Laman Info Agama Anda

HANBAL BIN ABDILLAH (MENGEMBARA UNTUK KHIDMAT KEPADA NABI SAW)

HANBAL BIN ABDILLAH (حنبل بن عبد الله الواسطي البغدادي الرصافي)

1. Seorang ulamak hadis kurun ke 6 hijrah, mewakafkan dirinya untuk berkhidmat kepada Nabi SAW dengan meriwayatkan hadis-hadis baginda melalui pembacaan kitab-kitab hadis, terutamanya Musnad Imam Ahmad.

2. Nama penuh beliau; Hanbal bin Abdullah al-Wasiti al-Baghdadi al-Rasafi (الرصافي). Lahir tahun 511 hjrah, wafat tahun 604 hijrah.

3. Mendengar Musnad Imam Ahmad (dengan keseluruhan hadisnya berjumlah kira-kira 40 ribu hadis) dari gurunya Hibatullah bin al-Hushain (هبة الله بن الحصين) pada tahun 523 hijrah. Selain itu beliau turut mendengar hadis dari Ismail bin al-Samarqandi dan Ahmad bin Mansur bin al-Muammal.

4. Menurut Abu Syamah; beliau diuji Allah dengan kehidupan yang sangat miskin. Namun itu tidak menghalangnya mengembara untuk menyampaikan hadis terutamanya Musnad Imam Ahmad. Antara tempat pernah disinggahinya untuk meriwayatkan Musnad Imam Ahmad ialah Irbil, Mausil dan Damsiq (Syria).

5. Ibnu al-Anmati (salah seorang murid beliau) menceritakan; bapa beliau  (Abdillah bin Faraj) seorang yang suka berkhidmat kepada orang ramai. Beliau mewakafkan diri untuk menguruskan kemaslahatan orang Islam dan membantu orang-orang yang memerlukan.

6. Menurut Ibnu al-Anmati lagi; Hanbal pernah menceritakan sendiri; ketika aku dilahirkan, bapaku membawaku kepada Syeikh Abdul Qadier al-Jili. "Aku dikurniakan seorang anak lelaki, apa nama yang baik untuknya?", tanya bapaku. "Namakan dia Hanbal (yakni bersempena Imam Ahmad bin Hanbal). Bila dewasa nanti bacakan kepadanya Musnad Imam Ahmad bin Hanbal", ujar Syeikh Abdul Qadier. Itulah sejarah namaku. Bila aku dewasa dia memperdengarkan kepadaku Musnad Imam Ahmad bin Ahmad. Itulah keberkatan bermesyuarat dengan para syeikh.

7. Kata Ibnu al-Anmati; aku mendengar dari beliau keseluruhan hadis dalam Musnad Imam Ahmad dalam 20 majlis lebih. Setelah selesai pengajianku dengannya, aku mendorong beliau supaya bermusafir ke Syam.  "Pergilah ke Syam, di sana kamu berpeluang memperolehi pendapatan, kamu akan diterima dengan baik oleh orang-orang di sana termasuk para pemimpin dalam masyarakat di sana", ujarku. Namun dia membalas; "Biarkan daku dengan kehidupan seperti biasa. Demi Allah, aku tidak bermusafir kerana manusia, tidak pula untuk mendapat sesuatu dari mereka. Aku hanya bermusafir untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW dengan menyampaikan hadis-hadis baginda di mana-mana negeri yang belum disampaikan hadis di situ".

8. Ibnu al-Anmati menceritakan lagi; ketika dia berada di Damsyiq orang ramai berkumpul untuk mendengar hadis dari beliau. Tidak pernah ada perhimpunan sebegitu ramai sebelum itu untuk mendengar Musnad Imam Ahmad. Aku mendengar Musnad darinya kali pertama dalam negeri dan kali kedua di Masjid al-Muzaffari (الجامع المظفري).

8. Beliau wafat pada malam jumaat 4 muharram 604 hijrah setelah pulang dari Syam.

 

Rujukan;

1. Siyar A'lam al-Nubalak, Imam al-Zahabi (673-748 hijrah), 2/1580 (no. 1873), Bait al-Afkar al-Dauliyah; Jordan (2004).

Comments powered by CComment

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries