Tidak ada yang paling penting dalam kehidupan melebihi tujuan hidup, lebih penting dari hidup itu sendiri. Jika kita tidak dihidupkan, tidak akan ada hisab ke atas kita di akhirat. Namun jika kita dihidupkan, diberi kesempatan hidup, tetapi kita menempuhinya tanpa memenuhi tujuan hidup, itu merupakan musibah besar bagi kita di akhirat nanti. 

Surah al-Fatihah sebagaimana sedia kita ketahui merupakan ibu al-Quran (ummul Kitab), berdasarkan pernyataan dari Nabi SAW sendiri, maka tentunya terdapat maqasid al-hayah (tujuan-tujuan hidup) di dalam surah ini. Beberapa noktah berikut boleh menjadi panduan bagi kita dalam memahami tujuan hidup berdasarkan surah ini;

(1) Surah al-Fatihah dimulai dengan memperkenalkan tentang Allah. Pertama, ia dimulai dengan nama Allah (iaitu Basmallah), kedua; disusuli dengan tahmid (memuji Allah), ketiga; pernyataan rububiyyah Allah (Rabbil ‘Alamin), dan keempat; nama-nama Allah (al-Rahman, al-Rahim dan al-Malik). 

Maka dari sini, kita dapat mempelajai bahawa maqasid al-hayah paling utama (bahkan paling dasar) bagi kehidupan manusia ialah makrifatullah (mengenal Allah). Imam Malik bin Dinar pernah berkata; ramai manusia yang mati tanpa pernah mengecapi nikmat paling lazat di di dunia. Lalu ditanya kepadanya; nikmat apa itu? Dia menjawab; makrifatullah (mengenal Allah) (Siyar A’lam al-Nubalak, 5/363).

(2) Setelah memperkenalkan Allah, surah ini mengajar kita untuk berikrar;

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ  ٥

“Hanya Engkau sahajalah (ya Allah) yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan” (ayat 5).

Maka maqasid al-hayah yang kedua (setelah mengenal Allah) ialah mengabdikan diri kepada Allah. Pengabdian kepada Allah merangkumi zahir dan batin. Pengabdian zahir dengan sentiasa beribadah kepada Allah (bermula dari pengucapan syahadah, diikuti dengan solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah sunat yang disyariatkan Allah sebagai wasilah/jalan untuk manusia bertaqarrub kepadaNya). Pengabdian batin pula ialah dengan hati sentiasa bergantung kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, mengharapkan inayah dan bantuan dariNya dan tidak putus berdoa dan memohon kepadaNya. Dalam ayat yang lain Allah memerintahkan;

فَاعْبُدْهُ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ

“Maka beribadahkan (menyembah)Nya serta bertawakkallah kepadaNya” (surah Hud, ayat 123).

(3) Manusia disuruh bermohon kepada Allah. Dalam hadis Nabi SAW berpesan; “Apabila kamu ingin memohon, pohonlah kepada Allah” (Sunan al-Tirmizi; 2516, hasan soheh). Terpulang kepada manusia untuk memohon apa sahaja hajat kepada Allah. Namun dalam surah ini, terdapat satu permohonan yang diwajibkan Allah agar manusia (khususnya orang-orang mukmin) memohon kepadaNya, iaitu al-siratal mustaqim (jalan yang lurus);

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ  ٦

“Tunjukilah kami (ya Allah) jalan yang lurus” (ayat 6).

Maka maqasid al-hayah yang ketiga yang dapat kita pelajari dari surah ini ialah memastikan diri sentiasa berada di jalan yang lurus. Langkahnya bermula dengan memohon dari Allah, diikuti mempelajari apa sebenarnya jalan yang lurus dan seterusnya beristiqamah di atas jalan yang lurus hingga ke akhir hayat kita (yakni kita menghembuskan nafas kita di atas jalan tersebut). 

Menurut Saidina  ‘Ali RA dan Ibnu Mas’ud RA; jalan yang lurus ialah kitab Allah (al-Quran). Menurut Ibnu ‘Abbas RA; agama Allah (Islam). Menurut Imam Mujahid; al-haqq (kebenaran). Menurut Imam Abu al-’Aliyah; Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat selepas baginda (iaitu Abu Bakar dan Umar RA). Imam Ibnu Kathir mengulas; semua pandangan itu benar, kerana sesiapa mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat selepas baginda beliau mengikuti kebenaran (dari Allah), sesiapa mengikuti kebenaran dia mengikuti agama Allah (Islam), sesiapa mengikuti Islam dia mengikuti al-Quran dan sesiapa mengikuti al-Quran di berada di atas jalan yang lurus (al-Siratal Mustaqim) (Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibnu Kathir).

(4) Setelah kita disuruh memohon jalan yang lurus, dijelaskan pula kepada kita jalan yang lurus itu ialah jalan yang dilalui orang-orang yang sebelum kamu yang telah diberikan nikmat oleh Allah (iaitu nikmat iman, ibadah dan ketataan kepada Allah mengikut yang ditafsirkan oleh Ibnu ‘Abbas. Lihat; tafsir Ibnu Kathir);

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ 

“(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka” (ayat 7).

Dalam surah al-Nisa’ diperincikan orang-orang yang diberikan nikmat tersebut iaitu; para Nabi, para Siddiqin, para Syuhadak dan para Solihin (lihat; ayat 69).

Maka maqasid al-hayah yang keempat dalam hidup kita ialah memastikan diri bersama kelompok yang berada di atas jalan Allah. Dalam konteks hari ini, memastikan diri bersama kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah dalam erti sebenar mengikut kefahaman fuqahak ummah yang tsiqah (yakni para imam mujtahid), bukan mengikut kefahaman puak-puak hari ini yang berpecah belah dan masing-masing syok sendiri dengan kefahaman masing-masing.

(5) Tidak cukup dengan menyebutkan orang-orang yang berada di atas jalan yang lurus iaitu “orang-orang yang diberi nikmat (iman, ibadah dan ketaatan)”, turut disebutkan orang-orang yang terkeluar dari jalan yang lurus;

غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ  ٧

“..bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat” (hujung ayat 7).

Maka maqasid al-hayah yang kelima dari surah al-Fatihah ialah memisahkan diri sepenuhnya dari golongan yang menyimpang dari jalan Allah iaitu golongan yang dimurkai Allah (iaitu golongan yang berpaling dari kebenaran walaupun mereka mengetahuinya) dan golongan yang sesat (iaitu orang-orang yang membiarkan diri dalam kebatilan).

Dalam hadis Huzaifah RA di mana Nabi SAW menceritakan akan muncul nanti para pendakwah yang mengajak manusia ke pintu neraka jahannam, sesiapa terpengaruh dengan ajakan mereka akan terhumban ke dalam neraka jahannam. Apabila ditanya Huzaifah; apa yang perlu aku lakukan untuk selamat dari mereka? Nabi SAW menjawab; “Setialah bersama jamaah kaum muslimin (yang berpegang teguh dengan kitab Allah dan Sunnah NabiNya) dan imam mereka” dan “Pisahkanlah dirimu dari semua kelompok (yang menyimpang) itu sekalipun dengan terpaksa kamu menggigit akar pokok (agar tidak direntap oleh mereka) dan kamu mati dalam keadaan begitu” (Soheh al-Bukhari; 3606).

Kesimpulan

Terdapat 5 maqasid al-hayah (tujuan-tujuan hidup) yang kita pelajari dari surah al-Fatihah;

  1. Hidup untuk mengenal Allah
  2. Hidup untuk beribadah kepada Alah
  3. Hidup di atas jalan Allah (al-Siratal Mustaqim)
  4. Hidup bersama kelompok yang berada di jalan Allah
  5. Menjauhi kelompok yang menyimpang dari jalan Allah