AHLI-AHLI FIQH

Siapakah ahli-ahli Fiqh?
 
Ahli-ahli fiqh bermaksud orang yang pakar dalam Fiqh. Di dalam bahasa Arab ia dinamakan sebagai al-Faqih atau jamaknya al-Fuqahak. Di kalangan Fuqahak atau ahli-ahli Fiqh ada yang mengeluarkan pandangan sendiri tanpa terikat dengan mana-mana ahli Fiqh yang lain sama ada yang hidup sebelum atau sezaman dengan mereka. Mereka mencipta atau mengasaskan usul-usul atau kaedah-kaedah untuk mengeluarkan hukum dari al-Quran dan as-Sunnah dan berijtihad dengan kemampuan sendiri tanpa terikat dengan Faqih atau ahli Fiqh yang lain. Mereka dinamakan sebagai Mujtahid Mustaqil iaitu orang yang mempunyai kemampuan berijtihad secara berdikari. Bilangan mereka adalah sedikit.
 
Ada di kalangan Fuqahak (ahli-ahli Fiqh) yang menjadi murid atau pengikut kepada Mujtahid Mustaqil di atas. Mereka memiliki kemampuan untuk berijtihad, namun ijtihad mereka tidaklah bebas, sebaliknya terikat dengan usul atau kaedah yang diasaskan oleh guru mereka atau tokoh Mujtahid sebelum mereka. Mereka dinamakan Mujtahid Muntasib atau Mujtahid Mazhab. Fuqahak atau ahli-ahli Fiqh dari jenis ini adalah yang terbanyak. Malah selepas kemunculan Imam-Imam Mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafiie dan Imam Ahmad, hampir keseluruhan Fuqahak adalah menjadi pengikut salah satu dari empat mazhab tersebut. Mereka dikenali sebagai Fuqahak Mazhab atau ulamak-ulamak mazhab.

Siapakah contoh ahli Fiqh yang mencapai darjat mujtahid mustaqil?

Contoh mereka ialah;
 
1. Imam Abu Hanifah (an-Nu’man bin Tsabit al-Kufi); meninggal tahun 150 Hijrah.
 
2. Imam al-Auza’ie (‘Abdurrahman bin Muhammad); meninggal tahun 157 Hijrah.
 
3. Imam Sufyan as-Sauri (Sufyan bin Sa’id); meninggal tahun 161 Hijrah.
 
4. Imam al-Laith bin Sa’ad; meninggal tahun 175 Hijrah.
 
5. Imam Malik bin Anas; meninggal tahun 179 Hijrah.
 
6. Imam as-Syafi’ie (Muhammad bin Idris); meninggal tahun 204 Hijrah.
 
7. Imam Ahmad bin Hanbal; meninggal tahun 241 Hijrah.
 
8. Imam Daud az-Zahiri (Daud bin ‘Ali); meninggal tahun 270 Hijrah.
 
9. Ibnu Jarir at-Tabari (Muhammad bin Jarir); meninggal tahun 310 Hijrah.

Siapakah contoh ahli-ahli Fiqh yang menjadi mujtahid Mazhab?

Contoh mereka;
 
1. Imam Abu Yusuf; meninggal tahun 182 Hijrah (mujtahid mazhab Abu Hanifah)
 
2. Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani; meninggal tahun 187 Hijrah (mujtahid mazhab Abu Hanifah)
 
3. Ismail bin Yahya bin Ismail al-Muzani; meninggal 264 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
 
4. Ar-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi; meninggal 270 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
 
5. Yusuf bin Yahya al-Buwaithi; meninggal 231 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Syafi’ie)
 
6. Ibnu al-Qasim; meninggal tahun 191 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Malik)
 
7. Imam Sahnun (‘Abdussalam bin Sa’id at-Tanukhi); meninggal tahun 204 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Malik).
 
8. Imam Abu Thalib (Ahmad bin Hamid al-Misykani); meninggal tahun 244 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Ahmad)
 
9. al-Qadhi ‘Abu Ya’la (Muhammad bin al-Husain); meninggal tahun 458 Hijrah (mujtahid mazhab Imam Ahmad).
 
10. Imam Ibnu Hazm al-Andalusi; meninggal tahun 456 Hijrah (mujtahid mazhab az-Zahiri).

Siapkah Fuqahak zaman ini?

Yang kita maksudkan dengan Fuqahak zaman ini ia ahli-ahli Fiqh dalam kurun terkini (kurun ke 15 hijrah) yang berkhidmat memberi fatwa kepada umat Islam, memastikan hukum atau pendirian Syarak bagi masalah-masalah baru yang tidak berlaku pada zaman-zaman yang lalu seperti masalah yang berkait dengan bank, saham, pengubatan moden dan sebagainya. Adakalanya mereka mengeluarkan fatwa atau pandangan secara individu dan adakalanya secara kolektif melalui Institusi-Institusi Fatwa yang mereka anggotai atau persidangan-persidangan Fiqh yang diadakan. Antara mereka ialah;

1. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi; Seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir. Banyak menghasilkan penulisan-penulisan dalam semua bidang Islam termasuk Fiqh. Antara karya Fiqhnya yang terkenal ialah “Fiqh az-Zakah” sebanyak dua jilid. Beliau memiliki buku koleksi fatwanya yang terkenal dan sentiasa menjadi panduan umat Islam iaitu “Fatawa Mu’ashirah”.

2. Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili; Seorang Ulamak dari Syiria. Telah menghasil satu karya Fiqh yang lengkap bernama “al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu” (sebanyak lapan atau sembilan jilid) yang merupakan antara buku Fiqh Perbandingan pelbagai mazhab yang terlengkap dihasilkan di zaman ini. Beliau juga menulis buku Ushul Fiqh (dua jilid) dan Tafsir al-Quran lengkap 30 juzuk bernama Tafsir al-Munir.

3. Syeikh ‘Athiyah Saqar; Seorang ulamak al-Azhar, Mesir. Pernah menjawat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa al-Azhar. Beliau mempunyai buku himpunan Fatwanya tersendiri yang diberi nama “al-Islam Wa Masyakil al-Hayah” sebanyak enam jilid.

4. Syeikh Abdul Aziz Bin Baz; Bekas mufti Kerajaan Arab Saudi. Seorang ulamak buta, namun ilmunya mengalahkan orang-orang yang celik. Menjadi sandaran fatwa khususnya bagi golongan Salafi atau yang bermazhab Hanbali.

5. Dr. Abdul Karim Zaidan; Seorang ulamak kelahiran Iraq, namun hari ini tinggal di Yaman. Banyak menghasilkan penulisan-penulisan termasuk dalam bidang Fiqh. Antara bukunya yang masyhur dalam bidang Fiqh ialah “Fiqh al-Mar’ah” (Fiqh Wanita) sebanyak sembilan jilid. Beliau juga menghasilkan buku Ushul Fiqh bertajuk “Al-Wajiz Fi Ushul-Fiqh”. Selain itu banyak kajian-kajian ilmiah dalam bidang fiqh yang beliau hasilkan untuk mengupas masalah-masalah semasa.
 
6. Syeikh Muhammad Taqi Usmani; seorang ulamak kelahiran India, pakar kewangan Islam, menjawat jawatan sebagai hakim Syarie di Pakistan, beliau juga sekarang merupakan pengerusi Lembaga Shariah Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Majma' al-Fiqh al-Islami.
 
7. Syeikh Dr Ali Jum'ah Muhammad Abdul Wahab. Beliau adalah merupakan ulamak al-Azhar, bekas Mufti Besar Mesir, pakar dalam bidang Syariah dan Usul al-Fiqh.
 
8. Syeikh Dr Ahmad Al-Raysuni; pakar fiqah Islam dan Maqasid al-Syariah kelahiran Maghribi. Beliau merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Nama-nama yang kita sebutkan di atas hanya sekadar contoh sahaja. Selain mereka terdapat banyak lagi tokoh-tokoh Fiqh hari ini yang tidak dapat kita sebutkan di sini.

Apa hukum taqlid atau ittiba' mazhab?

Taqlid atau Itiba' dari segi bahasa bermakna meniru dan mengikut orang lain. Setiap orang yang mengikut atau meniru orang lain, maka ia dinamakan muqallid atau muttabi'. Ada di kalangan Ulamak membezakan antara taklid dan ittiba' di mana taklid ialah mengikut orang lain tanpa memerhati dalil dan hujjah, adapun ittiba' ialah mengikuti orang lain berdasarkan dalil dan hujahnya (lihat; al-Wajib Fi Ushul al-Fiqh al-Islami, Muhammad Mustafa al-Zuhaili, 2/356). Jika perbezaan ini diterima, maka muttabi' adalah lebih baik dari muqallid.
 
Sama ada harus atau tidaknya taklid atau itiba' di sisi agama bergantung kepada kemampuan seseorang;

1. Seorang yang mampu berijtihad sendiri dari al-Quran dan as-Sunnah, atasnya haram taklid kerana ia seorang mujtahid.

2. Seorang yang tidak mampu berijtihad, maka ia wajib mengikuti atau mengambil panduan dari ulamak yang mujtahid. Kewajipan ini berpandukan firman Allah (yang bermaksud);
 
فَاسْأَلُوا أَهْل الذِّكْر إنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
"…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui" (an-Nahl: 43).
 
Begitu juga, Nabi SAW bersabda;
 
فَإِنَّمَا ‌شِفَاءُ ‌الْعِيِّ ‌السُّؤَالُ
"Sesungguhnya ubat bagi orang yang keliru ialah bertanya" (Sunan Abu Daud; 336, hadis hasan).

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; "Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asal dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang dikenali dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh…". (Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh)

3. Orang yang tidak sampai darjat mujtahid, tetapi dia mampu menilai pandangan para mujtahid, dalil-dalil dan jalan-jalan istinbat mereka. Bagi orang ini, ia hendaklah berusaha mengetahui dan memahami dalil ulamak mujtahid yang diikutinya. Inilah yang dapat kita fahami dari salah satu taujihad Syeikh Hasan al-Banna dalam Usul ‘Isyrinnya; "Setiap orang Islam yang belum sampai tahap kemampuan memerhati/mengkaji sendiri dalil-dalil bagi hukum-hakam Syarak dalam masalah furu' (cabang) hendaklah dia mengikut salah seorang Imam dari Imam-Imam (mujtahid) dalam agama ini. Namun adalah lebih baik di samping mengikut itu dia berusaha sedaya mungkin untuk mengetahui dalil-dalil (yang dipakai oleh Imamnya)…". (Usul al-'Isyrin, Risalah at-Ta'alim).

Apa makna talfiq? Adakah harus bertalfiq?

Talfiq bermaksud : seseorang itu mengikut / bertaqlid satu mazhab tertentu dalam ibadahnya, kemudian dalam satu keadaan atau bahagian-bahagian tertentu ia mengikuti / bertaqlid pula kepada mazhab atau pandangan yang lain. Adakah perbuatan ini harus? Menurut ulamak, sekalipun seorang itu bertaqlid kepada suatu mazhab, tidak haram baginya untuk berpindah mazhab secara keseluruhannya atau pada masalah-masalah tertentu.Tetapi keharusan itu tertakhluk dengan syarat-syarat berikut:

1. Hendaklah mazhab yang diikuti merupakan mazhab yang masyhur khususnya mazhab-mazhab yang empat. Jika pandangan atau tarjih, hendaklah dari ulama yang diiktiraf dan diakui oleh umat akan keilmuannya.

2. Tidak bertujuan mencari yang mudah-mudah dari pandangan-pandangan mazhab.

3. Tidak membuat himpunan antara mazhab-mazhab dalam bentuk yang membawa percanggahan dengan pandangan sekalian ulama atau ijmak mereka.

Contohnya, seorang berkahwin tanpa wali kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan wali dalam akad perkahwinan, tanpa saksi kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Malik yang tidak mewajidkan saksi dan tanpa mas kahwin kerana bertaqlid kepada mazhab Abu Hanifah yang mengharuskan jika diletakkan syarat oleh pihak lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan. Perkahwinan tanpa tiga perkara tersebut tidak dianggap sah oleh sekalian ulama. Maka talfiq sebegini adalah haram kerana menyalahi ijmak ulamak. (Rujuk; Taqrib Al Usul, Abi Al Qasim al Gharnati, m.s. 158).

Menurut Dr Abd Karim Zaidan; "Harus seorang pengikut mazhab mengikut atau beramal dengan pandangan mazhab lain asalkan hal tersebut dilakukannya kerana suatu dalil yang mengajaknya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu. Begitu juga harus dia bertanya ulamak yang bukan dari mazhabnya berkenaan suatu hukum Syarak dalam suatu masalah dan beramal dengan fatwa yang diberikan" (Al Wajiz Fi Ushul al-Fiqh, m.a. 409).

Kesimpulannya, talfiq diharuskan jika tujuannya bukan untuk mempermudah-mudahkan agama seperti sengaja mencari pandangan-pandangan yang senang dan mudah dari mazhab-mazhab yang ada untuk menjadi amalan atau pegangan agama.Talfiq sebegini akan membawa kepada rosak agama jika dibenarkan.

Apa maksud tarjih? Siapa yang berhak melakukan tarjih?

Tarjih bermaksud membuat penilaian dan pemilihan terhadap dalil-dalil yang dilihat bertentangan atau terhadap beberapa pandangan yang berlawanan iaitu dengan menselarikan antara dalil-dalil jika dapat dilakukan atau memastikan dalil yang mana paling kuat jika tidak dapat diselarikan.

Jika tarjih dibuat terhadap pandangan-pandangan, tujuannya ialah untuk memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati segi Syarak. Pentarjihan harus dilakukan oleh orang-orang berkelayakan sam ada mujtahid atau fuqahak dan tidak harus sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang yang jahil atau medakwa alim kerana boleh membawa kepada merosakkan agama.

Proses pentarjihan berjalan sejak dari dulu hingga ke hari ini.Para ulama' yang menjadi sandaran umat pada zamannya akan membuat tarjih terhadap pandangan-pandangan yang berbeza oleh ulamak-ulamak sebelumnya dalam sesuatu kes supaya orang awam dapat mengetahui dan beramal dengan pandangan yang paling tepat dengan hukum Syarak. Imam Nawawi sebagai contohnya di dalam berdepan dengan masalah seorang yang terpaksa solat dalam keadaan tidak bersuci kerana tidak ada air untuk mengambil wudhuk dan tidak ada debu untuk bertayammum, adakah dia wajid solat juga dan adakah wajib dia mengulangi solatnya? Sebelum beliau ada empat pandangan ulamak;
 
Pandangan pertama; wajib mengerjakan solat dan solat itu wajid diulangi kerana dikerjakan sebagai menghormati waktu sahaja.
 
Pandangan kedua; haram mengerjakan solat, mesti menunggu hingga dapat bersuci baru tunaikan solat sekalipun di luar waktu.
 
Pandangan ketiga; sunat mengerjakan solat dan wajib diulangi solat tersebut.
 
Pandangan keempat; wajib mengerjakan solat dan tidak wajid mengulanginya.
 
Imam Nawawi dalam tarjih beliau telah memilih pandangan yang keempat kerana menurut beliau pandangan itu paling kuat dalilnya (lihat; Syarah Sahih Muslim (4/67), kitab al-Haidh, bab al-Tayammum).

Itu adalah satu contoh dari ribuan tarjih yang dilakukan ulamak. Kita sebagai orang awam hendaklah sentiasa mendampingi ulamak dan beramal dengan tarjih mereka. Adapun kita hendak memandai-mandai sendiri tidak kerana tarjih mesti berdasarkan penilaian dalil, bukan mengikut kehendak diri sendiri.