TARIKH TEPAT KELAHIRAN NABI SAW DAN KEWAFATAN BAGINDA

Maklumat-maklumat yang dicatatkan oleh ahli-ahli sejarah Islam tentang tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW ada di antaranya yang disepakati dan ada di antaranya diikhtilafkan.

Tahun kelahiran

Tahun Gajah, iaitu tahun kehadiran tentera bergajah Abrahah ke Mekah untuk meruntuhkan Kaabah, lalu akhirnya mereka yang dibinasakan Allah. Menurut Ibrahim bin al-Munzir al-Hazami (guru Imam al-Bukhari) dan beberapa ulamak lagi; kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun gajah telah disepakati ahli sejarah (al-Tahzib, Imam al-Nawawi, 1/50).

Hari kelahiran

Hari kelahiran baginda pula ialah pada hari Isnin, di mana sabit dari Nabi SAW sendiri apabila baginda ditanya tentang puasa pada hari Isnin, lantas baginda menjawab;

«ذَاكَ يَوْمٌ ‌وُلِدْتُ ‌فِيهِ، وَيَوْمٌ بُعِثْتُ - أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ -»

"Itulah hari aku dilahirkan dan aku diutuskan menjadi Rasul" (Soheh Muslim; 1162/197, dari Abu Qatadah al-Ansari).

Bulan kelahiran Nabi SAW

Rabi'ul-Awwal. Menurut Imam al-Nawawi; telah disepakati bahawa Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada hari Isnin dalam bulan Rabi'ul-Awwal (al-Tahzib, 1/50).

Tanggal kelahiran

Menurut Imam al-Nawawi; terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang tarikh tepat kelahiran Nabi Muhammad SAW di mana terdapat empat pandangan yang masyhur, iaitu; 2 Rabi'ul-Awwal, 8 Rabi'ul-Awwal, 10 Rabi'ul-Awwal atau 12 Rabi'ul-Awwal (al-Tahzib, 1/50).

Menurut Imam Ibnu Kathir; pandangan yang masyhur di kalangan jumhur ulamak ialah; 12 Rabi'ul-Awwal. Antara yang menegaskan tarikh tersebut ialah Imam Ibnu Ishaq. Imam Ibnu Abi Syaibah turut meriwayatkan dalam kitabnya al-Mushannaf, dari Jabir RA dan Ibnu 'Abbas RA yang menceritakan;

وُلِدَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْفِيلِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ الثَّانِي عَشَرَ مِنْ شَهْرِ ربيع الأول وَفِيه بعث وَفِيه عرج بِهِ إِلَى السَّمَاءِ، وَفِيهِ هَاجَرَ وَفِيهِ مَاتَ.

"Rasulullah SAW dilahirkan pada tahun al-fil (Tahun Gajah), pada hari Isnin, tanggal 12 Rabi'ul Awwal, pada hari sama (yakni Isnin) baginda di bangkitkan menjadi Rasul, dimikrajkan ke langit, berhijrah ke Madinah dan wafat" (Ibnu Kathir, m.s. 199).

Namun menurut perkiraan falak, tanggal 12 Rabi'ul-Awwal tahun gajah tidak jatuh pada hari Isnin. Maka mereka menyebutkan tanggal yang menepati hari Isnin ialah 9 Rabi'ul-Awwal. Menurut Syeikh Muhammad al-Khudhari dalam kitab sirahnya Nurul Yaqin'; al-Marhum Mahmud Basya al-Falaki (ahli falak Mesir, meninggal tahun 1885 masihi) telah membuat penelitian dan mendapati tarikh tepat kelahiran Nabi SAW ialah pada pagi hari Isnin, tanggap 9 Rabi'ul-Awwal, bersamaan 20 April/Nisan, tahun 571 masihi, iaitu menepati tahun pertama peristiwa bergajah Abrahah (Nurul Yaqin, m.s. 9). Pengesahan tarikh yang sama (yakni 9 Rabi'ul-Awwal) turut diberikan ulamak besar Muhammad Sulaiman al-Mansurfuri mengikut yang dinaqalkan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum (m.s. 62). Seorang lagi tokoh sirah semasa yang berpandangan serupa ialah Allamah Syibli Nu'mani (Majid Sahhar, m.s. 43).

Tarikh kewafatan

Menurut Imam al-Nawawi; Nabi Muhammad SAW wafat pada hari Isnin, tanggal 12 Rabi'ul-Awwal, tahun ke 11 hijrah, dalam usia 63 tahun. Namun ada ahli sejarah mencatatkan; tanggal baginda wafat ialah 2 Rabi'ul-Awwal (al-Tahzib, 1/50).

Menurut Imam al-Iraqi; para ulamak mensepakati hari kefawatan Nabi Muhammad SAW iaitu hari Isnin, dalam bulan Rabi'ul Awwal. Namun mereka berikhtilaf pada tanggalnya, di mana terdapat tiga pandangan; tanggal 2 Rabi'ul Awwal, 12 Rabi'ul Awwal atau 8 Rabi'ul Awwal. Pandangan jumhur ialah 12 Rabi'ul Awwal. Namun pandangan jumhur terdapat pertikaian yang besar. Maka yang paling tepat mengikut pengesahan Imam Ibnu Hazm ialah tanggal 8 Rabi'ul Awwal (Alfiyah al-Sirah al-Nabawiyyah, 153). 

Kesimpulan

Disepakati oleh para ulamak dan ahli sirah/sejarah Islam bahawa Nabi Muhammad SAW lahir dan wafat pada hari Isnin, dalam bulan Rabi'ul Awwal. Adapun tanggal lahir dan wafat baginda terdapat khilaf di kalangan ulamak/ahli sirah. Jumhur ulamak/ahli sirah berpandangan; lahir baginda dan wafat baginda pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal.

 ***اللهم صل وسلم وبارك وارحم وتحنن على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين***

Rujukan;

(1) Tahzib al-Asma' wa al-Lughaat, Imam al-Nawawi.

(2) al-Sirah al-Nabawiyah, Imam Ibnu Kathir.

(3) Muhammad Rasul Terakhir, Dr Majid Sahhar.

(4) Nurul Yaqin Fi Sirah Sayyidil Mursalin, Syeikh Muhammad al-Khudari 

(5) al-Rahiq al-Makhtum, Sofiyyurrahman al-Mubarakfuri.

(6) Alfiyah al-Sirah al-Nabawiyyah, Imam Zainuddin al-'Iraqi.

Joomla! Debug Console

Session

Profile Information

Memory Usage

Database Queries