Laman Info Agama Anda

ULAMAK & KARYA

ZULKIFLI MUHAMMAD

Seorang tokoh yang menguasai banyak bidang. Dia adalah ahli politik, ulamak, sasterawan dan  juga pendidik. Mampu menulis dan berpidato dengan sangat baik. Namun oleh kerana keterampilan dalam politik melebihi bidang-bidang yang lain, maka dia lebih dikenali sebagai ahli politik oleh kebanyakan orang yang mengenalinya. 

 

 1. Kelahiran; dilahirkan pada tahun 1927 (22 Mac) bersamaan tahun 1345 (19 Ramadhan), di Kampung Kota Lama, Perak.

 2. Meninggal dunia; tahun 1964 (6 Mei) kerana kemalangan di Kuantan yang mengorbankan dia dan juga isterinya.

3. Pengajian;

a) Sekolah Melayu Parit Perak

b) Sekolah Agama Madrasah Aziziyah, Parit, Perak (hingga tahun 1937)

c) Sekolah Agama Idrisiyah, Perak (1943-1945)

d) Melanjutkan pelajaran ke Mesir (1947-1952); di dua universiti iaitu al-Azhar dan American Universiti. Kerana masalah kesihatan yang dihadapi, terpaksa beliau pulang ke tanah air pada tahun 1952 tanoa menamatkan pengajiannya.

 

4. Penglibatan dalam persatuan dan politik;

a) 1945-1947; terlibat dalam Pergerakan Perikatan Melayu Perak. Terlibat secara aktif menyampaikan ucapan dalam rapat-rapat umum menentang gahasan Malayan Union di sekitar Kuala Kangsar.

b) Yang DiPertua Persekutuan Putera-Putera Melayu Semenanjung di Mesir (1949 - 1950).

c) Penasihat Lembaga Pembangunan Satera (LEPAS)

d) Menyertai Kongres Pemuda Melayu di Kuala Lumpur (1955). Di akhir persidangan Dr Burhanudin Helmi dilantik sebagai Pengerusi Kongres, Ishak Haji Muhammad sebagai Nabi, Abdul Wahid Majid sebagai Setiausaha, Dato Onn Jaafar sebagai Bendahari. Zulkifli dilantik memegang Ketua Sesi Politik.

e) Penglibatan dalam UMNO

f) Menyertai PAS dan menjadi calon parti dalam pilihanraya tahun 1955, namun tewas.

g) 1959; sekali lagi menjadi calon pilihanraya dan memenanginya bagi kawasan Dewan Rakyat Bachok. 

h) 1964; sekali lagi memenangi pilihanraya bagi kawasan yang sama, namun tidak sempat menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana kemalangan jalanraya yang mengorbankannya dan isteri pada tanggal 25 April, tahun 1964.

 

5. Penglibatan dalam bidang pendidikan;

a) 1954; terlibat usaha-usaha awal penubuhan Kolej Islam Malaya

b) 1955; menjadi setiausaha Kolej Islam Malaya, sekaligus pensyarahnya 

c) 15 Julai 1957; mendapat anugerah Profesor Kehormat dari Universiti Saweigading, jakarta Indonesia.

d) 1959; meletak jawatan di Kolej Islam Malaya untuk terlibat secara aktif dalam politik

e) 1960-1961; menjadi Ahli Majlis Universiti Malaya

 

6. Penulisan;

a) Syariat dan Masyarakat

b) Beberapa Masalah Hidup Masyarakat

c) Cara Mendidik Umat Islam

d) Konsep Kebudayaan Dalam Islam

e) Falsafah Akhlak Dalam Islam

f) Pendidikan dan Mendidik

g) Perkembangan Bahasa Melayu

h) Peranan Kebudayaan

 

7. Kata-kata hikmah

 

"Dasar pendidikan ialah melatih hidup dan menggunakan otak bukan hanya mengingati (ilmu)" (m.s. 18).

 

"Bukan buku itu yang menjadi manusia itu manusia sebenar, tetapi hidupnya menggunakan panduan dan ruh buku itu" (m.s. 18)

 

"Orang Islam hari ini gembira dengan Islam, namun untuk hidup mereka mencari cara hidup dan ikhtiar yang lain, kerana bagi mereka agama adalah untuk hari kematian. Akibatnya mereka terikut-ikut dan terbawa-bawa dalam hidup dan bertambah bingung dari hari ke hari" (m.s. 63).

 

Rujukan;

1. ZULKIFLI MUHAMMAD; Pemikiran dan Perjuangan, Kamarudin Jaffar.

ABU MANSUR AL-BAGHDADI

ABU MANSUR ABDUL QAHIR BIN TOHIR AL-BAGHDADI (عبد القادر بن طاهر البغدادي) (wafat 429 hijrah)

1. Dikenali melalui karyanya al-Farqu Baina al-Firaq (الفرق بين الفرق), sebuah karya yang cuba menyenarai dan membahaskan 73 firqah (kelompok) umat Islam yang disebut dalam hadis bahawa 72 darinya terjerumus dalam kesesatan dan hanya satu sahaja yang selamat (فرقة ناجية). Menurut beliau, firqah yang selamat itu ialah Ahlussunnah wal Jamaah. Beliau menegaskan;

ان النبى عَلَيْهِ السَّلَام لما ذكر افْتِرَاق امته بعده ثَلَاثًا وَسبعين فرقة وَأخْبر ان فرقة وَاحِدَة مِنْهَا نَاجِية سُئِلَ عَن الْفرْقَة النَّاجِية وَعَن صفتهَا فَأَشَارَ الى الَّذين هم على مَا عَلَيْهِ هُوَ واصحابه ولسنا نجد الْيَوْم من فرق الامة من هم على مُوَافقَة الصَّحَابَة رضى الله عَنْهُم غير اهل السّنة وَالْجَمَاعَة من فُقَهَاء الامة ومتكلميهم الصفاتية دون الرافضة والقدرية والخوارج والجهمية والنجارية والمشبهة والغلاة والحلولية

"Sesungguhnya Nabi SAW tatkala menyebutkan perpecahan umatnya selepas kewafatannya kepada 73 firqah (puak) dan baginda memberitahu hanya satu puak sahaja darinya yang terselamat, lalu apabila ditanya tentang firqah yang selamat itu dan sifatnya, baginda menunjukkan kepada "orang-orang yang berada di atasnya dan sahabat-sahabatnya". Pada hari ini kita tidak menemui dari kalangan firqah-firqah umat yang ada yang menepati para sahabat melainkan Ahlus-Sunnah Wal Jamaah yang terdiri dari para fuqahak umat ini serta para ahli-ahli kalam mereka ...bukan firqah rafidhah (syiah), qadariyah, khawarij, jahmiyah, nijariyah, musyabbihah, ghulat dan hululiyah" (al-Farqu Baina al-Firaq, m.s. 304).

2. Abu Mansur dilahirkan di Baghdad dan membesar di situ, kemudian mengikuti bapanya berpindah ke daerah Khurasan dan menetap di Nisabur. Tidak hanya menekuni ilmu-ilmu agama, tetapi turut menekuni ilmu-ilmu keduniaan. Kerana itu, di samping mahir dalam ilmu kalam (teologi), hadis dan fiqh (perundangan Islam),  beliau turut menguasai matematik, aritmetik, pengiraan faraid dan sebagainya. Diceritakan semasa hayatnya beliau mengajar muridnya 17 bidang ilmu dan menjadi idola para penuntut ilmu di zamannya. Dari segi fiqh, beliau bermazhab Syafiie, bahkan tersenarai dalam tokoh-tokoh al-Syafiyyah (ulamak-ulamak mazhab Imam al-Syafiie).

3. Murid yang hebat datang dari guru yang hebat. Antara guru utamanya ialah Abi Ishaq al-Isfiraini (أبي أسحاق الإسفرييني) (wafat 418 hjrah) seorang tokoh ulamak yang cukup dikenali pada zaman itu (turut menghasilkan karya-karya besar, antaranya kitab (جامع الخلى في أصول الدين والرد على الملحدين) sebanyak 5 jilid).

4. Beliau meninggal di Isfirain (kota dalam daerah Khurasan, sekarang berada dalam negara Iran) pada tahun 429 hjrah dan dikebumikan di situ bersebelahan maqam gurunya Abu Ishaq al-Isfaraini tadi.

Rujukan;

(1) Siyar A'lam al-Nubalak, Imam al-Zahabi, 2/2315, no. 3086 (Biodata Imam Abu Mansur al-Baghdadi), dan 1/677, no. 122 (Biodata Imam Abu Ishaq al-Isfiraini).

(2) 66 Ilmuan Islam, Muhammad Hatta Selamat, m.s. 9.

IMAM IBNU KHALDUN

Beliau dikenali oleh para sarjana Barat sebagai tokoh sosiologi (ilmu kemasyarakatan). Namun di dunia Islam, beliau kurang dikenali oleh umat Islam sebagaimana mereka mengenali imam-imam yang lain seperti Imam-Imam mazhab empat, Imam al-Bukhari, Muslim dan sebagainya, kerana umat Islam lebih membuka  mata kepada ilmu-ilmu agama berbanding ilmu-ilmu keduniaan.

Sedangkan pada zaman kegemilangan tamadun Islam dahulu, ilmu-ilmu keduniaan yang memberi manfaat kepada agama dan umat (seperti thib/kedoktoran, falak/astronomi, siasah/politik, ijtima'ie/sosiologi dan sebagainya) diiktiraf sebagai cabang dari ilmu-ilmu agama (iaitu tergolong dalam ilmu fardhu kifayah).

Hari ini -kerana kealpaan umat Islam- ilmu-ilmu keduniaan telah terlepas dari penguasaan mereka. Mereka hanya menguasai ilmu wahyu dan keagamaan. Adapun ilmu-ilmu keduniaan dikuasai oleh Barat, Jepun, Korea dan China dan umat Islam hanya menumpang hasil kajian, penemuan dan teknologi mereka termasuk dalam memberi contoh i'jazil ilmi (mukjizat saintifik) dalam Quran dan alat-alat penyebaran dakwah Islam.

 

1. Nama penuh; Abdurrahman bin Muhammad bin Khaldun 

2. Kelahiran; lahir pada tahun 732 Hijrah, bersamaan 1333 Masihi di Kota Tunisia (Maghribi).

4. Mazhab Aqidah; Asya'irah.

5. Mazhab Feqah; Maliki

6. Tempat tinggal; dua fasa;

    a) Fasa pertama; tinggal di Tunisia dari mula kelahirannya hingga usianya 52 tahun (iaitu hingga tahun 784H/1382M) 

    b) Fasa kedua; berpindah ke Mesir dan tingga di sana hingga tarikh kewafatannya (tahun 808H/1406M), iaitu selama kira-          kira 24 tahun.

 

7. Kepakaran ilmu dan penguasaan bidang;

- Beliau merupakan seorang sarjana, ahli falsafah, sosiologi, pengembara, sejarawan, politikus, sasterawan, pemikir, administrator, di samping faqih mazhab Maliki dan ahli hadis.

 

8. Pengajian dan pendidikan; 

- Tunisia (Maghribi) pada zaman Ibnu Khaldun merupakan pusat kegiatan ilmu yang penting di Utara Afrika.  

- Selama 18 tahun beliau menuntut ilmu secara formal. Pengajian beliau bermula dengan al-Quran, bahasa Arab dan sasteranya. Diikuti dengan tafsir, hadis, feqah, sirah dan ilmu-ilmu agama lainnya. Setelah melengkapi diri dengan ilmu agama dan bahasa Arab pada usia 16 tahun, beliau mempelajari pula ilmu logik dan fasafah. Antara guru beliau ialah;

  a) Bapanya Muhammad yang menjadi guru pertamanya

  b) Muhammad bin Sa'd bin Burral; hafalan al-Quran

  c) Muhammad bin Sahr; sastera persajakan

  d) Syamsuddin Muhammad al-Jabir; hadis dan feqah

  e) 'Abd al-Salam al-Hawwari; hadis dan feqah

  f) Abdul Muhaimin; Sunnan Sittah, Muwatta' Malik, Tarikh Ibnu Ishaq dan lain-lain

  g) Dari usia 20 tahun, beliu mula bergiat dalam politik dan pentadbiran negara di Tunisia dan Andalusia hinggalah usianya            mencecah 50 tahun (iaitu sebelum berpindah ke Mesir). Pengalaman tersebut menjadi sumber penguasaan ilmunya dalam  bidang politik, pentadbiran dan kemasyarakatan (sosiologi).

 

9. Kerjaya di Tunisia;

- Ketika di Tunisia, beliau bergiat aktif dalam politik di mana jawatan yang pernah dijawatnya ialah;

  a) Sahib al-'Allamah kepada Sultan Abu Ishaq (1350M)

  b) Setiausaha kepada Sultan Abu 'Inan di Fez, Maghribi (1355M)

  c) Setiausaha Sulit kepada Sultan Abu Salim di Fez (1358M)

  d) Mengetuai delegasi Sultan Muhammad V Granada, untuk memeterai perjanjian damai dengan Pedro iaitu Pemerintah Kristian di Seville, Sepanyol (1362M).

  e) Perdana Menteri Sultan Abu Abdillah di Bougie (Algeria) (1365-1356M).

  f) Antara tahun 1366 dan 1372; kerjaya politik beliau agak tidak menentu.

  g) Ketika usianya di ambang 40an, beliau mula memberi tumpuan kepada bidang ilmiah dan penulisan.

  h) Dari tahun 1374 hingga 1382 beliau berhenti sepenuhnya dari semua jawatan politik dan pentadbiran dan beruzlah di Qal'at Ibnu Salamah dan kemudiannya di Tunisia. Ketika itu beliau mula menulis buku sejarahnya yang terkenal Kitab al-'Ibar. 

  i) Pada tahun 1377 M beliau menyiapkan karyanya paling unggul dan terkenal iaitu Muqaddimah yang diselesaikannya dalam tempoh lima bulan sahaja.

 

10. Kerjaya di Mesir

- Apabila berpindah ke Mesir (dari tahun 1382) kedatangannya diterima dengan baik oleh penduduk Mesir kerana mereka mengenali beliau melalui reputasi kerjaya dan karya-karya beliau terutamanya Muqaddimah. Turut mengiktiraf beliau ialah pemerintah Mesir ketika itu iaitu Sultan al-Zahir Barquq (1382 - 1399). Kegiatan beliau di Mesir ialah;

a)  Penasihat Hal Ehwal Maghribi bagi Sultan

b) Pensyarah dan profesor dalam bidang kepakarannya (iaitu falsafah, sosiologi, feqah dan hadis di beberapa insitusi pengajian di Mesir antaranya al-Azhar, Kolej Qamhiyya dan Kolej Barquqiyyah. Kegiatan ilmu dan pengajaran beliau diakui oleh tokoh pemikir dan sejarawan seperti al-Maqrizi (1442M) dan Ibnu Hajar al-'Asqalani (1449M).

c) Ketua Qadhi Mazhab Maliki (sebanyak enam kali, iaitu antara tahun 1384-1406). Pada zaman Dinasti Mamluk terdapat empat ketua Qadhi iaitu dari semua mazhab yang empat, namun mazhab resmi negara ialah Syafiie.

d) Tahun 1387; menjadi wakil Sultan Faraj ke Damascus

e) Tahun 1400-1401; menetap di Damascus, berjumpa dan berdialog dengan pemerintah Moghul, Timurlane.

 

11. Pengembaraan beliau

- Dalam karyanya Rehlah (Pengembaraan), beliau menceritakan pengembaraannya ke Andalusia, pulang semula ke Maghribi (Tunisia), kemudian menetap bersama keluarga Bani 'Arif (ketika ini beliau mengarang kitab Muqaddimah), kemudian mengembara ke Timur, memegang jawatan Qadhi di Mesir, perjalanan mengerjakan ibadah haji, menyertai rombongan Sultan ke Syam, pertemuan dengan Timurlane pemerintah Tatar (Moghul) dan tempat-tempat lain lagi.

 

11. Karya-karya

a) Kitab al-'Ibar; 7 jilid

b) Muqaddimah Ibnu Khaldun; merupakan kitabnya paling masyhur. Kitab ini sebenarnya pendahuluan kepada kitab al-'Ibar tadi, namun dalam penerbitan diterbitkan secara berasingan.

c) Rihlah Ibnu Khaldun

d) al-Khabar 'an Daulat al-Tatar

e) Bughyah al-Ruwwad fi Zikr al-Muluk min Bani al-Wad

f) Muzil al-Mulam 'am Hukkam al-Anam (tulisan beliau untuk para Qadhi)

g) Lubab al-Mahshal; kitab pertama dihasilkannya

h) Syifa al-Sa-il fi Tahqiq al-Masail; tentang tasawwuf

 

12. Kewafatan; beliau wafat di Mesir pada tahun 808H/1406 dalam usia 76 tahun dan dikebumikan di Babun Nasir, makam para ahli Sufi.

 

Rujukan;

1. Kompilasi Filsafat Islam, Thawil Akhyar Dasoeki

2. Falsafah Ibnu Khaldun, Ahmad Sunawari Long

3. 50 Ilmuan Tersohor, Shafie Abdul Rahman

4. Tokoh-Tokoh Kesarjanaan Sains Islam, Mahmood Zuhdi Ab. Majid

3. Rujukan web; https://mawdoo3.com (ابن خلدون)

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries