Laman Info Agama Anda

PERBAHASAN TENTANG KHUSYUK SOLAT

PERBAHASAN TENTANG KHUSYUK SOLAT

Khusyuk adalah kalimah yang asalnya dari bahasa Arab “الخشوع” yang memberi maksud tenang, diam dan merendah diri. Menurut takrifan ulamak, makna khusyuk adalah seperti berikut;

(1) Imam al-Asfahani menyamakan khusyuk (الخشوع) dengan dhara’ (الضراعة) iaitu menampilkan kerendahan diri/hati, cuma menurut beliau, khusyuk lebih kepada penampilan anggota-anggota, sedang dhara’ pula merujuk kepada hati, yakni sebagaimana diriwayatkan;

إِذَا ضَرَعَ الْقَلْبُ خَشَعَتِ الْجَوَارِحُ.

“JIka hati merendah, akan khusyuklah sekelian anggota”.

(2) Imam al-Qurtubi berkata; khusyuk ialah keadaan yang berpunca dari dalam jiwa, lalu terzahir pada anggota-anggota berupa diam, tenang dan merendah diri.

(3) Imam Qatadah pula mendefinisikan khusuk dalam hati sebagai, ketakutan dan menjaga pandangan ketika solat.

Menurut Abu Hilal al-’Askari; khusyuk tidak datang dengan dibuat-buat, akan tetapi datang dari perasaan takut dalam diri kepada zat yang ditujukan khusyuk kepadanya.

Apakah khusyuk dalam solat suatu kewajipan?

Para fuqahak berbeza pandangan tentang hukum khusyuk di dalam solat, apakah ia wajib atau sunat atau hanya penyempurna solat sahaja?

Pandangan pertama

Menurut jumhur (majoriti) fuqahak, khusyuk tergolong dalam perkara-perkara sunat di dalam solat, bukan rukun, kerana rata-rata ulamak menyatakan bahawa, orang yang masih memikirkan hal duniawi ketika sedang mengerjakan solat, solatnya masih sah -tidak batal- selama dia menjaga perbuatan-perbuatan zahirnya (jangan menyalahi solat). Tidak ada ulamak memfatwakan solatnya batal semata-mata kerana hadir perkara duniawi dalam mindanya.

Maka berdasarkan pandangan jumhur ini, disunatkan kepada orang yang mengerjakan solat untuk khusyuk di dalam solat merangkumi khusyuk hati dan juga khusyuk anggota tubuhnya, iaitu dengan memelihara perkara-perkara berikut;

  1. Hati hanya menumpukan kepada solat, yakni membuang yang selain dari solat.
  2. Tidak bermain-main dengan sesuatu sama ada dengan tubuh sendiri (seperti mengusap-usap janggut, menggaru-garu dengan jari dan sebagainya) atau dengan selain tubuh (seperti membetul-betulkan selendang, serban atau sebagainya).
  3. Sifat khusyuk itu mesti merangkumi luaran dan dalaman, iaitu dengan menghadirkan dalam hati perasaan bahawa kita sedang berdiri di hadapan Raja dari segala raja, yang mengetahui segala rahsia dan tersembunyi, kita sedang bermunajat denganNya dan solat kita nanti akan dibentangkan di hadapanNya di akhirat nanti.
  4. Bacaan-bacaan dalam solat hendaklah dibaca dengan tadabbur (memerhati maknanya) kerana ia dapat menyempurnakan maksud khusyuk.
  5. Lapangkan hati dari segala kesibukan yang lain selain solat dan jangan membiarkan diri lalai dengan percakapan dalam diri yang tiada kena mengena dengan solat.

Berkata Imam Ibnu ‘Abidin (faqih mazhab Hanafi), ketahuilah bahawa menghadirkan hati ketika solat maknanya ialah melapangkan hati dari selain yang dilakukan kerana solat. 

Nas yang menjadi asas bagi tuntutan khusyuk di dalam solat ialah firman Allah;

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ، ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya” (Surah al-Mukminun, ayat 1 dan 2).

Saidina ‘Ali RA mentafsirkan khusyuk dalam ayat ini sebagai lunak hati (yakni hati merendah di hadapan Allah) dan menahan sekelian anggota (dari bermain-main semasa solat). 

Nabi SAW bersabda;

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ مُقْبِلٌ عَلَيْهِمَا بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

“Tidak ada seorang muslim yang mengambil wudhuk, lalu memperelokkan wudhuknya, kemudian dia bangun mengerjakan solat dua rakaat dengan menghadapkan hati dan wajahnya (kepada Allah) sepanjang dua rakaat itu melainkan akan tetaplah syurga untuknya” (Soheh Muslim, 1/209-210, dari ‘Uqbah bin ‘Amir RA, cet. al-Halabi).

Begitu juga, Abu Hurairah RA menceritakan; Nabi SAW melihat seorang lelaki bermain-main dengan janggutnya ketika sedang solat, lantas baginda bersabda;

لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا لَخَشَعَتْ جَوَارِحُهُ

“Jika hati orang ini khusyuk, nerscaya akan turut khusyuk sekelian anggotanya” (HR al-Hakim al-Tirmizi dalam Nawadir al-Usul sebagaimana dinyatakan Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghier. Al-Munawi menaqalkan dari al-’Iraqi; dalam sanadnya terdapat rawi yang disepakati lemahnya. Lihat Faidhul Qadier, 5/319, cet. al-Maktabah al-Tijariyah).

Abu Zar RA turut menceritakan; Nabi SAW bersabda;

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَإِنَّ الرَّحْمَةَ تُوَاجِهُهُ فَلاَ يَمْسَحُ الْحَصَى

“Apabila seseorang dari kamu bangun mengerjakan solat, rahmat Allah sedang mendepaninya, maka janganlah ia mengusap-usap batu (yakni bermain-main dengan batu ketika sedang solat)” (HR Abu Daud, 1/581, tahqiq; Izzat Ubaid Da’’as, dalam sanadnya terdapat perawi yang majhul).

Apabila seorang yang mengerjakan solat mengabaikan khusyuk dalam solatnya, solatnya masih sah mengikut pandangan jumhur, kerana Nabi SAW tidak menyuruh orang yang bermain dengan janggut tadi supaya mengulangi solatnya sekalipun hadis jelas menunjukkan ternafi khusyuk dari solatnya (kerana perbuatan tersebut). Selain itu, solat tidak batal dengan perbuatan hati sekalipun panjang/lama, cuma orang yang melakukannya telah melakukan perbuatan yang makruh dan tidak berhak mendapat pahala kerana Nabi SAW bersabda; 

 لَيْسَ لِلْعَبْدِ مِنْ صَلاَتِهِ إِلاَّ مَا عَقَل

“Tidak ada bagi seorang hamba pahala dari solatnya melainkan kadar yang diakalinya (yakni dilakukan dengan akal yang hadir)” (Dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’, 1/166, cet. al-Halabi. Berkata al-Iraqi; aku tidak menemuinya sebagai hadis yang marfu’. Ibnu al-Mubarak meriwayatkan dalam kitabnya al-Zuhdi hadis yang marfu’ kepada Ammar RA yang lafaznya (لا يكتب للرجل من صلاته ما سهي); tidak ditulis pahala dari solatnya perbuatan yang dilakukannya dengan lalai)).

Pandangan kedua

Sebahagian fuqahak dari kalangan keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali berpandangan, khusyuk merupakan kemestian dalam solat. Namun sesama mereka tidak sekata dalam menentukan status kemestian itu;

  1. Ada berpandangan, ia adalah wajib/fardhu, namun tidaklah membatalkan solat dengan meninggalkannya kerana dimaafkan Allah.
  2. Ada pula berpandangan, ia adalah fardhu dan batal solat dengan meninggalkannya sebagaimana meninggalkan perbuatan-perbuatan fardhu yang lain di dalam solat.
  3. Ada juga ulamak berkata, khusyuk adalah syarat bagi sahnya solat, namun tidaklah disyaratkan pada sepanjang solat, akan tetapi pada sebahagiannya. Maksud pandangan ini ialah, wajib terdapat khusyuk pada satu bahagian solat sekalipun bahagian-bahagian lainnya tidak terdapat khusyuk. Ada ulamak membataskan sekurang-kurang khusyuk itu ketika takbiratul ihram.

Imam al-Qurtubi menyebutkan, adakalanya penampilan khusyuk itu tercela iaitu seorang yang berbuat-buat khusyuk di hadapan orang ramai dengan menunduk-nunduk kepalanya dan menangis-nangis, iaitu sebagaimana perlakuan orang-orang jahil yang melakukannya untuk mendapat perhatian orang ramai agar dilihat sebagai orang baik dan dihormati. Itu semua merupakan tipudaya dari syaitan dan dorongan nafsu manusia.

Rujukan; terjemahan bebas dari AL-MAUSU’AH AL-FIQHIYYAH AL-KUWAITIYYAH, 19/116, subjek “خشوع”.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries