Laman Info Agama Anda

BIOGRAFI IMAM AL-SYAFIIE & MURID-MURID UTAMANYA

Imam al-Syafiie

Beliau ialah Muhammad bin Idris bin al-’Abbas bin ‘Usman bin al-Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hashim bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf. ‘Abd Manaf adalah datuk Nabi Muhamad SAW, maka nasab beliau bertemu dengan nasab Nabi Muhammad SAW pada ‘Abd Manaf. Al-Syafi’ bin al-Saib (salah seorang leluhur Imam al-Syafiie dalam nasab tersebut) sempat dengan Nabi SAW ketika kecilnya. Bapa al-Syafi’ (iaitu al-Saib) memeluk Islam pada hari peperangan Badar. 

Imam al-Syafiie lahir pada tahun 204 hijrah di Ghazzah atau ‘Asqalan (kedua-duanya dalam wilayah Syam, dua marhalah dari Baitil Maqdis), kemudian ketika berumur dua tahun dibawa ke Mekah. Membesar di Mekah dan tamat menghafal al-Quran ketika berusia 7 tahun, kemudian berguru dengan mufti Mekah Imam Muslim bin Khalid hingga diberi restu untuk memberi fatwa oleh gurunya itu ketika usianya baru mencecah 15 tahun.

Kemudian Imam al-Syfiie berhijrah ke Madinah untuk berguru dengan Imam Malik bin Anas RA. Beliau setia bersama gurunya itu hingga wafatnya (tahun 179 hirah).  Setelah itu beliau kembali ke Mekah. Kemudian beliau ke Yaman dan menjadi hakim/qadhi di situ. Namun tidak kekal dengan jawatan itu, beliau kembali ke medan ilmu dan berhijrah ke Baghdad.

Sebanyak tiga kali Imam al-Syafiie mengunjungi Baghdad. Kali pertama tahun 184 hijrah (ketika usianya 34 tahun), untuk menuntut illmu di sana khususnya dari Imam Muhammad bin al-Hasan (salah seorang murid utama Imam Abu Hanifah, wafat tahun 189 hijrah). Setelah dua tahun di Baghdad, beliau pulang ke Mekah, membuka halaqah ilmu, mengajar fiqh dengan pendekatan baru yang menggabungkan fiqh ahli Madinah (Imam Malik) dan fiqh ahli Iraq (Imam Abu Hanifah). Keilmuannya mula tersebar dan beliau dikunjungi para ulamak dan penuntut ilmu terutama pada musim haji untuk menimba ilmu dan fiqh darinya.

Setelah sembilan tahun, beliau memutuskan untuk berhijrah semula ke Baghdad. Beliau tiba di Baghdad untuk kali ke dua pada tahun 195 hijrah. Kali ini kunjungannya bukan lagi untuk menuntut ilmu, tetapi membuka halaqah ilmu. Kerana keistimewaannya dan juga pendekatan fiqh barunya tadi, halaqahnya dikunjungi para ulamak untuk mempelajari fiqh darinya serta menyemak pandangan-pandangan mereka. 

Ketika di Baghdad itu beliau mula mengarang kitab-kitab mazhab qadimnya, antaranya kitab bernama al-Hujjah (كتاب الحجة). Di antara murid-muridnya yang meriwayatkan kitab ini ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsaur, al-Za’farani dan al-Karabisi. Riwayat yang paling rapi ialah oleh al-Za’farani. Di Baghdad juga beliau mengarang kitabnya yang terkenal iaitu al-Risalah (dalam bidang Usul Fiqh) atas permintaan ‘Abdurrahman bin Mahdi (seorang imam, penghafal hadis dan warak). 

Setelah dua tahun, beliau keluar ke Mekah untuk menunaikan haji, kemudian kembali semula ke Baghdad pada tahun 198 hijrah. Namun tidak sampai dua bulan menetap di Baghdad bagi kali ketiga beliau mengambil keputusan berhijrah ke Mesir, iaitu setelah berlaku pembunuhan Imam Musa al-Kazim.

Imam al-Syafiie tiba di Mesir tahun 199 hijrah. Tradisi para ulamak, di mana sahaja mereka menetap, keutamaan mereka ialah menghidupkan halaqah ilmu. Sebagaimana di Baghdad, halaqah ilmu Imam al-Syafiie cepat tersebar dan dikunjungi bukan sahaja para ulamak dan penuntut ilmu di Mesir tetapi juga yang datang Syam, Yaman, Iraq dan serata pelusuk dunia Islam. Di Mesir beliau mengarang kitab-kitab mazhab jadidnya, paling masyhur kitabnya al-Umm. Beliau turut mengulang-tulis kitab usulnya tadi (al-Risalah). Murid-murid beliau yang terkenal di Mesir antaranya ialah al-Buwaiti, al-Muzani, al-Rabi’, al-Humaidi dan beberapa yang akan disebutkan selepas ini. Beliau kekal menetap tinggal di Mesir hingga akhir hayatnya pada tahun 204 hijrah. 

Murid-murid utama Imam al-Syafiie

1. Al-Humaidi (الحميدي); Abu Bakar Abdullah bin al-Zubair al-Qurasyi al-Makki.Asal orang Mekah. Mengembara mengikuti Imam Syafiie ke Baghdad, kemudian ke Mesir. Bila Imam Syafiie wafat dia kembali ke Mekah, mengajar di Mekah dan memberi fatwa. Wafat di Mekah pada  tahun 219 hijrah. 

2. Al-Buwaiti (البويطي); Abu Yaakub Yusuf bin Yahya al-Qurasyi. Murid Imam al-Syafiie paling utama dan penggantinya. Orang Mesir, namun wafat dalam penjara Baghdad pada tahun 231 hijrah kerana mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah dalam masalah al-Quran.

3. Ibnu Miqlash al-Khuza’ie (أبو مقلاص الخزاعي); Abu 'Ali Abdul Aziz bin Ayyub bin Miqlash (w 234 hijrah). Seorang faqih (ahli fekah) dan juga zahid (ahli zuhud). Asalnya bermazhab Imam Malik, namun sebaik Imam Syafiie tiba di Mesir beliau menjadi murid setia Imam Syafiie. Wafat tahun 234 hijrah.

4. Al-Muzani (المزني); Abu Ibrahim Ismail bin Yahya al-Misri. Orang Mesir. Salah seorang murid Imam Syafiie terunggul. Tidak hanya faqih, tetapi juga warak dan ahli zuhud. . Wafat di Mesir pada tahun 264 hijrah dan dikebumikan berhampiran gurunya Imam al-Syafiie.

5. Harmalah (حرملة); Abu Najib Harmalah bin Yahya al-Misri. Orang Mesir. Tidak hanya faqih, tetapi juga muhaddith (ahli hadis). Wafat tahun 243 hijrah.

6. Abu Tsaur (أبو ثور); Ibrahim bin Khalid al-Baghdadi. Orang Baghdad. Asalnya bermazhab Hanafi, namun apabila Imam Syafiie tiba di Baghdad dia menjadi murid setia Imam al-Syafiie. Namun ia tidak terikat dengan mazhab Syafiie, sebaliknya berdiri atas mazhab tersendiri, kerana itu tidak tergolong dalam Ashab al-Wujuh menurut Imam al-Rafiie. Wafat tahun 240 hijrah.

7. Al-Rabi' al-Muradi (الربيع المرادي); Abu Muhammad al-Rabi' bin Sulaiman bin ‘Abdil Jabbar. Seorang muazzin. Khadam Imam Syafiiie. Beliau adalah perawi kitab al-Umm dan kitab-kitab Imam al-Syafiie yang lain (bagi mazhab jadidnya). Kerana itu diia menjadi tumpuan para penuntut ilmu dari serata dunia Islam yang datang untuk meriwayatkan kitab-kitab Imam al-Syafiie darinya. Wafat tahun 270 hijrah,

8. Al-Rabi' al-Jizi (الربيع الجيزي); Abu Muhammad al-Rabi' bin Sulaiman al-Azdi (w 256 hijrah; Siyar A'lam al-Nubalak). Berasal dari kawasan Jizah, Mesir. Tidak banyak riwayatnya dari Imam al-Syafiie yang dinaqalkan dalam kitab-kitab mazhab Syafiie, berbeza dengan al-Rabi’ al-Muradi tadi, kerana dalam kitab-kitab mazhab Syafiie bila disebut nama al-Rabi’ sahaja, maka yang dimaksudkan ialah al-Muradi tadi. Al-Rabi’ al-Jizi wafat tahun 256 hijrah).

9. Al-Karabisi (الكرابيشي); Abu 'Ali al-Hasan bin 'Ali al-Baghdadi. Seorang faqih dan juga muhaddith (ahli hadis). Wafat tahun 245 hijrah.

10. Al-Za'farani (الزعفراني); Abu 'Ali al-Hasan bin Muhammad. Orang Baghdad, di daerah bernama Za’faranah. Imam dalam ilmu lughah (bahasa Arab). Merupakan perawi mazhab qadim Imam al-Syafiie paling tsabit (kukuh). Wafat tahun 249 hijrah. Namun ada pandangan lain berkata; tahun 260 hijrah.

11. Yunus al-Misri (يونس المصري); Abu Musa Yunus bin ‘Abdil A’la al-Sufi al-Misri. Orang Mesir. Wafat tahun 264 hijrah.

12. Musa bin Abi al-Jarud (موسى بن أبي الجارود); Abu al-Walid Musa bin Abi al-Jarud. Orang Mekah. Meriwayatkan dari Imam al-Syafiie hadis Nabi SAW, kitab al-Amali dan kitab-kitab Imam al-Syafiie yang lain. Memberi fatwa di Mekah mengikut mazhab Syafiie. Namun tidak ditemui tarikh wafatnya.

13. Muhammad bin ‘Abd al-Hakam (محمد بن عبد الحكم); Abi ‘Abdillah Muhammad bin Abdillah bin Abd al-Hakam al-Misri. Orang Mesir. Asalnya bermazhab Imam Malik mengikuti ayahnya yang juga seorang alim besar. Apabila Imam Syafiie tiba di Mesir, beliau menjadi murid Imam al-Syafiie, namun kemudiannya kembali menjadi ulamak mazhab Malik sebagaimana ayahnya. Wafat tahun 268 hijrah.

Rujukan;

  1. Tobaqaat al-Syafi’iyyah, Syeikh Abu Bakr Ibnu Hidayatullah, m.s. 187-192.
  2. Tahzib al-Asma wa al-Lughaat, Imam al-Nawawi, 1/67-70.
  3. al-Mamu’ syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi, 1/13-23.
  4. Al-Syafiie; hayatuhu wa ashruhu wa arauhu wa fiqhuhu, Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, m.s. 143.

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries