Di awal surah al-Baqarah, setelah ayat-ayat tentang orang bertakwa iaitu dalam 5 ayat, menyusul ayat-ayat tentang orang kafir, merangkumi al-kafirin (kafir dalaman dan luaran) dan al-munafiqin (kafir dalaman, adapun luaran menampilkan keislaman/keimanan). Perihal al-munafiqin disentuh dalam 13 ayat, berbanding al-kafirin dalam 2 ayat sahaja, menunjukkan bahawa al-munafiqun lebih buruk dari al-kafirun (Hasyiyah al-Sowi ala al-Jalalain, 1/24).

Menurut Imam al-Baghawi (wafat 510 hijrah) dalam tafsirnya Ma’alim al-Tanzil; kufur bermaksud juhud (menyangkal, yakni menyangkal Allah, RasulNya dan agamaNya). Asal makna kufur itu (dari sudut bahasa) ialah al-sitr (الستر) iaitu tutupan/tabir. Orang kafir ialah orang yang menutup kebenaran dengan menyangkalnya.

Lebih mendalam, beliau (yakni Imam al-Baghawi) membahagikan kufur kepada empat jenis;

(1) Orang yang tidak mengenali (Allah, RasulNya atau agamaNya) dari awal, dari itu dia tidak mengakuinya, lantas kufur dengannya. Kufur ini dipanggil kufur inkar (كفر الإنكار).

(2) Orang yang kenal, namun tidak mengakui dengan lidahnya, seperti kufur Iblis dan kufur Yahudi (kepada Nabi Muhammad SAW) sebagaimana firman Allah;

فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُواْ كَفَرُواْ بِهِۦۚ فَلَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ 

“Maka setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui (yakni tentang Nabi Muhammad SAW), mereka lalu kufur kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang kafir itu” (surah al-Baqarah, ayat 89).

Kufur jenis ini dinamakan kufur juhud (كفر الجحود).

(3) Orang yang kenal dan mengakui dengan lidah, namun tidak mahu tunduk, iaitu seperti kufur Abu Talib. Abu Talib pernah bersyair;

“Sungguh aku tahu,

agama Muhammad itu

sebaik-baik agama,

Kalau bukan kerana 

takutkan celaan

serta bimbangkan cacian

pasti aku menerimanya

dengan lapang dada

dengan nyatanya”.

Kufur yang ketiga ini dinamakan kufur ‘inad (كفر العناد).

(4) Orang yang mengakui dengan lidah, namun tidak meyakini dengan hatinya. Kufur ini dinamakan kufur nifaq (كفر النفاق).

Imam al-Baghawi menegaskan, keempat jenis kufur di atas hukumnya sama di hadapan Allah, yakni sesiapa bertemu Allah di akhirat nanti dengan salah satu darinya dia tidak akan diampunkan Allah (tamat ulasan Imam al-Baghawi; Tafsir Ma’alim al-Tanzil, jilid 1, m.s. 24).

Maka untuk mengelak dari kufur kita perlu memperkemaskan empat perkara dalam diri;

  1. Ma’rifah (kenal Allah, RasulNya dan agamaNya)
  2. I’tiraf (mengakui Allah, RasulNya dan agamaNya)
  3. Khudhu’ (tunduk/akur kepada Allah, RasulNya dan agamaNya)
  4. Yaqin (bulat hati kepada Allah, RasulNya dan agamaNya).

Syeikh Muhammad al-Ghazali (seorang ulamak Mesir, wafat tahun 1998) ketika menjelaskan hakikat iman dalam salah satu bukunya, beliau mengungkapkan;

الإيمان معرفة بلغت حد اليقين

“Iman ialah ma’rifah (kenal) yang mencapai batas yaqin (bulat hati/percaya penuh)” (al-Janib al-’Atifi Min al-Islam, m.s. 26).