam Syariat, bukan keseluruhannya, tetapi salah satu aspeknya iaitu amali. Lebih jelas, fiqh ditakrifkan para ahli fiqh dan usul fiqh sebagai;

العلم بالأحكام الشرعية العملية المكتسب من أدلتها التفصيلية

"Ilmu berkenaan hukum-hakam Syariat yang bersifat amali yang diperolehi (ilmu itu) melalui dalil-dalil hukum satu persatu" (Takrif al-Imam al-Isnawi).

Takrif/definisi tersebut merupakan yang masyhur diberikan ulamak. Namun di sana terdapat takrif-takrif lain yang jika diselami akan memperdalamkam kefahaman kita tentang hakikat fiqh;

(1) Syeikh Qutbuddin al-Sanbati (قطب الدين السنباطي) memberi maksud fiqh sebagai;

الفقه معرفة النظائر

"Pengetahuan tentang masalah-masalah fiqh yang sebanding dan yang serupa " (al-Zarkasyi, 1/11).

Menurut Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazair (الأشباه والنظائر); di antara cabang ilmu fiqh yang terbesar dan terpenting ialah pengetahuan tentang furuk-furuk fiqh (yakni kes-kes atau permasalahan-permasalahan fiqh) yang sebanding dan yang serupa, iaitu menggabungkan setiap kes/masalah (dalam fiqh) kepada kumpulan kes yang sama dan yang serupa dengannya. Namun bidang kemahiran ini hanya dapat diselami oleh orang yang mengharunginya dengan penuh kesungguhan (m.s. 10). 

(2) Menurut Qadhi Husaian;

 الفقه افتتاح علم الحوادث على الإنسان أو افتتاح شعب أحكام الحوادث على الإنسان

"Fiqh ialah pendedahan ilmu tentang permasalahan dan kejadian dalam kehidupan manusia, iaitu mengkaji cabang hukum-hakam bagi permasalahan dan kejadian yang berlaku kepada manusia" (al-Zarkasyi, 1/12).

 (3) Menurut Ibnu Suraqah pula;

 حقيقة الفقه عندي الاستنباطن قال تعالى: ((لعلمه الذين يستنبطزنه منهم (النساء: 83)

"Hakikat fiqh bagiku ialah istinbat (mencungkil hukum dari nas/teks Syarak; iaitu al-Quran atau al-Sunnah), kerana Allah berfirman; "nescaya diketahui hal itu oleh orang-orang yang mengistinbatnya dari kalangan mereka" (surah al-Nisa', ayat 83) (al-Zarkasyi, 1/12).

* Istinbat dari segi bahasa bermaksud (استخراج الماء من العين) iaitu mengeluarkan air dari mata air, kemudian digunakan secara majaz (kiasan) bagi maksud mengeluarkan pandangan yang tepat, sebagaimana ungkapan (استنبط الرأي الصحيح) yang bermaksud; mengeluarkan pandangan yang tepat melalui kajian dan fikiran. Adapun maksudnya dalam istilah ulamak ialah;

استخراج المعاني من النصوص بفرظ الذهن وقوة القريحة

"Mencungkil maksud dan pengertian sebenar dari nas-nas dengan menggunakan kekuatan akal/fikiran semaksimanya" (al-Qamus al-Mubin. m.s. 39). 

Dalam pengertian yang lain, istinbat ialah proses ijtihad dari ahli fiqh (al-faqih) atau ahli ijtihad (mujtahid) untuk mengeluarkan hukum dari dalil-dalil yang telah ditetapkan oleh Syarak (Kamus Istilah Fiqh, m.s. 129).

(4) Definisi yang sama (sebagaimana yang diberikan Ibnu Suraqah) turut diberikan Ibnu al-Sam'ani;

هو استنباط حكم المشكل من الواضح

"Fiqh ialah mengistinbat hukum bagi kes yang masih musykil (samar hukumnya) dengan mencungkilnya dari kes yang telah jelas (hukumnya)" (al-Zarkasyi, 1/12).

Dalam hadis, Nabi SAW bersabda;

 فَرُبَّ ‌حَامِلِ ‌فِقْهٍ غَيْرُ فَقِيهٍ

"Barangkali seorang yang membawa fiqh (yakni menyampaikan hadis yang terkandung fiqh di dalamnya) bukan seorang faqih" (Sunan Ibnu Majah; 3056, soheh lighairihi).

Yakni tidak pandai mengistinbat hukum dari hadis yang disampaikannya. Dalam erti lain, dia menyampaikan riwayat namun dia tidak memiliki kebolehan beristidlal dan beristinbat dari riwayat yang disampaikannya itu.

Dia (yakni Ibnu al-Sam'ani) turut menegaskan; seorang faqih diumpamakan seperti seorang yang menyelam ke dalam lautan yang penuh mutiara di dasarnya. Setiap kali dia menyelam ke dasar lautan, dengan kecerdikannya dia akan membawa keluar mutiara, sedang orang lain (yang tidak secerdiknya) hanya membawa keluar batu sahaja. 

(5) Di antara pengertian yang indah tentang fiqh ialah yang dberikan Imam Abu Hanifah di mana menurut beliau;

الفقه معرفة النفس ما لها وما عليها

"Fiqh ialah mengenali diri, iaitu mengetahui tentang haknya dan juga tanggungjawabnya" (al-Zarkasyi, 1/12).

(6) Menurut Imam al-Juwaini dalam al-Ghiyas; "Tujuan paling penting dari ilmu fiqh ialah melatih diri untuk mengenal jalan-jalan atau tempat-tempat ambilan bagi membuat andaian-andaian dalam lapangan hukum-hakam. Itulah yang dinamakan fiqh diri (yakni mengetahui potensi dalam diri untuk mengenali jalan-jalan mencapai kebenaran), di mana ia merupakan sifat paling bernilai dari sifat-sifat yang dipunyai ulamak Syariat" (al-Zarkasyi, 1/12).

10 cabang ilmu fiqh

Imam al-Zarkasyi menyimpulkan cabang-cabang fiqh kepada 10 cabang;

1) Pengetahuan tentang hukum-hakam bagi setiap permasalahan dan kejadian dalam kehidupan manusia yang diketahui melalu nas secara langsung atau melalui istinbat dari nas

2) Pengetahuan dalam menghimpunkan dan memisahkan (معرفة الجمع والفرق). Pentingnya cabang ini sehingga sebahagian ulamak berkata; fiqh itu ialah kebolehan memisahkan dan menghimpunkan (yakni memisahkan kes-kes yang ada perbezaan dan menghimpunkan kes-kes yang ada persamaan). Sebarang perbezaan yang wujud di antara dua kes akan memberi kesan (kepada perbezaan hukum) selama tidak wujud andaian yang kuat bahawa yang lebih nyata ialah persamaan kedua-keduanya (yakni hukum keduanya adalah sama bukan berbeza).

3) Membina masalah-masalah di atas satu sama lain kerana saling berkongsi jalan atau tempat ambilan hukum yang sama. 

4) al-Mutarahat iatu lontaran-lontaran masalah yang rumit untuk mengasah kefahaman dan pemikiran  ahli fiqh. Imam al-Syafiie pernah berkata kepada muridnya al-Za'faran; pelajarilah ilmu yang rumit agar ia tidak hilang.

5) al-Mughalatat, iaitu mengetahui bentuk-bentuk penghujahan yang salah dalam fiqh.

6) al-Mumtahanat, iaitu menjalankan ujian atau latihan.

7) al-Alghaz, iaitu teka-teki fiqh.

8) al-Hiyal, iaitu pengetahuan tentang helah-helah fiqh

9) Ma'rifatul Afrad, iaitu mengetahui dari setiap faqih pandangan-pandangan mereka yang berdekatan.

10) Pengetahuan tentang dhawabit fiqh dan qawa'id fiqhiyyah. Ilmu ini merupakan ilmu terpenting, paling menyeluruh dan paling sempurna dalam fiqh, di mana ia memberi persediaan kepada seorang faqih untuk menapak ke darjat ijtihad. Inilah ilmu usul fiqh pada hakikatnya.

Rujukan;

(1) Al-Mantsur Fi al-Qawa'id, al-Imam Badruddin al-Zarkasyi, 1/11-13.

(2) Al-Qamus al-Mubin Fi Istilahaat al-Usuliyiiin, Dr Mahmud Hamis Usman, m.s. 44.

(3) al-Asybah wa al-Nazair, Imam al-Suyuti, m.s. 10.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries