Setelah surah al-Fatihah, kita akan bertemu surah al-Baqarah. Oleh kerana surah al-Fatihah merupakan ibu atau induk al-Quran (ummul Kitab), tentunya surah-surah yang lain merupakan pohon-pohon dan cabang-cabang al-Quran yang terbit dari surah induk itu. Maka surah al-Baqarah merupakan pohon atau cabang yang paling awal kerana ia hadir sebaik selepas al-Fatihah. 

Apabila kita mula menyelak lembaran surah al-Baqarah, kita akan bertemu ayat-ayat tentang takwa. Itulah tajuk awal surah al-Baqarah;

((1.  Alif laam miim.

  1. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa,
  2. (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
  3. dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.
  4. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya)).

Takwa; pembawa berkah dan pendinding dari syaitan dan sihir

Surah al-Baqarah merupakah surah yang mempunyai fadhilat tersendiri yang disebut oleh Nabi SAW dalam beberapa hadisnya;

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، وَإِنَّ البَيْتَ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ البَقَرَةُ لاَ يَدْخُلُهُ الشَّيْطَانُ

“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya tidak akan dimasuki Syaitan” (Sunan al-Tirmizi; 2877, hadis hasan soheh).

اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

“Bacalah surah al-Baqarah, kerana mengambilnya adalah barakah, meninggalkannya adalah penyesalan dan tukang-tukang sihir tidak akan mampu menghadapinya” (Soheh Muslim; 804/252)

Dari hadis di atas kita dapat melihat beberapa kelebihan surah al-Baqarah;

  1. Menyerikan rumah
  2. Mendinding rumah dari syaitan
  3. Mengundang barakah
  4. Menyelamatkan dari penyesalan
  5. Menjaga dari sihir

Oleh kerana surah al-Baqarah dimulai dengan ayat-ayat takwa, tentunya takwa mempunyai peranan yang utama untuk menperolehi lima kelebihan tersebut.

Takwa; syarat untuk menimba rahsia al-Quran

Al-Quran adalah kitab yang memiliki pelbagai kelebihan dan kehebatan. Di dalamnya terkandung pelbagai rahsia yang tidak akan ditemui di dalam mana-mana buku atau kitab yang lain. Amat bertuah orang yang dapat menimba ilmu dari al-Quran dan menghirup madu dan penawarnya. Siapakah orang itu? Jawapannya ialah orang bertakwa, kerana Allah membuka bicaraNya tentang takwa dengan pernyataan;

“Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” (al-Baqarah, ayat 2).

Terdapat dua ilmu yang kita dapat timba dari ayat ini;

  1. Al-Quran adalah kitab yang benar, tiada sebarang keraguan di dalamnya, yakni semua ayatnya benar-benar datang dari Tuhan (Allah),
  2. Al-Quran adalah petunjuk bagi orang-orang bertakwa, bermakna hanya orang bertakwa dapat menimba ilmu dan manfaat semaksima mungkin dari al-Quran.

Persoalan; adakah itu bermakna al-Quran tidak berguna langsung untuk orang-orang kafir atau yang tidak bertakwa? Tidak. Al-Quran tetap memberi guna kepada semua manusia. Kepada orang-orang kafir dan orang yang belum bertakwa, al-Quran menjadi inzar (amaran dan peringatan) buat mereka. Namun manfaat al-Quran itu sendiri dengan segala rahsia di dalamnya, hanya orang-orang bertakwa sahaja akan memperolehinya kerana mereka benar-benar yakin kepada al-Quran dan membuka pintu hati mereka untuk dimasuki cahaya al-Quran (lihat; Tafsir Ibnu Kathir, Hasyiyah al-Sowi dan al-Muqtataf). 

Menurut Ibnu ‘Asyur; al-Quran menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa merangkumi ruang masa dan ruang hidup mereka. Bagi ruang masa, al-Quran menjadi petunjuk bagi mereka meliputi masa lalu mereka, masa sekarang mereka dan masa depan mereka. Bagi ruang hidup pula, al-Quran menjadi petunjuk dalam segenap bidang kehidupan mereka; akidah, pemikiran, akhlak, kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat, aspek ekonomi, pendidikan, siyasah dan sebagainya lagi (lihat; Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/226-227).

Siapa orang bertakwa?

Dari segi makna takwa, ia berasal dari perkataan al-wiqayah yang bermaksud menjaga atau memelihara (al-Muqtataf). Menurut Ibnu ‘Abbas RA, orang bertakwa ialah orang yang memelihara/menjaga diri dari syirik, dosa-dosa besar (al-kabair) dan perbuatan-perbuatan keji (al-fawahish) (Ma’alim al-Tanzil).

Ciri-ciri orang tertakwa dijelaskan sendiri oleh Allah dalam dua ayat berikutnya;

  1. (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.
  2. dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.

Dari dua ayat ini kita dapat melihat 5 ciri orang bertakwa;

  1. Beriman dengan yang ghaib; iaitu beriman kepada Allah, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebagainya dari perkara-perkara ghaib yang diceritakan Nabi Muhammad SAW.
  2. Mendirikan solat; yakni mengerjakan solat dengan memenuhi segala hak-hak  solat merangkumi hak-hak zahirnya  (seperti syarat-syaratnya, rukun-rukun serta adab-adabnya) dan hak-hak batin (seperti khusyuk, ikhlas dan khudhuk/tunduk). 
  3. Menafkahkan sebahagian rezki yang dikurniakan Allah ke jalan ketaatan, merangkumi nafkah yang wajib (iaitu zakat dan belanja ahli keluarga yang wajib disarai) dan nafkah yang sunat (seperti membantu kaum kerabat, fakir miskin dan sebagainya). 
  4. Beriman dengan kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW (yakni al-Quran) dan semua kitab terdahulu yang pernah diturunkan Allah (Taurat, Zabur, Injil dan sebagainya).
  5. Yakin kepada hari akhirat, yakni tidak pernah meragui sedikitpun kedatangannya.

(Lihat; Tafsir al-Jalalain & Hasyiyah al-Sowi).

Takwa; membawa petunjuk berterusan dan menjanjikan kejayaan

Allah menutup bicaraNya tentang takwa dengan penegasan;

  1. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya)).

Menurut Imam Ibnu Kathir, yakni kejayaan di dunia dan juga di akhirat. 

Rujukan;

  1. Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibnu Kathir.
  2. Hasyiyah al-Sowi ‘Ala al-Jalalaian, Imam Ahmad bin Ahmad al-Sowi.
  3. Al-Muqtataf MIn ‘Uyun al-Tafasir, Syeikh Mustafa al-Khairi al-Mansuri.
  4. Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Syeikh al-Tahir Ibnu ‘Asyur.
  5. Tafsir al-Jalalain, Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin al-Suyuti.