Apa maksud ilmu fiqh?

Dari segi bahasa kalimah fiqh bermaksud memahami. Pada asalnya ia bermaksud memahami agama secara keseluruhannya. Namun kemudiannya dikhususkan ulamak kepada memahami ajaran Islam yang berkaitan dengan hukum-hakam amali sahaja, iaitu percakapan, perbuatan dan hal-ehwal luaran manusia tanpa menyentuh soal aqidah dan akhlak. Secara lebih jelas, ilmu fiqh ditakrifkan oleh ulamak sebagai;

"Ilmu berkenaan hukum-hakam Syarak yang bersifat amali yang diperolehi dari dalil-dalilnya secara terperinci" (Ushul al-Fiqh, 'Abdul Wahhab Khallaf, m.s. 11).

Huraian;

1. Para ulamak membahagikan hukum-hakam Syarak kepada tiga iaitu;

a) Hukum-hakam iktikad 
b) Hukum-hakam amali
c) Hukum-hakam akhlak

Medan pengajian ilmu fiqh ialah yang kedua di atas iaitu hukum-hakam amali. Ilmu fiqh tidak menyentuh tentang hukum-hakam iktikad, begitu juga tidak menyentuh tentang akhlak.

2. Perkataan Syarak bermaksud Allah dan Rasul. Dalil-dalil Syarak pada dasarnya ialah Kitab Allah (yakni al-Quran) dan Sunnah RasulNya. Namun secara terperinci ia merangkumi juga ijmak, qiyas dan sebagainya.

Apakah tujuan mempelajari ilmu fiqh?

Tujuan mempelajari ilmu fiqh ialah untuk mengetahui hukum-hakam Syarak mengenai setiap tingkah laku manusia dan melaksanakan hukum-hakam tersebut dalam kehidupan bagi segenap ruang dan lapisannya.
Ilmu fiqh amat berguna sama ada kepada ulamak, mufti, qadhi mahupun orang awam biasa. Bagi para ulamak, mufti dan qadhi, mereka perlu mendalami ilmu ini untuk mengajar orang ramai tentang hukum Syarak, memberi fatwa dan memutuskan hukum Syariat bagi sesuatu kes.

Adapun orang awam, mereka perlu mengetahui ilmu ini agar dapat menjalani kehidupan seharian bertepatan dengan garis panduan yang ditetapkan Syarak.

Apa maksud hukum Syarak?

Kita sebutkan tadi bahawa tujuan mempelajari ilmu fiqh ialah untuk mengetahui hukum Syarak atas setiap perbuatan kita. Apa yang dimaksudkan dengan hukum Syarak? Hukum Syarak menurut takrifan ulamak ialah;

"Arahan Allah yang berkait dengan tindak-tanduk hamba yang mukallaf sama ada berupa tuntutan (yakni tuntutan buat atau tuntutan tinggal) atau berupa pilihan" (sama ada ingin membuat atau meninggalkannya) (al-Wajiz, Abdul Karim Zaidan, m.s. 23). 

Arahan Allah ini diketahui melalui dalil-dalil Syarak iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak, Qiyas dan sebagainya melalui penelitian oleh para ahli fiqh atau mujtahid.

Berapa bahagian hukum Syarak?

Melihat kepada pengertian hukum di atas, dapat kita simpulkan bahawa tindak-tanduk hamba Allah mengikut hukum Syarak berada dalam tiga bahagian besar;

Pertama; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan

Kedua; Perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan

Ketiga; Perbuatan-perbuatan yang diberi pilihan (yakni terserah kepada manusia sama ada ingin melakukannya atau meninggalkannya)

Kemudian, bahagian pertama dan kedua terbahagi pula kepada dua tahap;

Pertama; Yang dituntut secara jazam iaitu tuntutan mesti.

Kedua; Yang dituntut tidak secara jazam, iaitu tuntutan secara galakan sahaja, bukan tuntutan mesti atau wajib.

Bagi bahagian pertama (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya dilakukan), jika jenis tuntutan adalah jazam (yakni mesti), ia dinamakan wajib. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam (tidak mesti), iaitu hanya galakan sahaja, ia dinamakan sunat.

Bagi bahagian kedua pula (iaitu perbuatan-perbuatan yang dituntut supaya ditinggalkan), jika jenis tuntutan adalah jazam (mesti), ia dinamakan haram. Adapun jika jenis tuntutan adalah tidak jazam, iaitu hanya galakan sahaja, ia dinamakan makruh.

Kesimpulan

Setelah memahami pengertian dan pembahagian hukum Syarak di atas, dapat kita simpulkan perbuatan-perbuatan mukallaf mengikut hukum Syarak terbahagi kepada lima jenis;

1. Yang wajib; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang mesti dilakukan di mana jika ditinggalkan akan berdosa.

2. Yang sunat; iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang digalakkan melakukannya oleh Syarak iaitu diberi pahala sesiapa yang melakukannya, namun tidaklah berdosa jika ditinggalkannya.

3. Yang haram; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang mesti ditinggalkan di mana jika dilakukan akan berdosa.

4. Yang makruh; iaitu amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan yang digalakkan meninggalkannya iaitu diberi pahala kepada orang yang meninggalkannya (kerana Allah), namun tidak dikira berdosa jika dilakukan.

5. Yang mubah (harus); iaitu perbuatan-perbuatan atau amalan-amalan yang diserah kepada pilihan manusia samaada ingin melakukannya atau meninggalkannya di mana sebarang pilihannya tidak akan membawa implikasi dosa atau pahala.

Tidak ada perbuatan mukallaf dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya melainkan tertakluk dengan salah satudari hukum lima di atas.

Apa makna mukallaf? Siapakah yang dikatakan sebagai mukallaf?

Mukallaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif Syarak (yakni tuntutan dan kewajipan Syarak). Orang yang mukallaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perbuatan dan perlakuannya tertakluk dengan hukum yang telah ditetapkan oleh agama sama ada wajib, haram, harus dan sebagainya tadi. Syarat-syarat mukallaf ialah:

1. Telah sampai umur (yakni baligh)

2. Memiliki akal yang waras

3. Sampai dakwah kepadanya

4. Sempurna deria (alat menerima ilmu), iaitu penglihatan atau pendengaran.

(Tuhfah al-Murid, Ibrahim al-Baijuri, m.s. 19).

Siapakah orang-orang yang terkeluar dari kelompok mukallaf?

Dari takrif dan syarat-syarat mukallaf tadi, terkeluar dari kelompok mukallaf:

1. Kanak-kanak yang belum baligh. Kanak-kanak yang mati sebelum baligh, ia akan selamat (dari siksaan Allah) sekalipun anak-anak orang kafir.

2. Orang gila atau tidak siuman

3. Orang-orang yang tidak sampai dakwah kepadanya termasuklah ahlul-fatrah iaitu orang-orang yang hidup di antara zaman pengutusan Rasul (*yakni mereka jauh dari Rasul yang terdahulu dan tidak berkesempatan dengan Rasul yang bakal datang) atau hidup di zaman Rasul yang bukan diutuskan kepada mereka. Mereka akan selamat dari siksaan Allah kerana tidak sampai dakwah kepada mereka.

4. Orang yang lahir dalam keadaan buta dan juga pekak

(Tuhfah al-Murid, Ibrahim al-Baijuri, m.s. 19).

Apa cabang-cabang ilmu yang terkandung dalam ilmu Fiqh?

Kebanyakan fuqahak terdulu membahagikan ilmu fiqh kepada empat cabang besar;

1. Ibadat; hukum-hakam ibadat

2. Muamalat; hukum-hakam harta

3. Munakahat; hukum-hakam keluarga

4. 'Uqubat; hukum-hakam jenayah

Adapun para ulamak hari, mereka biasa membahagikan ilmu fiqh kepada dua cabang besar, iaitu; 

1. Ibadah; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan. Ia merangkumi ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

2. Mu'amalat; iaitu hukum-hakam yang menyentuh hubungan manusia sesama manusia. Cabang mu’amalat ini pula merangkumi pula bidang-bidang berikut;

a) Hukum-hakam tentang kekeluargaan yang merangkumi perkahwinan, perceraian, perwarisan, nafkah dan sebagainya.

b) Hukum-hakam tentang harta seperti jual-beli, sewa-menyewa, gadaian, jaminan dan sebagainya.

c) Hukum-hakam tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran negara merangkumi kewajipan melantik ketua negara, tanggungjawab ketua negara/pemimpin dan hak dan kewajipan rakyat/warga negara.

d) Hukum-hakam tentang kehakiman/pengadilan merangkumi membuat keputusan (al-qadha), pendakwaan, prinsip-prinsip hukuman, kesaksian, sumpah, keterangan dan sebagainya.

e) Hukum-hakam tentang ahli Zimmah (orang bukan Islam yang mendiami dalam negara Islam) merangkumi hak-hak dan tanggungjawab mereka terhadap negara dan sebagainya.

f) Hukum-hakam tentang hubungan antarabangsa merangkumi hubungan negara Islam dengan negara-negara luar di masa damai atau ketika perang.

g) Hukum-hakam tentang kewangan negara merangkumi sumber-sumber pendapatan negara dan perbelanjaan-perbelanjaannya.

h) Hukum-hakam tentang jenayah dan hukuman; merangkumi penetapan perkara-perkara yang terlarang dan hukuman-hukumannnya, cara-cara menetapkan/mensabit kesalahan-kesalahan jenayah dan perlaksanaan hukuman terhadapnya.

Apakah sumber-sumber ilmu fiqh?

Sumber-sumber ilmu Fiqh bermaksud dalil-dalil yang menjadi sandaran ahli-ahli fiqh (yakni faqih atau mujtahid) dalam mengeluar hukum-hakam fiqh. Ia terdiri dari sumber-sumber asal dan sumber-sumber sokongan. Sumber asal bagi ilmu fiqh ada dua sahaja iaitu;

1. Al-Quran
2. Al-Sunnah

Sumber-sumber sokongan bermaksud dalil-dalil tambahan yang membantu ahli-ahli Fiqh untuk mengeluarkan hukum-hakam Fiqh menepati prinsip sumber asal di atas (al-Quran dan al-Sunnah). Ia terdiri dari;

1. Ijmak; iaitu persepakatan para ulamak mujtahidin

2. Qiyas; iaitu menyamakan hukum antara masalah baru (yang tidak ada nas tentangnya) kepada masalah asal (yang ada nas tentangnya) jika terdapat persamaan 'illah (punca hukum).

3. Istishab; iaitu mengekalkan hukum mengikut sedia adanya selagi tiada dalil mengubahnya

4. Masalih mursalah; iaitu mengambil kira maslahah dalam penetapan hukum sekalipun masalah tersebut bersifat terbuka (yakni tiada nas menegaskannya atau membatalkannya).

5. Istihsan; iaitu mengecualikan suatu masalah/kes tertentu dari hukum asalnya yang umum kerana suatu dalil yang diyakini mujtahid yang menuntut pengecualian tersebut.

6. 'Uruf; iaitu menetapkan hukum dengan mengambil kira kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat selama bukan berupa uruf yang fasid (yakni yang menyalahi nas atau maqasid Syariah).

7. Syari'at terdahulu; iaitu hukum yang ditetapkan Allah untuk umat terdahulu yang diturunkan melalui Rasul-Rasul mereka

8. Qaul sahabat; iaitu memutuskan hukum berdasarkan ijtihad atau pandangan yang dinaqalkan dari sahabat Nabi SAW

9. Sadd al-Zari'ah; iaitu memutuskan hukum dengan mengambil kira keperluan menutup jalan kepada kefasadan atau kemudaratan.

(al-Wajiz Fi Ushul al-Fiqh, Syeikh Abdul Karim Zaidan).  

Rujukan;

(1) al-Wajiz Fi Ushul al-Fiqh, Abdul Karim Zaidan.

(2) 'Ilm Ushul al-Fiqh, Abdul Wahhab Khallaf.

(3) Tuhfah al-Murid 'Ala Jauharah al-Tauhid, Syeikh Ibrahim al-Baijuri.

SIRI BERIKUTNYA; AHLI-AHLI FIQH