Laman Info Agama Anda

HUKUM BEKAS, PERKAKAS, SAMAKAN KULIT & BEKAS ORANG KAFIR

FIQH AL-KITAB WA AL-SUNNAH (MAZHAB SYAFIIE)

KITAB; AL-TOHARAH (3)

TAJUK; HUKUM BEKAS & PERKAKAS

Apakah syarat-syarat bekas yang hendak digunakan?

Ada dua syarat;

  1. Bekas itu tidak najis
  2. Bekas itu hendaklah harus digunakan, yakni tidak ditegah oleh Syarak menggunakannya.

(AL-Wajiz, al-Zuhaili, 1/27).

Apa contoh bekas yang najis?

Contohnya ialah; 

  1. Bekas dari kulit bangkai yang tidak disamak
  2. Bekas yang terkena najis

(al-Wajiz, 1/27).

Apa hukum menggunakan bekas yang bernajis?

Tertakluk kepada tiga hukum berikut;

(1) Haram; bagi isian benda basah atau cecair (selain air) sekalipun kapasiti bekas adalah besar (melebih dua kolah), dan bagi isian air jika kapasiti bekas adalah kecil (kurang dua kolah), kerana dalam situasi tersebut bekas bernajis itu akan menajisi isian di dalamnya.

(2) Makruh; bagi isian yang kering dan bekas juga dalam keadaan kering

(3) Harus; bagi isian air jika kapasiti bekas adalah besar dan kuatiti air juga banyak (melebihi dua kolah).

(Mughni al-Muhtaj, 1/45. Bidayah al-Muhtaj, 1/115).

Apa yang perlu dilakukan supaya bekas bernajis itu suci dan boleh digunakan?

Jika kulit bangkai, ia menjadi suci dengan disamak (Kifayatul Akhyar, 18), berdalilkan sabda Nabi SAW; 

إِذَا دُبِغَ الْإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

“Jika kulit telah disamak, maka menjadi suci lah ia” (HR Muslim. Bulughul Maram; 16).

Jika bekas terkena najis, hendaklah dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan (al-Wajiz, 1/27). Abi Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; aku pernah bertanya Rasulullah SAW; ‘Ya Rasulullah, kami berada di negeri Ahli Kitab. Adakah harus kami makan dengan bekas mereka? Nabi menjawab; 

لَا ‌تَأكُلُوا فِيهَا إِلَاّ أَنْ لَا تَجِدُوا غَيْرَهَا، فَاغْسِلُوهَا، وَكُلُوا فِيهَا

“Jangan kamu makan dalam bekas mereka, kecuali jika kamu tidak menemui bekas yang lain, maka basuhlah bekas itu dan makanlah di dalamnya’ (HR al-Bukhari dan Muslim. Bulughul-Maram; 19)

Dalam hadis ini Nabi SAW membenarkan sahabat menggunakan bekas orang kafir, namun setelah dibersihkan terlebih dahulu. Menurut ulamak, arahan Nabi agar bekas dibersihkan terlebih dahulu kerana ada kemungkinan bekas mereka diisi dengan najis (seperti arak, daging babi atau sebagainya) kerana gaya kehidupan mereka tidak menjaga dari najis (Ibanah al-Ahkam, 1/44).

SAMAKAN KULIT BANGKAI

Apa maksud bangkai?

Bangkai ialah haiwan yang mati tanpa di sembelih mengikut Syarak (al-Mufradaat, 782. Mughni al-Muhtaj, 1/112). Termasuk bangkai ialah haiwan yang haram dimakan dagingnya apabila ia mati sekalipun disembelih (Mughni al-Muhtaj, 1/112). Hukum bangkai adalah najis, kecuali bangkai ikan dan belalang serta mayat manusia (Mughni al-Muhtaj, 1/112). Walaupun bangkai najis, namun kulitnya dapat menjadi suci setelah disamak berdalilkan hadis tadi.

Apakah semua kulit haiwan dapat menjadi suci dengan samakan?

Dikecualikan kulit anjing dan babi serta yang lahir dari salah satu dari keduanya. Adapun kulit-kulit haiwan yang lain akan menjadi suci dengan samakan termasuk haiwan-haiwan yang tidak halal dagingnya (Syarh Soheh Muslim, 2/58).

Apa maksud samakan?

Maksud samak ialah membersihkan kulit dengan membuang segala lendiran yang boleh merosakkannya dengan menggunakan bahan-bahan penanggal atau penghakis. Kulit dianggap telah disamak dengan berlakunya tiga perkara;

(1) Lebihan-lebihan selain kulit telah tertanggal

(2) Kulit itu sendiri telah menjadi elok

(3) Jika kulit direndak ke dalam air, ia tidak kembali rosak dan busuk.

(Kifayatul Akhyar, 18).

Apakah bahan yang boleh digunakan untuk menyamak kulit?

Iaitu dengan bahan yang bersifat menghakis; iaitu bahan-bahan seperti kapur, tahi burung merpati, serbuk pencuci atau bahan kimia tertentu yang bersifat tajam dan menghakis. 

Maimunah RA menceritakan; Nabi SAW terserempak dengan beberapa orang sahabat yang sedang menarik satu bangkai kambing, lalu baginda berkata; “Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya?”. Mereka menjawab; “Ia bangkai, ya Rasulullah SAW”. Lalu baginda berkata;

يُطَهِّرُهَا الْمَاءُ ‌وَالْقَرَظُ

“Ia dapat disucikan dengan air bersama al-qaradz” (HR Abu Daud dan al-Nasai. Bulughul Maram; 18). 

Al-Qaradz ialah sejenis tumbuhan yang bijinya digunakan untuk menyamak kulit (al-Nuri & al-Maliki, 1/43). Menurut Imam al-Nawawi, penyucian secara samakan boleh dengan menggunakan sebarang bahan yang dapat menanggalkan lebihan-lebihan (daging, darah dan lendiran) pada kulit dan menggelokkan kulit, serta menghalang berlaku kerosakan kulit, contohnya dengan menggunakan syatt (شت), syabb (شب) (tawas), qaradz, kulit delima dan seumpamanya dari bahan-bahan pencuci. Tidak memadai dengan menggunakan tanah atau abu atau garam sahaja. Termasuk yang boleh digunakan ialah bahan penyuci yang bersifat najis seperti tahi burung merpati, tawas bernajis dan sebagainya, namun hendaklah disucikan setelah selesai samakan (Syarah Soheh Muslim, 4/59).

Adakah bulu pada kult bangkai turut menjadi suci dengan samakan itu?

Tidak menjadi suci, kerana samakan hanya memberi kesan menyucikan kepada kulit sahaja sebagaimana yang dapat difahami dari hadis (Syarah Soheh Muslim, 4/60).

BEKAS YANG DIHARAMKAN SYARAK

Apakah bekas yang dilarang oleh Syarak?

Dua jenis bekas;

(1) Bekas yang diperbuat dari emas atau perak

(2) Bekas yang dirampas dari orang lain

(Mughni al-Muhtaj, 1/45. Bidayah al-Muhtaj, 1/115. Kifayah al-Akhyar, 19).

Apa dalil pengharaman bekas emas dan perak?

Iaitu hadis dari Huzaifah bin al-Yaman RA yang menceritakan; Nabi SAW bersabda; 

لَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ والْفِضَّةِ، وَلَا تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا، فَإِنَّهَا لَهُمْ فِي الدُّنْيَا، وَلَكُمْ فِي الْآخِرَةِ

“Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (HR al-Bukhari dan Muslim. Bulughul Maram; 14). 

Walaupun hadis di atas hanya menyebutkan makan dan minum, dikiaskan kepadanya segala bentuk penggunaan yang lain. Menurut Imam an-Nawawi; para ulamak mazhab Syafiie berkata; para ulamak yang diambil kira pandangan mereka telah mensepakati bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak untuk makan, minum dan segala bentuk penggunaan yang lain seperti bekas untuk bersuci, sudu dan sebagainya, kepada lelaki dan juga wanita, sama ada bekas/perkakas itu kecil atau besar (Syarh Soheh Muslim, 14/32. Kifayatul Akhyar, 19).

Adakah pengharaman alat-alat perkakas dari emas dan perak itu turut diharamkan ke atas wanita?

Ya, kaum wanita turut diharamkan menggunakan perkakas emas dan perak. Maka diharamkan bekas celak, batang celak dan sebagainya yang dibuat dari emas dan perak walaupun digunakan kaum wanita sekalipun bekas/perkakas itu kecil.  Yang berbeza antara mereka dan kaum lelaki ialah pada perhiasan yang dipakainya untuk berhias kepada suami atau tuannya (Syarh Soheh Muslim, 14/32. Kifayatul Akhyar, 20).

Jam dan pen dari emas, adakah turut diharamkan?

Ya, turut termasuk dalam pengharaman kerana ia juga perkakas (Majid al-Hamawi, 28).

Jika perkakas emas dan perak itu dijadikan hiasan rumah, kediaman, kedai, majlis-majlis atau sebagainya, apakah turut diharamkan?

Ya, turut diharamkan, kerana semua yang diharamkan dari asalnya (yakni dari pembuatannya), maka memandang kepadanya juga haram (Syarh Soheh Muslim, 14/32. Kifayatul Akhyar, 20).

Jika perkakas dari emas dan perak itu dibuat untuk disimpan tanpa menggunakannya, apa hukumnya?

Juga haram, kerana setiap yang haram digunakan, haram juga disimpan sama seperti alat-alat bunyian yang melalaikan (Syarh Soheh Muslim, 14/33. Kifayatul-Akhyar, 20). Selain itu, menyimpannya akan mendorong kepada menggunakannya (Majid al-Hamawi, 28).

Jika seseorang mengambil upah membuatnya sahaja, adakah dibolehkan?

Tidak harus bagi seorang penempa menempa perkakas yang dilarang Syarak. Jika dia membuatnya, dia tidak berhak menuntut upah kerana pekerjaannya itu adalah maksiat (Kifayatul Akhyar, 20).

Adakah wudhuk atau mandi dengan air dari bekas emas dan perak akan terbatal?

Tidak batal, akan tetapi berdosa. Maksudnya, orang yang mengambil wudhuk menggunakan bekas dari emas dan perak itu wudhuknya sah, namun perbuatan tersebut adalah maksiat (Syarh Soheh Muslim, 14/33. Kifayatul Akhyar, 20). 

Hukum tersebut sama seperti orang yang makan dalam bekas emas dan perak, makanan dalam bekas tersebut tidaklah haram, hanya perbuatan makan menggunakan bekas emas/perak itu yang haram dan berdosa (Syarh Soheh Muslim, 14/33).

Begitu juga, berjual-beli bekas/perkakas dari emas atau perak adalah sah kerana ia boleh dimanfaat iaitu dengan meleburkannya. Namun jika untuk disimpan perbuatan tersebut adalah berdosa (Syarh Soheh Muslim, 14/33).

Bagaimana jika bekas/perkakas emas atau perak itu terpaksa digunakan?

Jika terpaksa digunakan -seperti tidak ditemui bekas lain selain bekas emas atau perak- harus menggunakannya tanpa ada khilaf di kalangan ulamak, sebagaimana harus memakan bangkai ketika darurat (Syarh Soheh Muslim, 14/33).

Bagaimana dengan bekas yang disadur dengan emas dan perak; adakah turut haram menggunanya?

Jika saduran itu banyak/tebal di mana ia boleh dipisahkan dari perkakas apabila didedahkan kepada api, haram menggunakan perkakas tersebut kerana ia masih berada dalam pengertian menggunakan bekas emas dan perak. Adapun saduran yang sedikit yang tidak boleh dipisahkan, tidak haram menggunakannya (Kifayatul Akhyar, 20. Fathul Qarieb al-Mujib, 29).

Jika bekas pecah, lalu ditampung dengan emas atau perak, adakah harus menggunakannya?

Jika tampungan dengan emas, diharamkan menggunakannya sama ada tampungan besar atau kecil, kerana keperluan atau perhiasan. Adapun jika tampungan dengan perak, harus menggunakan bekas/perkakas terbabit jika ia sekadar tampungan, kerana ada keperluan (bukan bertujuan perhiasan) dan kadarnya sedikit sahaja. 

Lebih terperinci, hukum tampungan dengan emas adalah haram keseluruhannya. Adapun tampungan dengan perak ada tiga hukum;

  1. Haram, jika kadar tampungan adalah besar dan bertujuan perhiasan (bukan keperluan),
  2. Makruh; jika kadar tampungan adalah besar dan bertujuan keperluan (bukan kerana perhiasan) atau kadar tampungan kecil, tetapi untuk tujuan perhiasan (bukan keperluan).
  3. Harus; jika kadar tampungan kecil dan bertujuan keperluan.

(Bassam ‘Abdul Wahab al-Jabi, nota kaki no. 2 dan 3, m.s. 25. Fathul Qarieb al-Mujib, 29). 

Apa dalil keharusan menampung bekas dengan perak?

Iaitu hadis dari Anas RA yang menceritakan; 

أَنَّ قَدَحَ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - انْكَسَرَ، فَاتَّخَذَ مَكَانَ الشَّعْبِ سِلْسِلَةً مِنْ فِضَّةٍ

“Bekas/mangkuk milik Nabi SAW telah pecah, lalu baginda menampung tempat pecah itu dengan perak” (HR Imam al-Bukhari. Bulughul Maram; 21).

Bagaimana pula jika bekas atau perkakas di buat dari bahan-bahan berharga yang lain seperti dari permata, zamrud dan sebagainya, adakah turut diharamkan?

Bekas atau perkakas yang dibuat dari logam-logam atau bahan-bahan lain selain emas dan perak harus menggunakannya kerana tiada larangan dari Syarak, maka ia kekal di atas hukum asalnya iaitu harus. Hukum asal bagi semua benda di dunia adalah harus selama tidak ada dalil Syarak melarangnya (Tuhfah al-Labib, 1/108). 

Namun jika bekas atau perkas dibuat dari batu-batu berharga seperti delima, zamrud dan sebagainya, terdapat di kalangan fuqahak mazhab Syafiie sendiri. Terdapat fuqahak mengharamkannya kerana illah bagi pengharaman bekas emas dan perak turut terdapat padanya iaitu berbangga-bangga, pembaziran dan menyakitkan hati fakir miskin. Namun yang rajih dalam mazhab Syafiie ialah tidak haram menggunakannya (Tuhfah al-Labib, 1/109. Kifayah al-Akhyar, 20). 

Adapun bekas/perkakas diperbuat dari kaca yang mahal, harus menggunakannya dengan ijmak ulamak Syarh Soheh Muslim, 14/33). Begitu juga jika yang mahal itu adalah pembuatannya, bukan bahan/materialnya, harus menggunakannya tanpa khilaf (Kifayah al-Akhyar, 20).

HUKUM MENGGUNAKAN BEKAS ORANG KAFIR

Adakah harus menggunakan bekas orang kafir?

Harus menggunakan bekas dan pakaian orang kafir jika bersih, yakni tidak nampak tanda najis padanya (al-Tahzib, 1/213). Keharusan ini berdalilkan hadis dari ‘Imran bin Hushain r.a. yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم - وَأَصْحَابَهُ تَوَضَّئُوا مِنْ مَزَادَةِ امْرَأَةٍ مُشْرِكَةٍ 

“Nabi saw dan para sahabat (dlam satu perjalanan) pernah mengambil wudhuk dengan air dari bekas kulit milik seorang wanita musyrik” (HR al-Bukhari dan Muslim. Bulughul Maram; 20).

Namun dimakruhkan menggunakan bekas mereka jika diketahui bahawa bekas itu pernah digunakan mereka untuk mengisi atau memasak najis seperti mengisi arak, memasak babi atau sebagainya, kecualilah jika terpaksa maka haruslah digunakan –tanpa makruh- dengan syarat dibasuh terlebih dahulu (al-Tahzib, 1/213. Syarah Soheh Muslim, 13/86). Hukum ini berdalilkan hadis Abi Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; aku pernah bertanya Rasulullah SAW; ‘Ya Rasulullah, kami berada di negeri Ahli Kitab. Adakah harus kami makan dengan bekas mereka? Nabi menjawab; 

لَا ‌تَأكُلُوا فِيهَا إِلَاّ أَنْ لَا تَجِدُوا غَيْرَهَا، فَاغْسِلُوهَا، وَكُلُوا فِيهَا

“Jangan kamu makan dalam bekas mereka, kecuali jika kamu tidak menemui bekas yang lain, maka basuhlah bekas itu dan makanlah di dalamnya’ (HR al-Bukhari dan Muslim. Bulughul-Maram; 19).

Jika berlaku keraguan pada bekas yang pernah digunakan orang orang kafir -apakah suci atau tidak?, apakah pernah digunakan untuk mengisi najis atau tidak?- hukumnya adalah suci kerana asal bagi semua bendi di muka bumi ini adalah suci, maka hukum asal ini tidak hilang dengan kerana wujud keraguan (Taudhih al-Ahkam, 1/103). Namun demikian, jika dapat dicari bekas lain, itu yang sebaiknya, kerana menurut ulamak; bekas orang kafir walaupun harus digunakan (ketika tidak nampak sebarang tanda najis padanya), namun makruh digunakan kecuali ketika ketiadaan bekas lain (maka tidaklah makruh) iaitu berdalilkan hadis Abi Tsa’labah tadi dan juga kerana menjadi tabiat orang kafir tidak menjauhi najis (al-Muhazzab, 1/64. Anwar al-Masalik, 8). Hukum yang sama juga bagi bekas milik orang Islam yang diketahui tabiatnya tidak ambil kisah tentang najis seperti peminum arak tegar (Anwar al-Masalik, 8).

Jika kita ragu-ragu adakah satu bekas itu bersih atau tidak dan tidak ada sebarang tanda najis padanya, apa hukumnya?

Harus kita menggunakannya tanpa perlu menyucikannya. Secara umumnya, kedudukan bekas –dari segi suci atau tidaknya- merangkumi tiga keadaan;

  1. Bekas yang kita yakin akan sucinya; hukum bekas ini adalah suci dan harus kita gunakannya untuk mengambil wudhuk, mandi dan sebagainya.
  2. Bekas yang kita yakin akan kenajisannya, hukum bekas ini adalah najis, tidak harus kita gunakan untuk bersuci melainkan dibasuh terlebih dahulu.
  3. Bekas yang kita ragu-ragu (yakni kita tidak tahu sama ada ia suci atau najis); hukumnya ialah merujuk kepada asalnya iaitu suci. Hukum asal setiap benda yang ada di alam ini adalah suci hinggalah terbukti najisnya barulah dikira najis atau bernajis.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries